kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mengapa saya menulis

Sebelum memulakan tulisan, izinkan saya memetik petikan berikut:

“Kalau hidup di dunia ini, perkayakanlah jiwamu kerana seorang yang miskin jiwanya dari cita-cita adalah seperti hidup tak bernyawa. Kita yang miskin ini mestilah mempunyai jiwa dan semangat yang kuat.” — Usman Awang, Cinta di Bumi Hang Tuah, 1950.

Saya bukanlah seorang penulis tetapi saya suka menulis dan saya semestinya bukan seorang pengarang. Apa yang memisahkan seorang penulis dan seorang yang suka menulis adalah seperti seorang penyanyi professional dan seorang yang tidak sedap menyanyi.

Seorang penyanyi professional suaranya merdu dan tahu pula not-not muzik yang dikehendaki oleh pencipta lagu tetapi seorang yang tak pandai, menyanyi sumbang di sana-sini. Bukan dia tidak tahu menyanyi tetapi dia tidak punya bakat dan suara yang melayakkan dia digelar seorang penyanyi.

Dia hanya tahu melontarkan suara yang difikirkan sedap pada telinga sendiri tetapi sumbang di sisi orang lain. Tetapi boleh saja jika dia mahu menyanyi. Tidak salah asalkan sedar pada kemampuan diri sendiri.

Dengan latihan, seorang yang tidak berbakat boleh menjadi penyanyi yang baik. Begitulah saya. Saya bukan penulis tetapi saya suka menulis. Siapa yang tidak tahu menulis? Sejak kecil kemahiran menulis sudah diajar dan diterap dan cara kita menggunakan tulisan yang membezakan kita.

Ada pepatah lama mengatakan “mata pena lebih tajam dari mata pedang.” Hebatnya seorang penulis yang hasil tulisannya boleh menyebabkan jatuh atau bangunnya sebuah tamadun.

Tetapi tanggungjawab penulis adalah pada etika yang tidak harus ditinggalkan semasa menulis. Penulis tidak boleh menghalalkan segala macam keburukan dan cacian kononya atas nama seni atau masyarakat.

Pena yang baik adalah pena yang dipandu oleh etika bukannya pena amarah.

Sebagai seorang penulis, sentiasa wujud pertanyaan-pertanyaan yang mendorong seseorang untuk menulis. Pertanyaan ini mungkin falsafah-falsafah dalam diri yang boleh memandu seorang penulis ke arah kegemilangan dan seterusnya menghasilkan tulisan yang akan dikenang selama seratus tahun.

Ada penulis yang menunggu ilham baru mahu menulis. Adakah ilham seperti sebiji mentol yang menyala di atas kepala kita apabila ilham tiba? Ilham tidak akan wujud secara tiba-tiba tetapi ilham akan wujud bergantung kepada ilmu dan pengalaman yang kita ada.

Penulis akan hanyut dalam cinta kepada penulisannya. Ada penulis yang suka menyimpan sahaja hasil penulisan tanpa berkongsi kepada orang lain kerana segan akan pendapat orang lain dan kutukan-kutukan dari rakan.

Apa guna anda menulis jika begitu caranya. Jangan takut jika tulisan disanggah atau dibantah. Teruskan menulis dan jangan patah semangat kerana tidak semua penulisan akan diterima pada mulanya kerana semua manusia ada egonya sendiri dan penulis perlu menyimpan ego yang lebih tinggi untuk hasil tulisan sendiri.

Kenapa saya menulis?

Ini adalah pertanyaan yang berat sekali kerana sifat mahu menulis ini hanya timbul sejak beberapa detik. Pengalaman akan mematangkan manusia dan dengan usia yang bertambah, manusia akan mula mencari maksud di sebalik hidup.

Sikap pentingkan diri akan mula mengikis apabila manusia mula sedar yang kita tidak boleh menongkat langit. Manusia sentiasa bermimpi untuk mengubah dunia dan perihal masa depan mula menempati segenap ruang fikiran.

Keinginan untuk berbakti kepada negara mula membuak-buak dengan kelemahan dan kemungkaran yang berlaku di tanah tumpah air. Yang lemah ditindas dan yang kaya makin tersenyum lebar.

Maka saya mengambil keputuan untuk menulis, kononnya untuk mengubah mentaliti masyarakat tetapi untuk mengubah mentaliti diri sendiri dahulu adalah paling sukar. Sang Sufi Jalaluddin Rumi pernah berkata “Semalam saya pintar, jadi saya ingin mengubah dunia. Hari ini saya bijaksana, jadi saya mengubah diri sendiri.”

Tulisan haruslah mencerminkan diri sendiri. Tidak guna jika menulis berjela-jela dengan memetik hadis dan ayat Al-Quran jika diri sendiri hanya merujuk kepada kitab suci apabila mahu menghalalkan perbuatan atau tulisan diri sendiri.

Inilah antara yang terjadi di negara kita. Kita berbangga kononya kita lebih Islamik dari orang lain dengan melemparkan kritikan dan kejian tetapi ibarat meludah ke langit. Dalam keghairahan untuk menukar orang lain, kita lupa untuk menukar diri sendiri.

Tulisan juga harus dilawan dengan tulisan. Manusia yang terlalu banyak bercakap akan lebih banyak melakukan kesilapan kerana percakapan lebih banyak melibatkan emosi dari intelektualiti.

Dengan menulis, emosi dapat dikongkong dengan lebih berkesan untuk menghasilkan tulisan yang dapat menyentuh diri dan masyarakat. Setelah membaca,masyarakat harus menulis kerana jika sekadar membaca, ilmu tidak akan dikongsi.

Maka menulislah, jangan sekadar bercakap.

- Mohd Hasnul Mohd Sani  Projek MMO Pendapat April 22, 2016 11:22 AM GMT+8
Tags: menulis, writings
Subscribe

Posts from This Journal “menulis” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments