kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kisah harimau sejak abad ke-17, Saka keramat, harimau jadian, Saka harimau membelenggu generasi

Kisah harimau sejak abad ke-17

KISAH
mengenai harimau dan pertaliannya dengan masyarakat dan kebudayaan Melayu juga banyak disebut di dalam buku-buku tulisan penulis dari barat yang pernah berada di Tanah Melayu sejak abad ke-17.

Antara kisah harimau dan masyarakat Melayu terawal pernah disebut seorang penulis berdarah Portugis dan Jawa, Godinho de Eredia yang berada di Melaka pada 1600-an yang menggambarkan sebuah perkampungan harimau jadian yang terletak di Gunung Ledang.

Penulis itu menyatakan bahawa keselamatan Puteri Gunung Ledang dikawal oleh kalangan orang berketurunan Banua yang mampu menukar diri mereka kepada harimau.



Pegawai British, A.Locke bergambar bersama pembantunya, Pak Mat setelah menembak mati dua ekor harimau di Terengganu pada 1950-an. ANIMALSVERSEANIMALS.YUKU.COM

Selain itu, A.Locke yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Kemaman pada 1949 menulis sebuah buku mengenai pengalamannya dengan harimau di negeri itu, The Tigers of Trengganu. Beliau menceritakan secara lengkap mengenai harimau spesies Malayan yang banyak terdapat di sekitar Terengganu, Kelantan dan Perak ketika itu.

Katanya, harimau sebenarnya tidak berbahaya kepada manusia, sebaliknya ia mampu bertukar menjadi penyerang dan pemangsa yang ganas dalam keadaan tertentu.

Locke berkata, berdasarkan pengalamannya berdepan dengan harimau spesies Malayan, haiwan itu bukan dari jenis pemakan manusia berbanding dengan harimau India.

“Ada tiga sebab. Pertama, spesies Malayan hanya berkeliaran di dalam kawasan yang kecil dan ini memudahkan pemburu menjejakinya. Kemudian, orang Melayu memiliki kemahiran dan kesungguhan lebih baik ketika berhadapan dengan haiwan ganas itu berbanding orang di India.

“Bantuan daripada pemburu berpengalaman juga lebih ramai di Tanah Melayu ketika itu,” katanya.

Dalam aspek kepercayaan dan legenda mengenai harimau, Locke menyatakan masyarakat Melayu dan Cina amat mempercayai bahawa haiwan itu mempunyai kuasa misteri yang berkait rapat dengan corak kehidupan mereka.

Katanya, mereka juga mengaitkan banyak perkara dengan legenda yang menyebut mengenai harimau.

Selain itu, masyarakat Melayu beragama Islam juga percaya, harimau akan menyerang manusia sekiranya ia membelakangkan haiwan itu, sebaliknya ia tidak akan menyerang apabila mereka bertentang mata kerana dipercayai di dahi seorang Islam tertulis ayat al-Quran yang menyatakan manusia mengatasi haiwan itu.


Saka keramat, harimau jadian

SEBUT sahaja perkataan saka, harimau jadian atau harimau keramat, pasti minda kita akan membayangkan perkara-perkara yang bersangkut-paut dengan alam ghaib dan mistik.

Tidak dinafikan masyarakat Melayu dan sebahagian di Indonesia juga percaya mengenai hal-hal berkaitan mistik yang membabitkan semangat seekor harimau.


Harimau jadian yang digambarkan dalam mitos masyarakat di Indonesia. SEGIEMPAT.COM

Kepercayaan masyarakat Melayu terhadap hal mistik melibatkan harimau boleh dilihat melalui filem arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba bertajuk Waris Jari Hantu.

Cerita-cerita mengenai saka harimau ini sering sahaja didengari sehingga zaman ini di mana waris-waris dalam generasi terkini seringkali terbelenggu dengan peninggalan nenek moyang mereka yang ‘membela’ atau menyimpan saka yang digelar saka harimau.

Bukan itu sahaja, kejadian seperti kemunculan harimau jadian atau harimau keramat kerap menghantui masyarakat Melayu pada hari ini yang dimomokkan dengan unsur-unsur mistik.

Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr. Azharuddin Mohamed Dali berkata, orang Melayu bukan sahaja di zaman silam, malah pada hari ini turut percaya kewujudan harimau keramat atau turut dikenali sebagai harimau datuk, malah ada yang menggelarkan harimau nenek moyang.

Melalui kajiannya, harimau keramat pada kebiasaannya dikenal pasti mempunyai tiga kaki yang normal,manakala satu lagi kakinya rencat atau tempang. Umumnya, harimau keramat dianggap harimau baik yang kewujudannya bertujuan menjaga keselamatan kampung atau daerah tertentu.

“Terdapat pandangan yang mengatakan harimau keramat ini merupakan harimau yang berasal dari roh nenek moyang dengan matlamat untuk menjaga keturunannya daripada sebarang bahaya. Malah ada juga pendapat dalam kalangan masyarakat di Sumatera yang percaya bahawa harimau ini adalah roh orang yang telah melakukan kesalahan sewaktu hidup.

“Justeru, roh mereka menjelma sebagai harimau untuk membantu dan menyelamatkan keturunannya. Ia turut berlaku di Bali apabila masyarakat di sana enggan membunuh harimau kerana bimbang akan membunuh nenek moyang mereka,” katanya.

Katanya, melalui kajiannya juga mendapati, ada kepercayaan bahawa harimau keramat wujud di sebuah kampung di Sepang untuk menjaga sebuah makam yang dianggap keramat. Di Bukit Jugra juga dikatakan wujud sebuah makam yang didakwa dijaga oleh harimau keramat.

“Ia dikatakan menjaga makam Nakhoda Ragam iaitu suami kepada Puteri Gunung Ledang. Harimau keramat itu dikatakan pada asalnya merupakan haiwan peliharaan Puteri Gunung Ledang,” katanya.

Selain itu, katanya, jelmaan harimau keramat bernama Datuk Negun pula dikatakan menjaga keselamatan kampung di Batu Kikir, Negeri Sembilan. Ia dikatakan akan muncul jika wujud ancaman pada kampung. Di Sungai Baharu, Melaka juga pernah diberitakan wujud harimau keramat yang menjaga keselamatan kampung di situ.

Beliau berkata, harimau jadian pula lebih banyak dikaitkan dengan masyarakat wilayah Kerinchi yang berasal dari Sumatera. Mungkin agak mustahil untuk memikirkan logik bahawa manusia ada yang mampu bertukar menjadi harimau tetapi ia adalah perkara yang dipercayai sejak turun-temurun dalam suku kaum di Kerinchi.

Malah kepercayaan itu juga wujud dalam kalangan masyarakat Melayu sehingga ke hari ini.


Saka harimau membelenggu generasi

DARipada perspektif Islam, ilmu melibatkan semangat harimau termasuk saka, harimau keramat dan harimau jadian merupakan amalan yang melibatkan alam ghaib.

Sehingga ke hari ini, masyarakat Melayu beragama Islam masih ada yang terbelenggu dengan amalan-amalan seperti itu. Namun menurut Pengamal Perubatan Islam, Hanafi Rahman El-Esfanji, hanya kejadian saka harimau sahaja yang lebih banyak didengari dalam masyarakat pada hari ini.

“Mengikut kajian saya, harimau jadian memang pernah menjadi satu amalan bagi masyarakat di Kerinchi, Sumatera suatu masa dahulu. Apabila sebahagian masyarakat ini berhijrah ke Tanah Melayu, mereka membawa bersama ilmu dan amalan tersebut, sebahagian besarnya bertujuan sebagai perlindungan dan keselamatan.


Jari kiri pesakit saka harimau yang menunjukkan tanda bilangan jin saka yang terdapat di dalam badan. WWW.USTAZAHMADIKAJANG.BLOGSPOT.MY

“Namun, harimau jadian sudah jarang didengari dalam masyarakat. Hanya saka harimau seringkali menjadi masalah pada hari ini. Mengikut pengalaman saya, ramai yang datang berjumpa saya untuk berubat memulihkan belenggu saka harimau yang ada di dalam badan mereka,” katanya.

Mengikut kajiannya, Hanafi berkata, ada segelintir masyarakat Kerinchi di zaman dahulu menuntut ilmu harimau dengan bertapa di kawasan pergunungan di daerah itu selama 40 hari. Dalam proses itu, seseorang itu perlu melakukan ritual seperti merenung bayangan bulan di dalam kolam di atas gunung itu selama tempoh itu.

“Sesiapa yang melihat manusia yang memiliki ilmu harimau ini akan seolah-olah ternampak seekor harimau. Ini sudah tentu akan menakutkan orang ramai. Selain itu, binatang buas termasuk harimau betul juga tidak berani mengganggu pengamal ilmu harimau ini,” katanya,

Katanya, amalan ilmu harimau itu sudah jarang didengari pada hari ini. Mereka yang memiliki ilmu itu dianggap hebat dan ditakuti masyarakat.

Dalam kes saka harimau, jin yang membelenggu pesakit sebenarnya merupakan saka yang diwariskan oleh nenek moyang mereka sama ada dalam keadaan sedar atau tidak. Apabila mereka enggan mewarisi saka itu, maka ia mengganggu kehidupan seharian mereka. Badan mereka jadi sakit-sakit dan pergerakan seharian menjadi tidak selesa.

Katanya, gangguan saka berkenaan bukan tertumpu kepada kejadian seseorang meracau, mengamuk dirasuk seperti yang sering dilihat. Tetapi gangguan itu juga ada yang menyebabkan mereka mengalami masalah kesihatan fizikal seperti sakit kaki, sakit kepala, dada, sukar tidur, lenguh badan dan sendi. Selain itu, seseorang itu juga boleh diserang rasa malas, cepat melenting, pemarah dan putus asa.

Sementara itu, pengamal perubatan Islam Pusat Motivasi dan Ruqyah Kajang, Selangor, Ahmadi Baharuddin berkata, saka harimau akan menjadikan tubuh badan seseorang mempunyai ruang dimasuki jin sebagai perumahnya. Ada kes terdapat banyak saka harimau yang telah beranak-pinak di dalam badan seorang pesakitnya.

Kebiasaannya, beliau akan bertanyakan soalan penting sebagai rujukan dalam proses merawat pesakit saka harimau.

Katanya, soalan biasa seperti masalah kesihatan, makanan, kesihatan, mimpi, emosi dan cara tidur akan ditanya kepada pesakit. Daripada jawapan itu, beliau akan dapat mengenal pasti jenis jin saka yang mengganggu pesakit.

“Biasanya, semasa rawatan, jin saka harimau akan disuruh keluar dari badan pesakit. Jika ia berdegil, saya akan melakukan proses ‘menyembelih’ saka harimau itu. Kemudian pesakit akan diminta mengamalkan mandi ais batu selama tujuh hari berturut-turut dan kemudian seminggu sekali. Ia merupakan rawatan yang paling mujarab untuk melawan jin yang mengganggu manusia.

“Ini kerana, api perlu dilawan dengan ais yang sejuk. Ia bagi memastikan jin-jin ini tidak memasuki lagi ruang-ruang yang terdapat di dalam badan. Ini akan berlaku sekiranya terdapat banyak jin saka harimau yang beranak-pinak itu.” jelasnya.

Katanya, gangguan saka harimau akan memudaratkan kehidupan seseorang itu kerana ia mengganggu aktiviti harian apabila ada ketika dan waktu, seseorang yang mempunyai saka harimau akan bertindak dalam keadaan tidak sedarkan diri seperti gelisah, menjadi marah, membaling barangan atau memukul.

Katanya, kehadiran saka harimau juga akan mempengaruhi sikap seseorang seperti menjadi pemalas, degil, malas solat dan pelbagai lagi masalah kehidupan yang jika tidak dibendung atau dirawat, akan menjadi lebih parah.

Tags: mistik
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 2 comments