kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

‘Selamat datang ke Great Britain’, Setiap rumah ada kubu sendiri

Setiap rumah ada kubu sendiri

BUNYI tembakan dan siren amaran merupakan situasi paling ditakuti seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, Fatimah Jusuh sejak dia dan keluarga berpindah dari Kampung Pasir Lembu ke Kampung Bertam Baru pada tahun 1952.

Bagaimanapun, setiap kali perkara itu berlaku, mereka tidak panik kerana telah dilatih supaya bertindak mengikut 'prosedur' tertentu sebaik sahaja siren amaran dibunyikan.



Fatimah Jusuh

Dia yang kini mencecah usia 73 tahun memberitahu, jika penduduk gagal bertindak cepat dan masih berada dalam rumah yang berdinding kayu serta buluh, nyawa mereka mungkin melayang terkena peluru sesat.

“Dengar sahaja bunyi amaran, semua orang terutama kanak-kanak, wanita dan orang tua akan segera berlindung di dalam lubang yang digali di bawah rumah masing-masing.

“Lubang tersebut digali memanjang betul-betul di bawah rumah. Jadi, biasanya kami melompat dari lantai rumah terus masuk ke dalam lubang,” katanya.

Menurut Fatimah, mereka hanya akan keluar dari lubang berkenaan jika menerima isyarat keadaan benar-benar selamat.

“Kadang-kadang, kami berada di dalam lubang berjam-jam, malah sehari suntuk. Mahu keluar takut terkena tembakan.

“Sayangnya, kini kesemua lubang telah pun tertimbus. Tidak ada satu pun yang tinggal,” katanya.



Naim Sulaiman

Insiden yang paling tidak dilupakan Fatimah ialah melihat jasad bapa saudaranya yang maut selepas rusuknya terkena tembakan rambang yang dilepaskan pengganas.

“Jasadnya lencun dengan darah. Tembakan tersebut terkena pada bahagian tulang rusuknya dan tembus di bahagian belakang,” katanya.

Mengakui trauma, Fatimah berkata, insiden itu menyebabkan rasa bencinya terhadap komunis bertambah manakala semangat mahu mempertahankan tanah air terus berkobar-kobar dalam diri.

“Seingat saya, sepanjang menetap di Kampung Bertam Baru, pertahanan kami tidak pernah dibolosi musuh. Walaupun diserang, kami berjaya mempertahankan tempat ini.

“Memang kenalah gelaran 'Great Britain' dengan kampung ini,” katanya.


‘Selamat datang ke Great Britain’,

Selamat datang ke ‘Great Britain’. Itu ungkapan pertama yang menyapa telinga kru S2 ketika berkunjung ke Kampung Bertam Baru, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Sepanjang tiga jam meluangkan masa di sana, rata-rata penduduk setempat berseloroh dan menyapa dengan ayat lebih kurang sama.

Kami yang kehairanan cuba meninjau keadaan sekeliling kalau-kalau ada petanda yang boleh mengaitkan Kampung Bertam Baru dengan Britain. Sayangnya, tidak banyak tanda-tanda yang mampu menjawab persoalan, kenapa Kampung Bertam Baru digelar Great Britain?


Kampung Bertam, Republik Komunis.

“Gelaran Great Britain ini sebenarnya ada kaitan dengan sejarah Gua Musang yang pernah diancam komunis sekitar 1948 hingga 1960. Dalam tempoh itu, kampung ini dipagari kerawat (kawat) besi dan dikawal rapi anggota keselamatan sehingga dianggap sebagai lokasi paling selamat di Gua Musang.

“Sejak itu, orang ramai sering berjenaka mengatakan kampung ini hebat dan tidak ubah seperti Great Britain. Nama ini disebut dari mulut ke mulut dan turun dari generasi ke generasi sehingga sekarang,” kata seorang penduduk, Naim Sulaiman.

Naim yang juga Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memberitahu, pada zaman dahulu, kampung tersebut yang terletak di tebing Sungai Betis hanya dikenali sebagai Kampung Bertam.

Katanya, sepanjang zaman darurat, penempatan masyarakat Melayu yang bertumpu di tebing sungai tersebut merupakan kawasan paling kritikal dengan ancaman komunis.

“Menurut sejarah dan cerita orang tua-tua, pada 1952, kerajaan Inggeris mengarahkan semua penduduk di kawasan terpencil iaitu Kampung Kuala Sungai, Kampung Limau Kasturi dan Kampung Pasir Tumbuh yang terdiri daripada kira-kira 500 orang berpindah ke satu lokasi selamat di Kampung Bertam.



Jambatan Clementi menghubungkan Kampung Bertam Lama dan Kampung Bertam Baru

“Pada mulanya, kawasan penempatan baharu ini dipanggil ‘kampung dalam kerawat’ kerana dikelilingi kawat besi. Bagaimanapun tidak lama selepas itu, namanya ditukar kepada Kampung Bertam Baru dan kekal sehingga sekarang," katanya.

Menurut Naim, pembentukan kampung tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan Rancangan Briggs yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney di Tanah Melayu pada pertengahan tahun 1950 bagi menyekat kemaraan komunis.

“Dalam Rancangan Briggs, mereka memindahkan penduduk Cina dari kawasan terpencil yang bertaburan dan menempatkan mereka di kawasan penempatan semula atau kampung baru bagi menghalang penduduk kampung menyertai pengganas atau membantu komunis mendapatkan makanan serta maklumat.

“Bezanya di Kampung Bertam Baru, semua penduduk yang dipindahkan adalah orang Melayu dan nyawa mereka diancam komunis kerana enggan membantu pengganas tersebut,” katanya.

Dikatakan sudah wujud lebih 150 tahun lalu, Kampung Bertam yang terletak kira-kira 76 kilometer dari bandar Gua Musang mempunyai bentuk muka bumi yang berbukit-bukau.

Selepas pembentukan penempatan baharu terbabit, kampung itu dibahagikan kepada dua iaitu Kampung Bertam Lama dan Kampung Bertam Baru.

Sungai Betis yang merupakan bahagian hulu kepada Sungai Kelantan menjadi sempadan semula jadi kepada kedua-dua kampung itu.

Paling menarik perhatian ialah kewujudan sebuah jambatan kereta api dengan reka bentuk zaman kolonial yang tergantung merentangi Sungai Betis.

Difahamkan, jambatan tersebut dibina pada zaman pemerintahan Inggeris dan dipanggil Jambatan Clementi, iaitu sempena nama seorang Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu sekitar 1930-an, Sir Cecil Clementi Smith.

Memandangkan ia merupakan jambatan kereta api utama yang menghubungkan Pantai Barat dengan Pantai Timur, jambatan itu sering menjadi sasaran serangan pihak musuh. Malah, struktur itu pernah dibom sehingga runtuh oleh tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua namun berjaya dibina semula pada akhir 1940-an.

Di hujung jambatan berkenaan, terdapat sebuah pondok pengawal kereta api yang dindingnya dipenuhi lubang, dipercayai akibat kesan tembakan dalam beberapa siri pertempuran anggota keselamatan dengan pengganas komunis sepanjang tempoh darurat.

Tidak jauh dari situ pula, terdapat sebuah kubu yang dibina di atas tebing sungai, dipercayai digunakan anggota keselamatan memantau pergerakan keluar masuk sampan penduduk, selain untuk berlindung ketika bertempur. Bagaimanapun, sisa-sisa pagar dawai besi yang pernah mengelilingi kawasan kampung gagal ditemukan.

-
Tags: komunis, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “komunis” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments