kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Panglima Awang: Baka Melayu

Sanjungan tertinggi wajar dirakam kepada Allahyarham Cikgu Harun Muhamad Amin atau Harun Aminurrashid atas keyakinannya membina kemelayuan Panglima Awang, meskipun wujud keraguan amat mendalam dan meluas terhadap kebenaran novel sejarahnya itu, ketika terbit pada 1958. Banyak hal kemelayuan ketika itu, yang beratus tahun diperkecil oleh penjajah dan baru sempat memerdekakan diri pada tahun 1957, menyebabkan kesejarahan dan kemelayuan Panglima Awang, apalagi tentang kepanglimaannya, amatlah diprasangkakan.

Cikgu Harun sendiri sudah hampir sinonim dengan pencerekaan pelbagai peristiwa dan tokoh Melayu, termasuk karya-karya Jong Batu Atau Anak Nakhoda Manis, 1958; The Kedayan Blood, 1960 (Terjemahan); A Malay Among The Portugese, (terjemahan) 1961; Darah Kedayan, 1965; Anak Panglima Awang, 1963; dan Panglima Awang. Cet. Ke 12, 1972. Maka pastilah sebuah karya seperti Panglima Awang adalah juga cereka sejarah tanpa kebenaran.

Kajian sejarah lebih mantap dilaksanakan pada pertengahan tahun 2000 oleh Profesor Nik Hassan Nik Abdul Rahman dan rakan-rakan dari UKM. Demikianlah Panglima Awang bangkit daripada debu-debu prasangka dengan segala kegigihannya menjiwai kepahlawanan Melayu, dan muncul sebagai penjelajah dunia pertama, mengatasi legenda Eropah yang menyanjung Ferdinand Magellan. Kini fakta itu diiktiraf dan teguh tersebar dalam karya besar seorang sejarawan University Havard, Amerika Syarikat, Profesor Dr. Joyce Chaplin, Round About the Earth: Circumnavigation from Magellan to Orbit (Mengitari Bumi: Penjelajahan dari Magellan hingga Mengorbit), 2012.

Keunggulan Melayu yang dijulang Cikgu Harun ialah natijah ketajaman pengamatannya sebagai seorang sejarawan SITC, hanya sebuah maktab perguruan sekolah rendah Melayu, dari sebuah laporan akhbar sejak akhir Perang Dunia Kedua. Pasti ramai yang terbaca tulisan Mohd Taha Suhaimi, “Anak Melayu Yang Pertama Mengelilingi Dunia,” Fajar Asia, November 1944. Namun hal itu tidak merangsang reaksi besar, kecuali pada Cikgu Harun. Rangsangan itu mendesaknya keras satu dekad kemudian, ketika akhbar Straits Times (Straits Times Special Feature) 22 Oktober 1955, menerbitkan tulisan GE, “First man to sail round the world was a Malay.” Hal itu disambut pula oleh akhbar Waspada, Medan 2 Juli 1956, sebagai, “Pengeliling dunia yang pertama adalah saorang Indonesia.”

Kini Panglima Awang, nama pahlawan Melayu yang digubal oleh Cikgu Harun serta dirakam sahih oleh seorang penumpang dan pengembara Itali, Antonio Pigefetta yang mencatat diari kisah pelayaran itu, sebagai seorang Enrique de Malacca, atau Henry the Black, seorang pemuda Melayu sekitar umur 18 tahun, menjadi tawanan dari taklukan Portugis Alfonso de Albuquerque di Melaka pada 1511, serta amat disayangi ahli pelayaran Ferdinand Magellan lalu ikut sama mengelilingi dunia dan menamakannya sebagai pewarisnya.

Kisah pelayaran mengelilingi dunia Magellan pada 1519-1522 ini sudah amat terkenal dan beliau dijulang sebagai tokoh pengeliling dunia. Namun semua orang tahu juga bahawa Magellan telah terbunuh dalam perang di Pulau Mactan, Cebu (Filipina) pada 27 April 1521, dalam separuh daripada seluruh pelayarannya, oleh Datu Lapulapu yang menentang penaklukan Magellan bersama Datu Humabon, Cebu, seorang mualaf Kristian.

Dalam serangan Mactan itu, Enrique de Malacca tetap bersama Magellan untuk menjadi jurubahasa yang menghubungkan angkatan Magellan dengan raja setempat. Sebagai jurubahasa, Enrique telah membina hubungan mesra dengan Datu Humabon di Cebu sehingga membolehkan Magellan membaptiskan 800 orang mualaf Kristian. Magellan pula telah berusaha untuk menjulang Datu Humabon sebagai raja Kristian yang ulung dan berkuasa di kepulauan Cebu serta pulau-pulau sekitarnya.

Untuk menegaskan kekuasaan Kristian itu maka Magellan telah menyerang Datu Lapulapu di Pulau Mactan yang berhampiran dengan menunjukkan kekuatan meriam besar, senapang dan panah silangnya serta membakar rumah-rumah atap mereka. Namun orang Sepanyol dan Magellan telah salah perkiraan, bahawa ranjau terumbu karang di sepanjang pesisir Pulau Mactan mengancam kapal untuk hampir. Dengan berlabuh jauh dari pantai segala senjata besar itu tidak lagi berkesan.

Kematian Magellan

Pasukan Datu Lapulapu telah menghujani perahu mereka dengan lembing buluh runcing dan panah beracun. Kaki mereka yang terdedah menerima tusukan racun itu dan Magellan menerima nasib maut. Enrique yang mengiringi dan melindungi beliau telah juga luka parah tetapi sempat menyelamatkan diri ke kapal bersama yang lain.

Dengan kematian Magellan, Enrique telah membebaskan dirinya berasaskan wasiat Magellan dan bertelagah dengan nakhoda Juan Sabastian Elcano yang masih melayannya sebagai seorang hamba serta memaki hamunnya.

Senarai kelasi dan penumpang yang dicatat oleh Antonio Pigefetta seramai 18 orang pulang ke Sepanyol tidak termasuk Enrique. Nama beliau lesap tanpa berita lagi. Justeru pelbagai andaian dan telah dilakukan oleh para peneliti dan sejarawan terhadapnya. Muncullah sebuah kontroversi yang amat mempesonakan dengan pelbagai pihak menuntut Enrique sebagai daripada keturunan bangsa mereka.

Orang Cebu membina tugu Datu Lapulapu dan menerima Enrique sebagai keturunan mereka kerana boleh memahami bahasa tempatan. Orang Maluku menulis kisah yang panjang lebar (236 halaman) tentang pelayaran pahlawan Maluku (Enrique de Maluccu) mengelilingi dunia bersama Magellan dan kapal Magellan singgah di Maluku mengumpul banyak bahan rempah untuk dibawa pulang kerana bantuan Enrique.

Enrique juga dikenali sebagai Henry the Black seperti orang Maluku. (Helmy Yahya dan Reinhard R Tawas, Enrique Maluku-Pengeliling Bumi Pertama adalah Orang Indonesia (bukan Magellan, bukan Elcano). Di Malaysia dan Singapura telah lama menerima buku Harun Aminurrashid, Panglima Awang, sebagai keturunan Melayu dan mungkin daripada Orang Laut (Nik Hassan, 2009), yang mungkin pulang ke Melaka untuk menemui tunangnya, sekian lama ditinggalkan, Tun Gayah. Pigafetta pula mencatatkan bahawa Enrique adalah dari ‘Zamatra’ (Samudera, Sumatera) – Melayu, Aceh, Minangkabau, Batak? Wallahualam.

Daripada pelbagai penelitian serta pengamatan itu nyata bahawa ‘Panglima Awang’ atau Enrique de Malacca adalah benar wujud sebagai fakta sejarah pelayaran mengelilingi dunia bersama angkatan Ferdinand Magellan pada tahun 1519-1522.

Barangkali kita dapat melihat baka Melayu yang selesa mengembara serta belayar sejak hidup di Melaka sebagai hamba Sultan Melaka. Apa lagi status bahasa Melayu sebagai lingua franca Alam Melayu terbukti dalam word-list Pigafetta ketika singgah di Maluku. Hanya seorang pelayar Melayu atau keturunan Alam Melayu yang mahir dapat menjadi jurubahasa pelayaran bagi mengumpul khazanah paling bernilai pada abad ke-16, yakni rempah. Pastilah Enrique anak Melaka, baka Melayu ini yang paling tepat memenuhi syarat pelayaran mengelilingi dunia itu.

- Prof Datuk Dr Zainal Kling Utusan Malaysia Rencana 23 April 2016 6:30 PM
Tags: melayu, sejarah, tokoh
Subscribe

Posts from This Journal “melayu” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments