kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Karisma Harimau Alam Melayu, Mitos perkampungan harimau jadian, Haiwan unik, sukar diramal

Haiwan unik, sukar diramal

NGAUMAN
Kitty yang berada di dalam kandang di Seksyen Karnivor Zoo Negara membuatkan penulis tergamam. Suara Kitty, seekor harimau betina yang sudah berusia 14 tahun itu sememangnya menggerunkan.

Bagi yang tidak pernah bertentang mata dengan seekor harimau, tentu sahaja sergahan haiwan itu membuatkan sesiapa sahaja terkedu. Bayangkan jika terdengar suara seperti Kitty di dalam hutan, pasti kita akan lari lintang-pukang.




Pacin , seekor harimau jantan induk yang berada dalam jagaan Zoo Negara.

Kitty mempunyai empat anak, Kayla, Lana, Zia dan Pina yang dilahirkan pada 2013. Pasangan Kitty, seekor harimau jantan induk bernama Pacin.

Selain Kitty, Pacin juga dipasangkan dengan Zana Tasha dan mempunyai enam ekor anak. Hanya Teja dan Jati sahaja berada dalam jagaan Zoo Negara, sementara selebihnya telah diserahkan kepada zoo lain.

Anak-anak Pacin semuanya telah dewasa dan bersedia untuk mengawan. Seekor harimau yang berusia setahun menyamai umur manusia yang berusia empat tahun.

Pada usia dua tahun, seekor harimau sudah mencapai usia dewasa dan boleh menjalani kehidupannya sendiri terutama mengawan. Namun, harimau di bawah jagaan Seksyen Karnivor Zoo Negara masih hidup bersama sebagai sebuah keluarga.



Hamdan Abdul Hamid memanggil Pacin untuk bermesra dengan harimau jantan induk yang ada di Zoo Negara.

Menurut penjaga haiwan seksyen karnivor Zoo Negara, Hamdan Abdul Hamid yang telah 15 tahun bertugas, Kitty dan Zana Tasha serta anak-anak mereka sentiasa diasingkan dan tidak ditemukan pada hari dan waktu yang sama.

Katanya, mereka akan dipamerkan mengikut waktu dan hari yang berbeza. Ini bagi mengelak kesemua harimau itu bergaduh sesama sendiri.

“Selain ibu yang bersama-sama anaknya, sifat harimau adalah menyendiri. Jadi, jika kesemuanya bertemu di kawasan pameran, ia akan mencetuskan pergaduhan,” katanya.

Ditanya mengenai kehebatan harimau, Hamdan mengakui haiwan itu memiliki keunikan tersendiri. Jika singa raja segala haiwan di benua Afrika, harimau pula raja rimba di benua Asia. Harimau memiliki sifat yang kompleks dan istimewa.

Maka tidak hairan harimau menjadi lambang dalam kebanyakan sosio budaya masyarakat di benua Asia.



Umar Ashraf Anuar

Hamdan berkata, harimau haiwan ganas yang sukar diramal dan dijangkakan. Walaupun harimau di bawah jagaannya jinak dengannya, itu bukan faktor untuk dia mengambil mudah keadaan.

“Sebagai penjaganya, saya dan empat lagi rakan perlu memahami bagaimana jiwa seekor harimau. Walaupun bukan liar, harimau ini tetap memiliki naluri haiwan ganas. Adakala apabila marah, mereka sudah tidak peduli siapa penjaganya,” katanya.

Umar Ashraf Anuar yang juga bertugas menjaga Seksyen Karnivor, Zoo Negara berkata, walaupun Pacin dan harimau lain jinak, manja dan mesra dengan penjaganya, mood haiwan itu juga seperti manusia.

“Mereka akan berasa marah jika ada benda tidak kena. Sebagai contoh, orang yang tidak dikenali mendekati mereka. Ini termasuk apabila doktor datang untuk memberikan ubat atau memeriksa mereka.

“Biasanya, kehadiran doktor veterinar akan membangkitkan kemarahan harimau-harimau ini. Mereka tahu tujuan kedatangan doktor veterinar dan mereka sangat tidak suka kepada ubat. Ada satu ketika, bulunya menjadi kembang dan mengeluarkan bunyi desiran. Itu menandakan mereka sangat marah,” katanya.

Ditanya bagaimana dia menjinakkan harimau, Hamdan berkata, setiap hari dia akan melayan dan mengajak haiwan-haiwan itu bermain dan memanggil-manggil nama mereka.

“Ini penting agar harimau ini serasi dan biasa dengan kehadiran kami,” katanya.


Mitos perkampungan harimau jadian


HARIMAU merupakan haiwan yang dominan di alam Nusantara. Sejak dahulu, haiwan itu memainkan peranan yang signifikan dalam mewarnai dan mencorak sosio budaya masyarakat di rantau ini.

Dalam alam Melayu, harimau wujud sebagai haiwan yang menjadi lambang kekuatan dan kekuasaan. Di alam rimba, ia diangkat sebagai raja haiwan dan di alam masyarakat Melayu, harimau menjadi simbol keunggulan kerana karismanya yang garang dan kuat.



Harimau memiliki 1,001 mitos, misteri dan mistik dalam alam Melayu.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr. Azharuddin Mohamed Dali (gambar), harimau mempunyai pertalian rapat dengan alam Melayu sejak berkurun lamanya.

Malah katanya, harimau juga menjadi haiwan yang berada pada kedudukan tinggi dalam kalangan masyarakat di alam Nusantara, begitu juga di India dan China.

“Harimau sememangnya mempunyai hubungan akrab dengan orang Melayu terutama dikaitkan dengan kepercayaan mistik dan misteri sejak lama dahulu. Keakraban harimau dengan masyarakat ditunjukkan melalui pelbagai kisah yang sebahagiannya wujud dalam bentuk mitos dan dicampur dengan ramuan mistik yang sukar untuk dibuktikan,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Azharuddin yang pernah menulis kertas kerja mengenai harimau dan alam Melayu berkata, selain harimau jadian, masyarakat Melayu dahulu kala, malah sehingga hari ini, percaya mengenai kewujudan harimau keramat dan harimau ‘belaan’.

“Dari sudut lain, kepercayaan mitos dan mistik mengenai harimau tidak akan lengkap tanpa menyentuh mengenai kepercayaan dalam kalangan orang Melayu termasuk kebolehan seseorang dalam menguasai harimau melalui ‘ilmu harimau’ yang dimiliki,” katanya.

Katanya, kebanyakan kepercayaan orang Melayu menjurus kepada elemen-elemen mistik mengenai harimau. Mungkin yang paling menarik termasuk adanya kepercayaan bahawa wujudnya penempatan atau perkampungan harimau di lokasi tertentu di negara ini.

“Di perkampungan ini, harimau wujud dalam bentuk manusia dan bertindak seperti manusia. Rumah-rumah mereka dibina daripada kayu pokok jelatang sementara bumbungnya pula dibuat daripada rambut manusia.

“Dalam keadaan ini, orang Melayu percaya bahawa salah sebuah perkampungan harimau terletak di Gunung Ledang. Seorang penulis berketurunan Portugis pada 1600-an, Godinho de Eredia menyatakan di dalam kajiannya bahawa keselamatan Puteri Gunung Ledang dikawal oleh kalangan orang Banua yang mampu menukar diri mereka kepada harimau,” katanya.

Menurutnya, catatan de Eredia yang dikatakan dilahirkan di Melaka dan mempunyai darah keturunan Jawa itu memberi gambaran bahawa Gunung Ledang bukan sahaja sebuah gunung yang penuh dengan kisah-kisah mistik tetapi juga mempunyai elemen luar biasa seperti dakwaan wujudnya harimau jadian serta perkampungannya.

Beliau berkata, misteri perkampungan harimau juga dikatakan wujud di sebuah tempat bernama Pasumah di Sumatera. Selain itu, Pulau Jawa juga mempunyai kisah mengenai harimau yang dianggap haiwan suci sehinggakan ada sebuah kawasan dikenali sebagai Gunung Dempo yang dipercayai mengandungi sungai yang memisahkan antara alam manusia dan alam harimau.

“Garis pemisah ini akan menyebabkan seorang manusia berubah menjadi harimau dan harimau pula menjadi manusia.

“Ada juga yang dikatakan berkahwin dengan manusia namun identiti sebenarnya terdedah pada malam perkahwinan mereka,” katanya.

Azharuddin berkata, kepercayaan mengenai perkaitan antara manusia dan harimau yang saling bertukar ini turut disebut dalam kalangan masyarakat Orang Asli Jakun yang berada di Melaka yang mempercayai bahawa roh atau semangat seseorang yang telah mati boleh menyerap ke dalam tubuh harimau.

Hubungan antara masyarakat Melayu dan harimau berakar dari keadaan alam sekitar yang wujud terutama kawasan hutan yang mengelilingi perkampungan orang Melayu yang turut dihuni haiwan-haiwan liar seperti harimau.

Beliau berkata, bagi orang Melayu, harimau merupakan lambang keberanian dan kemuliaan mereka. Katanya, seekor harimau tidak akan mengganggu manusia sekiranya manusia tidak mengganggunya.


Karisma Harimau Alam Melayu

PANTHERA Tigris, Felis Tigris atau dalam bahasa lebih mudah, harimau belang mempunyai kaitan rapat dengan alam Melayu sejak zaman berzaman. Haiwan pemangsa ini dikagumi kerana kecantikannya, namun digeruni kerana kebuasan dan kegarangannya.

Di dalam alam Melayu dan budaya masyarakat Nusantara, harimau terutama spesies harimau belang menjadi lambang dan memiliki keistimewaan tersendiri dalam pelbagai aspek kehidupan. Begitu juga di alam rimba di rantau ini, harimau menduduki hierarki tertinggi selain haiwan lain kerana karismanya.

Dalam sudut sosio budaya masyarakat, harimau diangkat sebagai simbol kekuatan dan kekuasaan. Contoh mudah, harimau seringkali dijadikan lambang di dalam logo-logo rasmi kerajaan, organisasi swasta mahupun pertubuhan. Malah pasukan bola sepak kebangsaan juga menjadikan harimau sebagai lambang yang mencerminkan kekuatan negara.

Di dalam alam Melayu, harimau sering dikaitkan dengan hal-hal mistik dan misteri. Harimau jadian, saka harimau dan harimau keramat merupakan antara istilah paling popular untuk menggambarkan perkara yang bersangkut-paut dengan kejadian aneh termasuk melibatkan penjelmaan manusia kepada harimau dan sebaliknya.

Malah seni mempertahankan diri alam Melayu juga ada yang menjadikan harimau sebagai simbol atau asas dalam teknik-teknik pergerakan pertarungan.

Masyarakat Melayu bahkan sebahagian di Indonesia percaya, harimau turut dikaitkan dengan kuasa alam ghaib. Orang di zaman dahulu, datuk nenek moyang masyarakat alam Melayu dikatakan sering menggunakan kuasa harimau yang gagah, kuat dan berani ini untuk melindungi diri dan keluarga mereka berdasarkan corak kehidupan ketika zaman dahulu.

Harimau juga pernah digambarkan oleh ilmuwan Islam terkenal di Mesir suatu ketika dahulu sebagai haiwan yang memiliki sifat garang paling teruk daripada singa kerana ia spesies yang tidak dapat mengawal kemarahannya.

Dari sudut lain, harimau juga memainkan peranan yang agak signifikan dalam ilmu perubatan tradisional bukan sahaja di alam Melayu, malah bangsa lain seperti masyarakat Cina.

Anggota-anggota tertentu pada harimau dipercayai mempunyai khasiat yang dijadikan ramuan dalam ubat-ubatan tradisional. Tidak hairan, suatu masa dahulu, harimau diburu secara meluas untuk mendapatkan bahagian-bahagian tertentu, selain kulit berbulu yang mempunyai nilai tinggi dalam pasaran.

Justeru, wartawan S2, FAIZAH IZZANI ZAKARIA menyingkap rahsia di sebalik sifat dan peranan sang belang serta kaitan rapatnya dengan alam dan kebudayaan Melayu di negara ini yang sentiasa diangkat sebagai haiwan paling berkarisma dalam alam rimba Nusantara.

Tags: tiger
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments