kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

‘Kami anak kerawat besi’, 'Kampung dalam kerawat' untuk penduduk Cina

'Kampung dalam kerawat' untuk penduduk Cina

Jika masyarakat Melayu ditempatkan di Kampung Bertam Baru iaitu sebuah penempatan baharu dikelilingi kawat besi bagi memastikan keselamatan mereka terjamin daripada ancaman komunis, kerajaan Inggeris turut mengambil langkah serupa untuk masyarakat Cina.

Mengikut catatan sejarah, kerajaan Inggeris membuka 'kampung dalam kerawat' khusus untuk masyarakat itu di sebuah lokasi yang terletak tidak jauh dari bandar Gua Musang pada awal 1950-an.

KEADAAN di sebuah Kampung Baru Cina, berhampiran bandar Gua Musang

Mereka dikatakan mewujudkan penempatan berkenaan bukan sekadar ingin melindungi masyarakat Cina, tetapi ingin menyekat golongan itu, terutama yang tinggal di pinggir hutan daripada membantu atau terpengaruh dengan dakyah komunis.

Di kampung tersebut, mereka membina sebanyak 440 buah rumah secara berkelompok dalam bentuk bulatan bagi membolehkan setiap rumah dipantau secara teliti oleh anggota mata-mata dikenali sebagai special constable (SC).



Chang Chin Kok

Seorang penduduk asal kampung itu, Yap Kam Seng, 55, berkata, mengikut cerita orang tua-tua, masyarakat Cina pada masa itu bekerja di ladang sawit, ladang getah, lombong bijih timah dan lombong emas.

Katanya, walaupun dibenarkan keluar bekerja, gerak-geri mereka dikawal ketat selain dicatu makanan.

“Rumah mula-mula yang dibina oleh pihak Inggeris dikatakan amat daif kerana diperbuat daripada buluh dan kulit kayu balak.



Yap Kam Seng

“Kehidupan mereka ketika itu amat susah, mahu ke mana-mana pun perlu lapor dulu kepada SC, selain perlu ada pas masuk khas.

“Penduduk juga sentiasa hidup dalam kebimbangan kerana selain diancam komunis, mereka juga khuatir kalau-kalau dituduh bekerjasama dengan komunis,” katanya.

Setiausaha Dewan Perniagaan Cina Gua Musang, Chang Chin Kok, 50, pula berkata, gelaran 'kampung dalam kerawat' untuk kawasan itu tidak kekal lama kerana digantikan dengan nama Kampung Baru Cina.

Katanya, pada 1980, Kampung Baru Cina mula berubah secara drastik apabila kebanyakan rumah-rumah yang sebelum ini daif dibina semula dan dilengkapi dengan infrastruktur seperti jalan, bekalan air serta elektrik.

“Sekarang kebanyakan rumah tersebut sudah digantikan dengan struktur binaan baharu. Sukar untuk melihat binaan asal,” katanya.


‘Kami anak kerawat besi’

APABILA keluarganya yang tinggal di Kampung Kuala Sungai, Gua Musang sibuk mengemas barangan selepas menerima arahan supaya berpindah ke satu lokasi yang digelar 'kampung dalam kerawat', Mat Lia Senik melompat-lompat keriangan.

Mat Lia yang ketika itu berusia 10 tahun menyangka mereka mahu berjalan ke tempat orang. Dia mula terbayangkan keseronokan meredah hutan, memancing ikan dan melastik burung di tempat baharu.

STESEN Keretapi Lama Gua Musang menghubungkan Kampung Bertam dengan dunia luar satu ketika dahulu

Apa yang dia tidak tahu, 'kampung dalam kerawat' yang kemudiannya dipanggil Kampung Bertam Baru merupakan sebuah kawasan yang dipagari kawat besi dan dikawal ketat sepanjang masa oleh anggota keselamatan.

“Di kampung asal, kami tidak bebas bergerak kerana komunis sentiasa merayu meminta makanan atau mengganggu penduduk. Arwah mak dan ayah melarang saya keluar bermain di luar walaupun di halaman rumah sendiri.

“Jadi, apabila mendapat tahu kami akan berpindah, saya menjadi insan paling gembira kerana menyangka tidak perlu hidup dalam ketakutan lagi,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Mat Lia yang kini berusia 74 tahun berkata, mengharungi kehidupan serba terkepung dalam kawasan yang dikelilingi kawat besi bukan perkara mudah, terutama bagi golongan kanak-kanak yang sifat semula jadi mereka gemar meneroka.



Junus Latif

“Demi keselamatan, pergerakan kami cukup terhad. Kami perlu mengikut bermacam-macam peraturan ditetapkan seperti tidak boleh keluar rumah selepas Maghrib dan api pelita perlu dipadamkan selepas Isyak.

“Kami tidak dibenarkan keluar masuk kampung sewenang-wenangnya. Kalau ada yang mahu keluar, perlu ada alasan kukuh dan ambil pas di balai polis.

“Makanan juga dicatu dan kami hanya boleh membawa makanan untuk kegunaan sendiri sahaja. Sesiapa yang membawa makanan lebih daripada keperluan akan dirampas,” katanya.

Menurut Mat Lia, dia dan beberapa rakan sebaya pernah curi-curi keluar dari kawasan kampung dengan cara merangkak dalam parit namun ditangkap oleh anggota pengawal atau dikenali sebagai home guard.

Mat Lia Senik

“Kami sebenarnya mahu menjala di luar kawasan kampung. Selepas ditangkap, segala bekalan makanan kami dirampas. Mujur kami tidak diapa-apakan. Mereka cuma mengarahkan kami pulang dan tidak mengulangi perkara sama.

“Ketika itu saya sudah remaja, jadi saya faham tujuan mereka melaksanakan peraturan itu semata-mata demi menjaga keselamatan kami di samping mahu mengelak pengganas komunis mendapat bekalan makanan,” katanya.

Sementara itu, Junus Latif, 68, yang merupakan anak jati Kampung Bertam Baru berkata, dia lahir pada 1948 iaitu ketika darurat mula-mula diisytiharkan di Tanah Melayu.

“Sebagai anak zaman darurat, saya memang tidak mengetahui bagaimana suasana negara yang aman. Saya hanya tahu hidup kami dikelilingi kawat besi dan di luar sana ada orang jahat mahu tembak kami.

“Saya hanya mula mengenali dunia luar selepas zaman darurat berlalu, iaitu sekitar 1960-an, apabila pertama kali keluar dari kampung tanpa perlu memakai pas atau melapor diri di balai.

“Saya rasa seperti dibebaskan dari penjara,” katanya.

-
Tags: komunis, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “komunis” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments