kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Said Zahari: Noktah memoir si nasionalis; Said Orang A. Samad Ismail

Said Orang A. Samad Ismail

Wartawan-wartawan Melayu yang menempa nama besar dan agung dalam dunia kewartawanan negara bukan hanya kerana karier mereka tetapi lebih kepada penglibatan mereka dengan perjuangan politik sejak dari akhir 1930-an.

Kebanyakan mereka adalah daripada Utusan Melayu yang menyebabkan penulis buku Sejarah Nasionalisme Melayu, William R. Roff (terbitan Universiti Malaya) melihat Utusan bertukar menjadi medan perjuangan daripada hanya sebuah penerbit akhbar semata-mata.

Antara mereka ialah Ishak Haji Ahmad (Pak Sako), A. Samad Ismail, Yusof Ishak, Aziz Ishak, Dahari Ali, Melan Abdullah, Othman Wok hinggalah kepada Said Zahari bekas Pengarang Utusan Melayu yang meninggal dunia pada usia 88 tahun pada Selasa, 12 April lalu di Shah Alam. Said Zahari merupakan benteng terakhir perjuangan nasionalis Melayu kiri untuk menubuhkan gagasan Melayu Raya yang matlamat utamanya adalah penggabungan Malaya dan Indonesia menjadi kuasa besar Nusantara.

Beliau yang menghayati dan mewarisi idealisme ini daripada A. Samad Ismail telah memperjuangkannya sehingga ke saat akhir dan menyebabkan pertembungan besar antara Utusan Melayu dengan UMNO yang ketika itu di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman dan mencetuskan mogok bersejarah, dengan seluruh pekerja Utusan Melayu berpiket selama tiga bulan pada tahun 1961. Walaupun Tunku telah cuba memisahkan A. Samad Ismail daripada Utusan Melayu tetapi Tunku tidak berjaya untuk memisahkan ideologi Samad daripada Utusan Melayu yang telah diterapkannya menerusi kewartawanan politik kepada wartawan-wartawannya yang menjiwai dan menampilkan Utusan Melayu sebagai akhbar harian yang memperjuangkan kebebasan dan membela rakyat tertindas sejak awal tahun 1940-an.

Apabila A. Samad Ismail ditahan oleh British pada awal tahun 1950-an, imej Utusan Melayu menjadi semakin besar dan semakin dihormati dalam kalangan rakyat semua kaum terutama di Singapura.Ketika itu usia A. Samad Ismail masih amat muda tetapi kepintaran dan perwatakannya telah mempengaruhi Pengarah Urusan Utusan Melayu sendiri, Yusuf Ishak yang menjadikannya sebagai orang kepercayaannya. Said Zahari menulis dalam bukunya Meniti Lautan Gelora (Bab 6) betapa perasaannya ketika memasuki Utusan Melayu pada tahun 1951 ketika A. Samad Ismail ditahan oleh penjajah British: “Anggapanku masa itu ialah mereka yang berada di bawah pimpinan Yusof Ishak bersama seluruh kakitangan Utusan Melayu di Singapura dan pemberita-pemberita di seluruh Tanah Melayu merupakan pejuang-pejuang bangsa, agama dan tanah air yang menjiwai Utusan Melayu.

“Aku cuba bayangkan pada masa itu betapa A. Samad Ismail menjadi sumber inspirasi dan kekuatan moral wartawan-wartawan Utusan sebelum tertangkap. Betapa ideologi politik Samad telah mewarnai kefahaman politik mereka”.

Said Zahari kesal kerana beliau tidak dapat berkhidmat lama secara langsung di bawah A. Samad Ismail kerana ditukarkan bertugas di Kuala Lumpur, tetapi seperti juga dengan wartawan Utusan yang lain pada masa itu, semangat perjuangan yang telah diterapkan oleh A. Samad Ismail juga menjiwai jiwanya. A. Samad Ismail adalah seorang yang berpegang kepada ideologi Marxist.

Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dapat "mencium" jejak Said Zahari sebagai orang A. Samad Ismail walaupun beliau sudah tidak ada lagi di Utusan tetapi dasarnya tidak menyimpang daripada era penerajuan A. Samad Ismail yang bersikap anti-Barat, antikolonialisme, pro-blog Timur (di bawah pengaruh Soviet Union dan China), anti kapitalisme dan kemasukan modal asing dan pro rakyat berasaskan prinsip-prinsip sosialisme. Menurut Said Zahari, Tunku pernah bertanya dengannya: "Said orang Samad ke?”

Utusan Melayu ketika itu mahu dasar Kerajaan Perikatan yang dipimpin oleh Tunku mengikuti dasar Indonesia yang berbaik-baik dengan negara-negara anti-Barat, sedangkan Tunku melihat bahaya komunisme yang bersembunyi di sebalik retorik besar pemimpin-pemimpin Indonesia terutama komunis China yang mendalangi Parti Komunis Indonesia (PKI) dan juga Parti Komunis Malaya (PKM).

Di bawah pimpinan Said Zahari sebagai Pengarang Utusan Melayu setelah Utusan berpindah ke Kuala Lumpur, Yusof Ishak sebagai Ketua Pengarang tidak dapat mengawal dasar Utusan yang kekirian dalam dasar luar negara, dasar ekonomi dan sosial terutama dalam sokongan kepada peneroka-peneroka tanah haram, sedangkan kerajaan membuka tanah secara bersistem untuk penyertaan rakyat ketika itu.

Utusan telah gagal untuk memahami cita-cita rakyat khususnya orang Melayu yang mendukong UMNO dan menyokong dasar-dasar pro-Barat dan pro pasaran bebas yang dijalankan oleh Tunku sehingga pengedaran Utusan jatuh kira-kira 25,000 naskhah.

Dalam bukunya Meniti Lautan Gelora, Said Zahari menceritakan bahawa Pengarah Urusan dan Ketua Pengarang, Yusuf Ishak telah dipanggil oleh Tunku pada setiap pagi untuk memberikan teguran kerana penampilan dasarnya yang bersifat anti kerajaan yang terserlah dalam ruangan pojoknya, rencana dan juga kecenderungan beritanya. Menurut Said Zahari, Yusuf merasa terhina dan pernah menangis di depannya. Kegagalan Yusuf untuk mematuhi arahan Tunku dan mengawal Jabatan Pengarang, akhirnya menyebabkannya diminta meletakkan jawatan dan beliau menjual semua sahamnya kepada Tunku Abdul Rahman yang mewakili UMNO.

Pendirian politik

Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew yang kenal baik dengan Yusuf dan mengetahui pendirian politiknya telah mengambil Yusuf untuk menjadi Yang di-Pertua Negara Singapura dan seterusnya melantik beliau menjadi Presiden Singapura apabila Singapura merdeka. Kuan Yew telah mengenali Yusuf sejak menjadi penasihat undang-undang kepada Utusan dalam tahun 1950-an.Yusuf merupakan Ketua Pengarang Utusan Melayu dan anak jati Utusan Melayu yang sampai ke puncak paling tinggi dan paling gemilang dalam sejarah Singapura dan Malaya, walaupun beliau tidak aktif dalam mana-mana parti politik.

Saya mempunyai penilaian yang lain daripada Said Zahari mengenai tangisan Yusuf Ishak kerana dipanggil Tunku. Sebenarnya Yusuf berada dalam keadaan dilema kerana tidak dapat mengawal Said dan orang-orangnya daripada meneruskan dasar yang kekirian dan pro-Indonesia. Yusuf seorang yang jujur, kuat kerja, percaya kepada pasaran bebas dan tidak anti kaum. Kuan Yew melihat nilai-nilai baik dalam diri Yusuf.

Apabila saya menemui Yusuf Ishak bersama dengan Othman di Istana Negara Singapura pada suatu malam pada tahun 1962, Yusuf telah bertanya kepada Othman, siapakah bekas-bekas pemogok yang kembali bekerja dengan Utusan malah beliau telah melarang Othman daripada mengambil semula orang-orang tertentu dengan menyebut nama-nama mereka satu persatu, seolah- olah beliau masih Pengarah Urusan Utusan Melayu.

Kuan Yew sendiri telah membantu untuk mematahkan mogok seluruh pekerja Utusan Melayu yang diketuai oleh Said Zahari dengan membantu memudahkan Othman Wok menghantar pekerja dan bekas pekerja Utusan Melayu dari Singapura ke Kuala Lumpur untuk menerbitkan semula Utusan Melayu selepas mogok tiga bulan (21 Julai-21 Oktober 1961). Othman yang ketika itu menjadi Timbalan Ketua Pengarang Utusan Melayu adalah kader PAP. Persengketaan antara golongan kiri Utusan Melayu dengan liberal sosialis telah berlaku dalam Utusan Melayu sejak A. Samad Ismail diketahui sebagai komunis di Singapura. Othman Wok berada bersama Kuan Yew.

Suatu tragedi amat menyedihkan berlaku dalam Utusan Melayu yang menjadi sejarah hitam apabila Yusuf yang diketahui begitu erat dengan A. Samad Ismail seperti isi dengan kuku, telah terpaksa menyingkirkan beliau ke Jakarta atas permintaan Tunku yang tidak mahu beliau datang ke Kuala Lumpur bagi mengetuai Utusan yang akan berpindah ke Kuala Lmpur kerana Tunku mengetahui A.Samad Ismail sebagai Marxist yang licin dan pintar.

A. Samad Ismail hanya sekejap sahaja di Jakarta dan meletakkan jawatan dan kembali ke Singapura yang kemudiannya bekerja dengan Straits Times. Bagaimanapun pemisahan A. Samad Ismail daripada Utusan Melayu tidak memisahkan ideologi nasionalisme kiri di Utusan Melayu. Apabila beliau mahu ditukarkan ke Jakarta menjelang pemindahan Ibu Pejabat Utusan Melayu dari Singapura ke Kuala Lumpur, seluruh pekerja Utusan di Singapura mahu melancarkan mogok tetapi dibatalkan. Mungkin kerana menghormati Yusuf Ishak.

Mogok yang ditangguhkan inilah yang sebenarnya diadakan semula oleh wartawan-wartawan dan pekerja-pekerja Utusan dengan diketuai Said Zahari pada 21 Jun 1961 yang didorong oleh ideologi kekirian yang dihayati dan diwarisi daripada A. Samad Ismail. Semangat itu "membara dalam sekam" dalam kalangan kader-kadernya di Utusan Melayu.


Said Zahari: Noktah memoir si nasionalis

SAID Zahari yang kembali ke rahmatullah dalam usia 88 tahun semalam satu nama besar bukan sahaja di Singapura malahan melewati Malaysia.

Sejarah hidup bekas Pengarang Utusan Melayu ini merentasi zaman yang diselubungi momen-momen kecelaruan politik antara fahaman nasionalisme, sosialisme dan komunisme sekitar 1940-an sehingga 1960-an.


SAID ZAHARI ketika mudanya di pejabat Utusan Melayu di Cecil Street, Singapura (gambar kiri) dan bersama bukunya, Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik pada 2001. – ARKIB UTUSAN MELAYU

Bagi orang muda seperti penulis sendiri, nama Said bukan ‘satu nama besar dan dikenali’, apatah lagi kisahnya tidak pula diceritakan dalam buku Sejarah yang dipelajari sehari-hari di sekolah.

Nama Said memuncak apabila berlakunya mogok selama tiga bulan di Utusan Melayu pada 1961 ekoran bantahan pekerja terhadap pengambilalihan syarikat berkenaan oleh UMNO. Mogok itu mencatat sejarahnya tersendiri kerana para pekerja yang mela­kukan mogok berkenaan bukan bermogok untuk urusan ke­na­­i­k­­­an gaji. Sebaliknya untuk mempertahankan kebebasan akhbar berkenaan daripada dikuasai dan menjadi alat-alat suara kepada parti-parti tertentu.

Inilah prinsip perjuangan beliau yang akhirnya menyebabkan beliau terusir dari Malaya (ketika itu) ke Singapura yang juga tanah kelahirannya.

Said dilahirkan di Singapura pada tanggal 18 Mei 1928. Beliau berketurunan Jawa. Mendapat pendidikan Inggeris dan Melayu di Singapura. Semasa pendudu­k­an Jepun beliau berpeluang mengikuti kursus bahasa Jepun di sekolah perguruan Jepun, Sihan Gakko di Singapura selama dua tahun. Selepas pendudukan Jepun, Said meneruskan pelajaran ke peringkat Senior Cambridge.

Umum mengetahui bahawa politik Singapura suatu ketika saling berkait rapat dengan politik Tanah Melayu.

Percantuman Singapura dalam gagasan Malaysia pada 1963 menambahkan lagi jalan cerita sejarah politik yang agak panas ketika itu.

Said tidak terkecuali daripada terbabit dengan politik. Ketika itu kuasa dan kredibiliti seorang wartawan amat hebat.

Setelah kembali ke Singapura selepas pemogokan di Utusan Melayu itu, beliau memutuskan menyertai Parti Rakyat Singapura pada 1962 dan akhirnya dilantik menjadi Ketua Umum parti ber­kenaan.

Begitupun, menjadi seorang pemimpin sebuah parti politik bukanlah sesuatu yang mudah. Parti Rakyat Singapura adalah parti berbilang kaum yang mana terdapat kaum-kaum tertentu mendominasi parti berkenaan. Hakikat ini terpaksa didepani parti berkenaan apabila sampai suatu ketika berlaku penyimpangan ideologi antara ahli dan pemimpin - akibat penyerapan ideologi sosialis yang ‘berkiblatkan’ Beijing dalam kalangan ahli sehingga ideologi asas parti iaitu Marha­­en­is­me (sosiodemokrasi-nasional) yang diasaskan oleh Ahmad Boestamam mula terpinggir.

Said sendiri turut merasakan bahawa terdapat penyusupan anasir komunis dalam parti ber­kenaan dan agak sukar untuk menafikannya. Hubungan baik parti ini dengan sebuah lagi parti politik kiri Singapura iaitu Barisan Sosialis secara tidak langsung bagai menimbulkan suatu kesan yang agak berat di mata pihak peme­rintah terutamanya kepada Lee Kuan Yew yang ketika itu Setia­usaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Dekad-dekad awal 1950-an dan 1960-an adalah satu tempoh sukar bagi Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Selain perjuangan menentang penjajahan British, rakyat juga terpaksa berhadap­an dengan ancaman pe­ngaruh komunis tidak kira dari segi perjuangan bersenjata mahupun ideo­logi. Perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyebabkan berlakunya tempoh darurat di Tanah Melayu akhirnya menyebabkan Said dan partinya berada dalam keadaan yang tertekan.

Parti Rakyat Singapura bukanlah sebuah organisasi yang besar dan kuat. Ini diakui sendiri oleh Said. Penyimpangan ideologi asal kepada ideologi yang banyak dipengaruhi oleh sosialisme Beijing (ala-Mao) sedikit-sebanyak telah menyebabkan parti itu dicap sebagai berhaluan komunis.

Said akhirnya ditangkap dan dipenjarakan oleh pemerintah Singapura, yang diikuti penangkapan beberapa orang lagi aktivis menerusi satu operasi besar-besaran yang dinamakan Operation Cold Store.

Beliau ditahan di Singapura selama 17 tahun dari 1963 sehingga 1979, sebelum Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad menarik semula larangan terhadapnya memasuki Malaysia pada 1989.

Said menukilkan pengalaman, pengamatan dan penglibatannya sebagai wartawan dan aktivis politik dalam bukunya, Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik.

Catatan memoir itu merangkumi perkembangan politik dan persuratkhabaran tanah air, Malaya/Singapura dalam konteks Asia Tenggara, khususnya pada zaman perubahan politik yang kualitatif sekitar 1940-an hingga 1960-an.

Memoir itu turut menyingkap kisah suka-duka Said sebagai wartawan Utusan Melayu yang menjadi suara rakyat memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajahan British.

Said ialah idola yang akan dikenang sampai bila-bila. Benarlah kata Sasterawan Negara, Allah­yarham Usman Awang terhadap Said Zahari dalam sajak besar catatan September 1999 ini:

Berapa banyakkah 
darah mengalir

Tulang yang patah tak terhitung

Bertaburan di lantai bisu ini

di Pulau Singapura

Di mana-mana di bumi ini

Ribuan penjara dan

Jutaan si Berani.

Atas nama ‘keselamatan umum’

Penuhlah penjara ngeri 
melin­dungi

Keselamatan mereka segelintir jumlahnya;

Atas nama ‘undang-undang’

Rakyat dirompak dan dicandui

Sambil meneriakkan ‘demokrasi’.

Di mana-mana di bumi ini

Si penjenayahlah yang memulakan perang

Penjara dibinanya untuk mengancam;

Tapi di mana-mana di bumi ini

Sekalian rakyat bersuara bertindak

tiada tangan menahan ombak

Lojika rakyat lojika
sejarah manusia

Saudara

Telah tiga ribu hari rebah

Rebah di kaki pemerintah 
yang goyah

Keyakinan dan keberanian 
meng­heretmu lagi

Ribuan hari berdiri 
di penjara ngeri.

Suaramu dari penjara Singapura:

‘Mereka akan berkembang

Menghancurkan manusia biadab

Dan rakyat nanti

Tiada takut lagi’ Salut 
untuk Said Zahari

Salut untuk mereka yang berani!”

Al-Fatihah buat Said.

-
Tags: pejuang, sejarah
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments