kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Rumah api tertua di Malaysia, laluan terowong Cape Rachado, Air pusar jadi keramat 
di Tanjung Tuan

Air pusar jadi keramat 
di Tanjung Tuan


Selain rumah api dan sejarah Battle of Cape Rachado, Tanjung Tuan juga tidak lari daripada dikaitkan dengan cerita-cerita misteri. Misalnya, puaka Tanjung Tuan.

Menurut Pengawal Keselamatan Rumah Api Tanjung Tuan, Jamadin Shaaban, terdapat sebuah kawasan di perairan berhampiran pantai di situ dikatakan berpuaka.

“Cerita tentang puaka di Tanjung Tuan boleh dikatakan kisah turun temurun. Sampai sekarang, tidak ada sampan atau bot-bot kecil berani melalui kawasan itu.

“Daripada cerita yang saya dengar, dahulu kawasan perairan tersebut telah menelan banyak bot-bot kecil terutama milik nelayan ketika melalui kawasan itu. Lebih teruk lagi bot dan penumpangnya hilang tanpa dapat dikesan.


PERIGI ini dikatakan digali oleh Hang Tuah ketika beliau bertapa di Tanjung Tuan.

“Kawasan yang dimaksudkan ialah perairan di sebalik bukit Batu Putih, dari Tanjung Tuan menghadap ke pantai Sri Purnama,” katanya ketika di temubual S2.

Tambah beliau lagi, dahulu dikatakan terdapat seorang tua yang berjaya melalui kawasan perairan tersebut dengan selamat.

“Orang tua itu dikatakan mempunyai keramat kerana berjaya melalui kawasan itu dengan selamat, sedangkan ramai orang hilang selepas melalui kawasan berkenaan.

“Sampai sekarang tidak ada orang berani lalu situ. Ia dikatakan berpuaka kerana kawasan tersebut merupakan titik pertembungan tiga arus.

“Arus dari tengah laut, Teluk Kemang dan bahagian selatan bertembung di situ lalu membentuk pusaran air yang agak besar. Kalau air pasang besar, pusaran itu boleh kelihatan dengan jelas,” katanya.

Jamadin bercerita lagi, terdapat banyak lagi misteri di Tanjung Tuan memandangkan tempat tersebut merupakan antara kawasan bersejarah di negara ini.

“Dekat pantai menghadap ke Kuala Linggi, Melaka, di kaki bukit Tanjung Tuan ini, terdapat dua buah perigi. Satu perigi buta dan satu lagi masih boleh digunakan.

“Yang perigi buta itu, orang Belanda gali dahulu. Manakala perigi yang satu lagi dipercayai perigi Hang Tuah. Dekat perigi itu, dikatakan tempat orang berlatih silat termasuk Hang Tuah bertapa sehingga meninggalkan kesan tapak kaki yang boleh dilihat hari ini.

“Orang dahulu juga pernah bercerita, dekat perigi itu pernah wujud sebuah perkampungan. Buktinya terdapat batu nisan kubur-kubur lama. Tetapi, ia telah dimusnahkan oleh pihak berkuasa kerana ada orang buat aktiviti pemujaan di situ,” ujarnya.

Hari ini, kawasan tersebut telah digunakan oleh orang awam sebagai tempat perkhemahan, sementara perigi Hang Tuah masih mengeluarkan air bersih sehingga hari ini.


Lokasi pertempuran Battle of Cape Rachado

Cape Rachado adalah perkataan dalam bahasa Portugis. Kalau dalam bahasa Inggeris, ia bermaksud broken cape kerana kedudukan sebenarnya terputus dari daratan negeri Melaka yang ketika itu di bawah pentadbiran Portugis.

Puncak bukit di Cape Rachado suatu ketika dahulu pernah menjadi saksi kepada sebuah pertempuran yang berlaku di tengah laut Selat Melaka.

PERIGI ini dipercayai digali oleh Belanda di era penjajahannya sekitar kurun ke-19, namun kini airnya sudah kering.

Peperangan yang berlaku di situ merupakan peristiwa penting dalam sejarah Tanjung Tuan. Seperti diceritakan Penolong Pegawai Laut Jabatan Laut Wilayah Tengah, Pelabuhan Sungai Udang, Bachok Banan, pertempuran tersebut berlaku pada awal kurun ke-17.

“Pertempuran ini digelar Battle of Cape Rachado. Ketika itu, Melaka masih lagi di bawah jajahan Portugis, sementara Belanda ketika itu cuba merampas Melaka daripadanya.

“Justeru, berlaku pertempuran antara dua kuasa besar itu yang melibatkan 11 buah kapal armada dari Belanda dan 20 buah kapal perang milik Portugis.

“Ketika itu, Belanda datang ke Melaka sebagai sebuah syarikat yang dipanggil Syarikat Hindia Timur Belanda atau Vereenigde Oost-Indishce Compagnie (VOC),” katanya ketika ditemubual S2 baru-baru ini.

Jika kita lihat pada logik, sudah pasti armada yang besar mempunyai peluang lebih baik untuk memenangi peperangan. Begitu juga yang berlaku ketika peperangan antara dua kuasa besar itu.



Pemandangan matahari terbenam dari Rumah Api Tanjung Tuan

Di penghujung peperangan tersebut, beliau menambah, Belanda kalah teruk dan kedua-dua negara itu telah kehilangan beberapa buah kapal termasuk Portugis meskipun negara itu memenangi pertempuran tersebut.

“Belanda kehilangan dua buah kapalnya iaitu Nassau dan Middelburg di perairan Port Dickson meskipun mendapat bantuan daripada Johor yang merupakan kesinambungan kerajaan Melaka sebelum diserang Portugis.

“Manakala Portugis juga kehilangan dua buah kapal dan salah satunya bernama Salvadaor Sao.

“Kapal-kapal tersebut tenggelam akibat rosak ekoran bedilan peluru, meriam dan sebagainya. Pada 1995, sebuah pencarian telah dilakukan dan kapal-kapal yang tenggelam di sana dan kapal terbabit berjaya ditemui. Artifaknya kini dipamerkan di sebuah muzium di Kota Lukut,” ujarnya.

Menurutnya, itulah antara peristiwa penting yang berlaku di Tanjung Tuan. Namun, katanya, banyak kajian sejarah mencatatkan terdapat kisah menarik lain pernah berlaku di perairannya termasuk kisah misteri.

“Fakta menarik tentang Tanjung Tuan adalah sejarahnya. Terdapat sejarah yang nyata dan tidak nyata. Yang nyata ialah sejarah pembinaan rumah api dan pertempuran Battle of Cape Rachado.

“Manakala kisah tidak nyata pula ialah misteri dan keramat yang terdapat di Tanjung Tuan. Seperti perigi dan tapak kaki Hang Tuah, perigi Belanda serta kubur-kubur lama yang telah dimusnahkan.

“Selain itu, terdapat sebuah tempat yang disebut penduduk tempatan dahulu sebagai puaka kerana kawasan tersebut akan ‘menelan’ bot-bot nelayan yang melaluinya,” katanya mengakhiri perbualan.


Misteri laluan terowong


Tanjung Tuan atau Cape Rachado sebenarnya sebuah hutan rekreasi yang menyimpan pelbagai kisah sejarah. Selain sejarah kewujudan rumah api, terdapat sebuah terowong yang dikatakan pernah wujud di sana suatu ketika dahulu.

Kedudukan rumah api di Tanjung Tuan berada pada ketinggian kira-kira 118 meter dari paras laut dan ketinggian menara lampu pula 24 meter.


PINTU masuk utama ke Hutan Rekreasi dan Rumah Api Tanjung Tuan.

Hari ini, pengunjung hutan rekreasi di Tanjung Tuan boleh berjalan kaki atau menaiki basikal hingga ke puncak bukit yang menempatkan rumah api melalui sebatang jalan yang sudah diturap.

Dahulu, sebelum jalan tersebut diturap, laluan ke rumah api hanyalah laluan kecil yang dibuka bagi kemudahan pekerja rumah api masuk ke sana dari kaki bukit.

Sebelum itu, dikatakan tidak wujud jalan kecil tersebut, sebaliknya terdapat sebuah terowong bawah tanah dari kaki bukit menuju ke bahagian bawah rumah api.

Kemungkinan itulah laluan yang digunakan oleh pekerja zaman dahulu sewaktu zaman penjajahan Belanda kerana menurut Penjaga Rumah Api Tanjung Tuan, Mohamed Jamil Ahmad, 59, sebelum ini tidak ada laluan mudah untuk sampai ke atas dari kaki bukit.

“Ini semua sebenarnya cerita dari pengkaji-pengkaji sejarah yang pernah membuat kajian mengenainya, kemudian mereka menemukan sebuah lubang besar dekat kaki bukit berhampiran pintu masuk ke hutan rekreasi.

“Saya tidak menolak jika dahulu terdapat terowong untuk sampai ke rumah api kerana dahulu ia beroperasi menggunakan minyak tanah untuk hidupkan api.

“Bayangkan macam mana hendak angkut bertong-tong minyak tanah untuk sampai ke rumah api dari bawah sana. Memang mustahil sebab dahulu tidak ada laluan, kenderaan pun tak ada.

“Jadi, mungkin mereka menggunakan terowong tersebut untuk membawa tong-tong minyak dan pelbagai peralatan lain untuk mengoperasikan rumah api.

“Mereka masuk ke dalam terowong. Apabila sampai di ruang bawah rumah api, mungkin pekerja dahulu menggunakan tali untuk bawa naik barang-barang dan peralatan tersebut,” katanya sambil membawa kru S2meninjau persekitaran rumah api tersebut.

Di samping kewujudan terowong yang didakwa menjadi laluan untuk ke rumah api, beliau juga menjangkakan kemungkinan terdapat kelengkapan atau peralatan lain tertimbus di dalam terowong berkenaan.

“Itu cerita pekerja terdahulu yang mendakwa terdapat sebuah terowong di sini. Tetapi, terowong itu kini tidak lagi kelihatan dan saya juga tidak pasti kedudukan tepat pintu masuknya kerana sudah tertimbus.

“Namun begitu, saya dan rakan-rakan sekerja lain menjangkakan kemungkinan terdapat barang-barang dan peralatan berkaitan rumah api tertimbus sekali dalam terowong tersebut.

“Cuma sekarang kita tak tahu kedudukan terowong itu, kecuali kalau ada orang buat ekskavasi, mungkin kita akan temui barang-barang tersebut,” katanya.

Selain itu, menurut Mohamed Jamil, terdapat juga kisah mengatakan terdapat laluan atau tangga dari kawasan pantai untuk naik ke rumah api.

“Cerita itu, saya dengar dari orang-orang lama yang pernah bekerja di rumah api ini. Kata mereka, sebelum ini tidak ada laluan darat untuk sampai ke Tanjung Tuan.

“Justeru, laut melalui perairan Port Dickson adalah laluan paling mudah untuk sampai ke kaki bukit di Tanjung Tuan. Tambahan pula, pantai terletak di kaki bukit dan jaraknya dengan rumah api lebih dekat berbanding pintu utama sekarang.

“Cuma sekarang, ia hanya cerita sahaja. Ini kerana kita belum lagi temui apa-apa sebagai bukti. Kalau terdapat kesan-kesan laluan atau binaan lama tangga berkenaan dari pantai ke atas bukit di rumah api, tentu lain pula jadi ceritanya,” ujarnya.


Rumah api tertua di Malaysia

DI
seluruh Semenanjung Malaysia kini terdapat 14 buah rumah api berfungsi menunjukkan laluan kepada kapal dan memberi amaran tentang beting pasir, batu karang atau kawasan cetek.

Daripada semua rumah api itu, terdapat sebuah rumah api tertua yang telah berfungsi sejak 200 tahun lalu. Catatan-catatan sejarah menyatakan Rumah Api Tanjung Tuan itu dibina oleh British, namun hakikatnya ia telah wujud sebelum kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu.

Mengikut catatan British, Rumah Api Tanjung Tuan dibina pada 1863 dan merupakan yang tertua di Malaysia. Ia mempunyai reka bentuk silinder dengan ketinggian 24 meter.

LALUAN untuk Tanjung Tuan, Melaka atau Cape Rachado di Tanjung Biru, Port Dickson.

Di samping itu, rumah api yang terletak di Tanjung Tuan kira-kira 20 kilometer dari pusat bandar Port Dickson, Negeri Sembilan itu juga dikenali sebagai Cape Rachado.

Cape Rachado itu merujuk kepada sebuah tanjung kecil yang mempunyai dua buah puncak bukit. Ia sebenarnya sebahagian dari negeri Melaka tetapi tiada laluan darat yang boleh menghubungkan Tanjung Tuan dengan mana-mana daerah di negeri itu.

PERMANDANGAN Rumah Api Tanjung Tuan pada waktu malam dari Pantai Sri Cahaya, Port Dickson. -

Itulah keunikan Tanjung Tuan, kata Penolong Pegawai Laut, Jabatan Laut Wilayah Tengah, Bachok Banan yang turut menceritakan tentang sejarah pembinaan rumah api berkenaan.

“Kita tidak ada catatan tentang sejarah asal pembinaan Rumah Api Tanjung Tuan, tetapi rujukan dibuat mengikut kepada para pengkaji sejarah yang membuat kajian tentang kewujudan rumah api ini.


PEMANDANGAN arah selatan dari atas menara Rumah Api Tanjung Tuan. Kelihatan Kuala Linggi, Melaka

“Banyak penemuan daripada para pengkaji memberitahu rumah api ini telah dibina dan beroperasi sejak 1817. Ia mungkin telah berfungsi lebih awal daripada itu memandangkan Portugis yang menggelar Tanjung Tuan sebagai Cape Rachado.

“Sehingga sekarang, masih terdapat lagi pelbagai andaian tentang sejarah rumah api ini dan pembinaannya masih menjadi tumpuan ramai pengkaji sejarah untuk menyelidik asal usulnya,” katanya semasa menemani penulis melawat Rumah Api Tanjung Tuan baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menceritakan kepentingan rumah api di Tanjung Tuan sebagai isyarat kepada pelayar tentang bentuk muka bumi di Selat Melaka.

Malah, katanya juga, dahulu di Tanjung Tuan wujud dakwaan yang menyatakan terdapat dua buah rumah api, masing-masing dibina oleh pihak Portugis dan Belanda.

“Untuk pengetahuan awak, jarak antara Tanjung Tuan dengan Pulau Rupat, Indonesia cuma sekitar 24 kilometer sahaja. Bermakna kapal yang lalu di Selat Melaka menyusuri bahagian paling sempit di lautan tersebut.

“Justeru, signifikan rumah api ini juga memberitahu kapten kapal bahawa terdapat banyak dasar cetek dan terumbu karang berhampiran laluan perairan antarabangsa.

“Memandangkan Selat Melaka merupakan laluan kedua tersibuk di dunia selepas Selat Inggeris sejak dahulu lagi, maka terdapat dakwaan mengatakan pernah wujud dua buah rumah api.

“Itu cuma cerita dari mulut ke mulut mengatakan Portugis dan Belanda pernah membina rumah api di Tanjung Tuan, tetapi ramai pengkaji menyangkal kerana tiada bukti catatan dan arkeologi tentang kewujudan rumah api tersebut,” jelasnya.

Tanjung Tuan juga pernah menjadi saksi kepada beberapa peristiwa bersejarah termasuklah peperangan yang digelar Battle of Cape Rachado.

Tambah Bachok lagi, nama Cape Rachado sebenarnya diberikan oleh seorang pelayar Portugis sekitar kurun ke-16 yang bermaksud Tanjung Patah.

Banyak lagi peristiwa pernah berlaku di Tanjung Tuan yang dikatakan pernah menjadi tempat Laksamana Hang Tuah bertapa serta kewujudan sebuah terowong misteri.

Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments