kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pencarian 
pemimpin terbaik

MINGGU ini, minggu paling sibuk bagi orang politik menjelang Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11) Sarawak. Maklumlah, masing-masing cuba untuk meyakinkan para pengundi agar mengundi calon parti masing-masing.

Sudah menjadi kebiasaan di Malaysia, setiap kali pilihan raya, kempen politik diadakan dengan meriah sekali. Semuanya untuk memastikan pemimpin terbaik dipilih.

Rakyat Malaysia sememangnya memerlukan pemimpin terbaik yang sanggup berjuang demi kebajikan mereka. Bukannya setakat turun padang menyelesaikan masalah rakyat semasa gendang pilihan raya sudah berbunyi.

Justeru saringan yang benar-benar ketat perlu dilakukan oleh parti-parti politik. Jika tidak, bimbang calon yang di­pilih tidak bertepatan dengan ciri-ciri pemimpin terbaik. Malang sekali, jika yang dipilih itu pula tidak mampu memikul tanggungjawab besar sebagai pemimpin. Lebih teruk lagi, jika hasrat memasuki arena politik hanyalah sebagai batu loncatan untuk mendapat apa jua ke­lebihan untuk diri, keluarga dan orang keliling.

Tanggungjawab seorang pemimpin cukup besar tidak kiralah sama ada memimpin sebuah negara, negeri, organisasi mahupun syarikat. Pemimpin dilantik mahupun terpilih bukan setakat untuk membuat pihak atasan berasa kagum dengan­nya. Dengan kata lain, tidak sewajarnya seseorang pemimpin itu membuat sesuatu keputusan hanya untuk menampakkan diri mereka hebat dan popular di mata orang atasan. Walhal, nasib orang yang di bawahnya tidak dibela dengan baik.

Selalunya pemimpin sebegini tidak mahu menerima pendapat orang lain ketika berada di kemuncak. Walhal semasa dirinya dipimpin, tidak pernah lekang mengkritik orang lain yang memimpinnya. Acapkali, pemimpin sebegini tidak nampak kesilapan diri sendiri selepas diangkat sebagai pemimpin. Jadi, kesilapan yang sama dilakukannya sebagaimana pemimpin sebelumnya, malah, tidak mustahil lebih teruk daripada itu.

Lebih malang lagi, tiada pihak yang berani menegurnya dengan baik kerana ingin menjaga kepentingan masing-ma­sing. Orang-orang yang rapat dengannya cuba mengambil hati kononnya segala tindakan yang dilakukannya adalah betul.

Sebab itulah, dalam hal ini, pemimpin terbaik tidak sewajarnya mudah ditenggelami dengan pujian menggunung. Sedangkan apa yang dilakukannya banyak yang tersasar daripada matlamat sebenar.

Apabila terdapat golongan yang dipimpin memberi pandangan salah semata-mata untuk mengambil hati pemimpin tersebut, maka segala pandangan tersebut akan mengaburi matanya sehingga mungkin terdorong membuat keputusan yang menyusahkan majoriti orang lain.

Akhirnya, pemimpin sebegini akan lemas dengan sifat kepura-puraan orang-orang yang rapat dengannya yang sebenarnya telah merosakkan reputasinya sebagai pemimpin. Manakala, pihak yang mengkritik dengan menyatakan kebenaran secara ikhlas pula dianggap sebagai musuh.

Sebab itulah bukan mudah untuk menjadi pemimpin dalam mana-mana organisasi.

Seseorang pemimpin bukan setakat perlu adil untuk semua orang yang dipimpin tetapi juga berilmu, berkarisma, berakhlak, bijaksana, berani, dan tidak mudah mengambil tindakan terburu-buru hanya untuk mengambil hati orang atasan serta tidak pula termakan dengan puji-pujian menggunung yang penuh dengan kepalsuan. Pemimpin juga perlu mahir dalam ruang lingkup organisasi yang dipimpin.

Sejarah menunjukkan bahawa seorang pemimpin yang hebat mengetahui selok-belok organisasi yang dipimpin.

Kita lihat sejak kebelakangan ini, ramai yang dilantik sebagai pemimpin dalam kalangan orang dalam sesebuah organi­sasi mahupun syarikat. Bukannya dilantik orang luar yang tidak mengetahui selok-belok organisasi.

Pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu oleh kerajaan mi­salnya amat tepat berasaskan latar belakang beliau sebagai ‘orang dalam’ yang juga profesional yang mahir hal ehwal sektor perbankan dan kewangan Malaysia.

Organisasi seperti BNM memerlukan golongan profesional yang berkeupayaan memacu organisasi ke peringkat yang lebih tinggi.

Dalam hal ini, proses pencarian pemimpin terbaik mestilah dibuat dengan teliti. Tidak boleh dilantik dalam kalangan mereka yang tidak bersesuaian. Hanya mereka yang layak sahajalah yang wajar diangkat sebagai pemimpin. Bukannya, mereka yang tidak layak tetapi terlalu mendambakan kedu­dukan sehingga sanggup berbuat apa sahaja demi memastikan dirinya berada dalam radar utama sebagai calon pe­mimpin yang akan dilantik mengetuai sesebuah organisasi.

Inilah yang sebenarnya dibimbangkan kerana pencarian pe­mimpin terbaik tidak boleh dilakukan sebarangan. Jika sesebuah organisasi itu adalah sebuah syarikat, maka, pemimpin yang terbaik mestilah dipilih dalam kalangan mereka yang mahir di dalam syarikat tersebut dan pada masa sama berpengalaman luas.

Misalnya, pelantikan seseorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi sesebuah syarikat memerlukan penelitian mendalam agar bakal CEO tersebut sememangnya berkelayakan mengemudi syarikat. Dalam konteks ini, syarikat yang ingin membuat pemilihan CEO baharu seperti Malaysia Airlines Berhad (MAB) perlu mencari CEO yang terbaik menggantikan CEO sedia ada.

Bagi badan-badan sukan pula, pemimpin terbaik mestilah dicari dan dilantik dalam kalangan mereka yang benar-benar mahir dalam sukan tersebut. Bukannya dengan melantik pemimpin yang tidak langsung memahami tentang sukan tersebut. Jika tidak, sampai bila-bila pun badan sukan tersebut tidak akan ke mana.

Akhirnya legasi yang ingin diwarisi bertukar menjadi mimpi ngeri buat pemimpin selepasnya yang terpaksa menanggung beban yang ditinggalkan. Justeru, pencarian pemimpin terbaik amatlah penting bagi memilih individu yang benar-benar mampu merealisasikan kesejahteraan organisasi dan orang yang dipimpin. - Dr. Rohami Shafie Utusan Malaysia Rencana 04 Mei 2016 6:05 PM

Tags: pemimpin
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments