kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perlembagaan Persekutuan bukan bersifat perkauman

Dakwaan Perlembagaan Persekutuan (PP) menyogokkan unsur rasis sebab mengandungi banyak peruntukan mengenai kaum dan agama bukan sahaja melampau kerana langsung tidak berasas, ia juga bersifat rasis dalam pengertian ada pihak yang berburuk sangka dan menganggapnya sebagai menyorong penindasan oleh satu kaum ke atas yang lain.

Tidak dapat dinafikan ada banyak fasal kekauman di dalamnya, iaitu ehwal mengenai kaum yang kemudian disangkutkan pula kepada urusan bahasa, budaya dan agamanya.

Ini lumrahnya sebab kita sebuah masyarakat majmuk yang membenarkan setiap kaum terus bertutur dalam bahasa ibundanya, mengamal budaya diwarisi dan menganut sistem kepercayaan masing-masing.

Semua ini termaktub di dalam PP dalam konteks kekauman, iaitu peri hal kaum masing-masing dan tempatnya dalam negara pelbagai kaum.

Semangat kebebasan

PP tidak bersifat perkauman, iaitu menganjurkan kebencian, penindasan dan seumpamanya terhadap mana-mana kaum melalui sebarang fasal di dalamnya, sama ada mengenai agama, bahasa atau kedudukan kaum di negara yang penduduk dominannya Melayu.

Sebuah masyarakat majmuk yang membenarkan setiap kaum terus bertutur dalam bahasa ibundanya, mengamal budaya diwarisi dan menganut sistem kepercayaan masing-masing. - Gambar hiasan


Sebaliknya agama dan bahasa mengenai kaum lain dihuraikan bukan sahaja secara perundangan yang absah, tetapi juga dirawikan secara rundingan hemah yang disarati perasaan muhibah yang tinggi.

Perkara 3, 152 dan 153 di dalam PP yang sengaja mahu dilihat rasis oleh sesetengah pihak, sesungguhnya walaupun diteliti sepintas lalu tidak sekali-kali menganjurkan rasisme dalam apa-apa jua bentuk.

Walaupun Islam ditegaskan sebagai agama Persekutuan pada Perkara 3, ia pada yang sama ikut menekankan sekehendak hati kaum lain menganuti sistem kepercayaan lain di negara ini.

Begitu jugalah semangat kebebasan yang ada pada Perkara 152.

Meskipun bahasa Melayu bahasa kebangsaan dan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi negara ini, bahasa lain tidak dihalang dari diajar, dipelajari dan digunakan kecuali dalam situasi rasmi. Perkara 153 pula menjamin keadilan untuk semua kaum.

Biarpun melindungi kedudukan istimewa kaum Melayu dan asal Sabah dan Sarawak dalam beberapa bidang, ia ikut memastikan kepentingan sah kaum lain terus terbela.

Semangat kekauman dijaga rapi dalam tiga fasal ini serta lain-lain, iaitu apa-apa berkenaan dengan kaum Melayu diadili sebanding dengan hak kaum bukan Melayu untuk beragama, berbahasa dan mencari nafkah di negara ini.

Keadilan sebanding ini berbentuk kekauman, yakni kepentingan kaum Melayu dan bukan Melayu diimbangi sebaik-baiknya dan tidak pun bersifat perkauman, iaitu wujudnya unsur penindasan untuk mengkesampingkan kaum lain supaya kaum Melayu terus istimewa.

Kita perlu mengetahui perbezaan makna pada kata kekauman dan perkauman, agar bukan sahaja konsepnya tepat, tetapi juga supaya penggunaannya tidak mengundang perselisihan faham yang boleh mencetuskan konflik kaum.

Penggunaan kata perkauman membawa maksud wujudnya penindasan dalam bentuk senda, maki, benci dan lain-lain yang buruk oleh satu kaum sebagai 'superior' terhadap yang lain sebagai 'inferior.'

Ia berbeza dengan kata kekauman yang memberi tumpuan secara neutral kepada peri hal kaum, sama ada ehwalnya ataupun yang lain-lain, dan tidak pun ada maksud penindasan dalam apa-apa jua cara.

Ia hanya merujuk kepada kaum dari pelbagai aspeknya tanpa ada pengertian mengenai kehebatan sesuatu kaum atau kelemahan yang lain.

Berbalik kepada PP yang kononnya dianggap rasis, khususnya bagi melangsaikannya melalui pelbagai kaedah, tidak dinafikan ia boleh disalah tafsir dan membawa kepada keadaan yang kelihatan semacam berat sebelah untuk memberi kelebihan kepada satu-satu kaum.

Kalau inilah keadaannya, PP itu tidak boleh sama sekali dituduh rasis. Bagaimanapun, pelaksanaan sesetengah peruntukannya yang tersasar itu boleh menyebabkannya kelihatan semacam bersifat rasis.

Dalam hal ini, perlu dibezakan PP selalu berbentuk kekauman, hanya pelaksanaannya kekadang boleh bersifat perkauman. Tidak menjadi kesalahan apabila kita semua kekauman.

Ini kerana itulah asas pembentukan negara kita, iaitu kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya. Ini tercermin dalam banyak institusi dan dasar negara bahawa kita sememangnya terdiri daripada berbagai-bagai kaum.

Justeru kita akan terus beraneka jenis dari segi kekauman kita, seperti yang dijamin dalam PP yang tidak pun perkauman.
Tags: perkauman, perlembagaan, rasis
Subscribe

Posts from This Journal “perlembagaan” Tag

  • Raja, rakyat dan perlembagaan

    TIDAK berapa lama dulu seorang diplomat Thai memberitahu bahawa saya tidak perlu menunjukkan pembesar dan pemimpin Thai berinsut di lantai ketika…

  • Perlembagaan Persekutuan bukan saluran pecat pemimpin

    SAYA terpanggil untuk berkongsi pandangan perundangan mengenai isu ini kerana sejak akhir-akhir ini, ada yang menyatakan pandangan dan tafsiran…

  • Hak kebebasan berhimpun

    DALAM masyarakat demokratik, rakyat memainkan peranan penting menyemak dan mengimbangi (check and balance) cabang-cabang kerajaan supaya tidak…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments