?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

RAKYAT kita terdiri daripada pelbagai agama, tetapi perbezaan ini tidak semestinya membawa kepada salah faham, ketegangan dan konflik antara mereka hingga menghangatkan suhu hubungan antara penganut agama.

Kajian antara penganut agama menunjukkan tahap kefahaman adalah tinggi dan persepsi prasangka adalah rendah. Kepelbagaian kehidupan penganut antara agama di negara ini didapati baik, aman dan damai.

Perkongsian perayaan budaya dan agama sudah diraikan bersama melalui kongsi raya antara Hari Raya dan Tahun Baharu Cina, 'Deepa Raya' antara agama Hindu dengan Islam dan lain-lain.

Bazar Ramadan sudah diterima bersama oleh pelbagai penganut agama hingga mereka yang berpuasa dan tidak berpuasa bertemu untuk mencari makanan dan kuih-muih tradisional yang disukai bersama.

Ini menunjukkan di sebalik perbezaan penganut agama, rakyat kita mampu membina titik pertemuan yang membawa kita ke ruang sosial sama untuk berhubungan dan membina rasa keterikatan antara kita bersama.

Perkongsian nilai dan hidup antara penganut pelbagai agama didapati sudah terserlah di kawasan kediaman, gelanggang permainan, tempat kerja, ruang perniagaan, dalam persatuan dan politik.

Kegiatan bersama pupuk kerjasama

Kegiatan yang dilakukan bersama ini berjaya mewujudkan budaya hormat menghormati dan saling mempercayai antara penganut agama dalam masyarakat kita.

Hal ini memupuk budaya kerjasama antara rakyat pelbagai agama. Mereka sudah mampu bertemu dan berhubungan antara satu sama lain untuk menjalankan kegiatan persatuan mereka seperti menderma darah, menderma organ dan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan bersama-sama.

Ketika rakyat Malaysia dilanda masalah dan malapetaka seperti kebakaran, kemalangan jalan raya, bot karam dan tanah runtuh, terserlah nilai murni dalam kalangan penganut pelbagai agama ini.

Bukti terbaik dapat dilihat ketika banjir besar melanda Kelantan pada 2014. Ketika dan selepas banjir itu, kenderaan agensi kerajaan, masyarakat awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang masing-masing membawa muatan air minuman, makanan, kain selimut, pakaian, peralatan memasak dan pelbagai keperluan harian yang lain, berbaris di sepanjang jalan menghala Gua Musang dan Kuala Krai.

Mangsa banjir terdiri daripada pelbagai penganut agama, namun jumlah terbesar adalah beragama Islam. Bantuan mencurah-curah datang dari dalam dan luar negara tanpa mengira latar belakang etnik dan agama.

Selain itu, mereka juga sama-sama terbabit menentang keganasan Israel di Gaza, membantu anak perang di Iraq dan sama-sama mendesak kerajaan Malaysia supaya memberi perlindungan kepada pelarian Rohingya.

Meskipun hubungan baik antara penganut agama sudah wujud kini, namun ini tidak bermakna kita sudah mencapai keharmonian dan kedamaian agama sepenuhnya di negara ini.

Usaha untuk membina keharmonian dan kedamaian ini ialah satu tugas yang perlu dijalankan secara berterusan kerana negara akan sentiasa berdepan perubahan dan transformasi sosial dalam masyarakat.

Perubahan sosial ini mewujudkan budaya baharu dalam masyarakat. Mereka tidak patuh dan taat kepada Perlembagaan, tidak merujuk kepada ibu bapa, membelakangkan hujah golongan agama dan menggantikan nilai tradisi dengan budaya kosmopolitan, globalisasi dan alaf baharu yang bertindak berdasarkan perkiraan kepentingan diri semata-mata.

Pandangan sempit dijadikan viral

Melalui media sosial terkini, pengguna tanpa mengira agama dan budaya membahaskan isu sensitif secara bebas dan tidak beretika sehingga berlaku kekeliruan dan ketegangan dalam masyarakat.

Apa yang paling menakutkan adalah apabila pandangan sempit segelintir individu atau kumpulan pelampau ini turut diviralkan oleh rakyat yang baik dan tidak pula disanggah oleh pemimpin masyarakat pelbagai agama.

Selain itu, apa yang lebih menyedihkan ialah isu sensitif seperti pertukaran agama, kedudukan anak dan harta sering kali dimanipulasi dan dijadikan agenda oleh NGO dan parti politik demi mencari pengaruh.

Hal ini menyebabkan hubungan antara penganut agama di negara ini menjadi renggang dan tegang. Walhal negara kita telah pun memiliki acuan untuk mengurus agama.

Acuan ini mengambil kira pelbagai tafsiran perintah agama dan terbukti dapat melahirkan pelbagai projek berlandaskan syariah seperti Tabung Haji, Bank Islam, Takaful Islam, sekolah agama dan Mahkamah Syariah yang memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat Malaysia.

Di Sabah dan Sarawak pula masalah agama antara penganut diselesaikan dalam ruang lingkup keluarga bersama ketua kaum adat tanpa membabitkan NGO dan parti politik.

Kedua-dua contoh pengurusan agama dalam kehidupan dan bernegara ini menunjukkan kita memiliki acuan kita sendiri untuk mengharmoni dan mendamaikan negara walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai penganut agama.


Dr Mansor Mohd Noor Berita Harian Kolumnis 16 April 2016 @ 6:57 AM

Tags:

Posts from This Journal by “harmoni” Tag

Latest Month

June 2019
S M T W T F S
      1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30      

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow