kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Inovasi teknologi pencahayaan, Operasi rumah api kini lebih mudah

Operasi rumah api kini lebih mudah

Teknologi
setiap hari semakin berkembang. Dari seluruh pelosok dunia, pasti ada sahaja benda baharu dicipta untuk menepati keperluan ataupun gaya hidup.

Begitu juga operasi rumah api di Tanjung Tuan, Melaka. Kalau dahulu untuk hidupkan api, memerlukan minyak tanah atau kerosin, kemudian pusingan kantanya pula harus dikunci pada waktu-waktu tertentu.

Tetapi pada hari ini, kata Penjaga Rumah Api Tanjung Tuan, Mohamed Jamil Ahmad (gambar), 59, semua itu tidak lagi dilakukan kerana sekarang operasinya menjadi lebih mudah berbanding dahulu.


BINOKULAR yang digunakan dahulu untuk mengenal pasti kapal yang melalui Selat Melaka.
KANTA pemancar cahaya dari Rumah Api Tanjung Tuan.

MESIN generator digunakan sewaktu bekalan elektrik terputus. -
.

“Sekarang operasi rumah api semuanya automatik seperti lampu hidup menjelang waktu senja, pengaktifan lampu pengganti, kecemasan dan juga sokongan bekalan elektrik jika terputus.

“Lampu akan dihidupkan sekitar pukul 7.20 petang, bergantung kepada kedudukan matahari atau lebih mudah, kita lihat waktu solat yang sering berubah mengikut putaran bumi.

“Sebaik sahaja waktu senja, lampu akan hidup secara automatik, tetapi sebenarnya saya lebih suka ia dihidupkan secara manual sebab kita sendiri dapat mengesahkan bahawa lampu itu menyala,” katanya ketika ditemubual S2.

Jelasnya lagi, lampu tersebut akan menyala selama 12 jam sepanjang malam, begitu juga kanta yang menentukan berapa kali kerlipan cahaya rumah api.

Beliau juga perlu bermalam di sana untuk tempoh tertentu bagi memastikan rumah api beroperasi dengan baik tanpa sebarang masalah.

“Kalau ada sebarang kejadian yang tidak diingini, kita akan maklum kepada pejabat Jabatan Laut di Pelabuhan Sungai Udang. Tetapi, setakat ini belum ada lagi kejadian-kejadian tidak diingini berlaku. Bagaimanapun, kita ada prosedur operasi standard (SOP) untuk menanganinya.

“Waktu kerja saya di rumah api boleh dikatakan 24 jam, untuk tempoh 10 hari. Cukup 10 hari, penjaga lain pula akan datang bekerja. Begitu juga seterusnya secara bergilir-gilir.

“Dahulu, jumlah penjaga yang perlu ditempatkan di rumah api ialah tujuh orang. Kemudian jumlah itu semakin berkurangan sehinggalah sekarang, cuma seorang sahaja. Sungguhpun begitu, ada pengawal keselamatan tetap yang menjaga pintu masuk dan keselamatan rumah api setiap hari.

“Selama 10 hari ini, saya seorang sahajalah... tinggal anak dan isteri sendirian di rumah. Dahulu lagi lama, 20 hari hingga sebulan,” ujarnya.


Inovasi teknologi pencahayaan

Sebelum
adanya elektrik bagaimana agaknya lampu di Rumah Api Tanjung Tuan dinyalakan?

Juruteknik Jabatan Laut Malaysia, Noor Asikin Shukor menerangkan, rumah api tertua di Malaysia itu dahulu pernah dihidupkan dengan nyalaan api.

Kadar kilauan cahaya yang diperlukan bagi memastikan cahaya api dapat dikesan nakhoda kapal pada jarak 20 batu nautika ialah bersamaan dengan 300,000 batang lilin yang dinyalakan serentak.


NOOR Asikin menguji suis dan arus elektrik untuk memastikan lampu rumah api berfungsi dengan baik.

“Rumah api ini telah melalui inovasi penggunaan tenaga, daripada gas sehinggalah hari ini menggunakan elektrik.

“Sebuah penunu telah digunakan untuk menyalakan api. Ia dihidupkan dengan minyak tanah atau kerosin di awal kewujudannya pada kurun ke-19.

“Manakala putaran kantanya pula menggunakan konsep kunci jam. Teknik kunci jam dahulu dioperasikan secara berkala iaitu setiap empat jam kuncinya dipusing untuk memastikan kanta rumah api berpusing dari petang hingga ke pagi,” katanya kepada S2.

Katanya, pada 1956 tenaga elektrik yang dihasilkan daripada alat jana kuasa digunakan di rumah api ini menggantikan penggunaan minyak tanah.

“Dahulu terdapat tiga mesin jana kuasa dihidupkan secara bergilir-gilir untuk mengoperasikan rumah api ini.

“Perubahan juga berlaku kepada teknologi mentol daripada penunu gas kepada mentol berfilamen, kemudian mentol ‘gas metal’ dan mesin pemusing kanta, daripada konsep kunci jam kepada tenaga motor,” ujarnya.

Noor Asikin berkata, bagi memastikan rumah api itu beroperasi setiap masa, terdapat beberapa langkah pengaktifan tenaga sokongan telah ditetapkan.

“Sebagai contoh, jika mentol utama terbakar, mentol kedua akan mengambil alih secara automatik. Begitu juga dengan penjanaan tenaga.

“Jika terdapat gangguan daripada bekalan TNB, secara automatik mesin jana kuasa dihidupkan. Jika mesin jana kuasa rosak, set bateri inverter dihidupkan bagi membolehkan lampu dihidup dan menggerakkan kanta.

“Kemudian, jika masalah lebih teruk berlaku seperti mentol utama dan kedua tidak berfungsi, maka langkah seterusnya untuk memastikan nakhoda kapal tahu kedudukannya di laut ialah menghidupkan lampu kecemasan yang terangnya sama dengan lampu asal,” jelasnya.











MESIN untuk memusingkan kanta pemancar cahaya sebelum diganti sistem motor yang digunakan pada hari ini. LAMPU lama yang pernah digunakan di Rumah Api Tanjung Tuan. - MENTOL jenis filamen halida yang digunakan sekarang. PENUNU digunakan bagi menghasilkan cahaya sebelum penggunaan mentol selepas adanya bekalan elektrik.
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments