kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Makna tersirat dalam Sejarah Melayu, Anak pemimpin Orang Asli

Anak pemimpin Orang Asli

KISAH Puteri Gunung Ledang bukan suatu mitos mutlak tetapi merupakan suatu legenda yang benar-benar terjadi dalam sejarah alam Melayu suatu masa dahulu.

Namun gaya penceritaan di dalam naskhah Sejarah Melayu terutama di dalam Sulalatus Salatin yang dipersembahkan dalam bentuk hikayat yang digunakan oleh pengarang Tun Sri Lanang telah menjadikan pembaca terutama dalam masyarakat pada hari ini menganggapnya sebagai cerita dongengan.


Rounsevelle Wildman

Blog Alter Terahsia Bangsa Melayu yang mengkaji sejarah alam Melayu menyatakan Puteri Gunung Ledang dipercayai merupakan anak kepada pemimpin Orang Asli Benua yang mendiami sekitar hutan Gunung Ledang.

“Puteri Gunung Ledang ini dipercayai merupakan anak kepada Tok Batin atau ketua masyarakat Orang Benua tersebut atau puteri kepada ‘raja’ suku kaum itu yang ingin dilamar oleh Sultan Mahmud Syah yang mana sesetengah versi menyatakan Sultan Mansur Syah.

“Baginda terdengar akan kecantikannya dari kalangan Orang Benua yang terlibat dengan transaksi perdagangan hasil hutan dengan orang-orang Melayu. Sememangnya situasi mengambil anak Orang Asli untuk dijadikan gundik atau isteri kepada raja-raja atau pembesar Melayu pada masa dahulu adalah perkara biasa.

“Cuma apabila dipersembahkan dalam bentuk prosa sejarah, maka ia diperlihatkan dengan susunan cerita gaya hikayat yang popular pada masa itu. Tujuannya untuk menimbulkan seni hiburan apabila cerita dibaca atau diperdengarkan kepada raja dan masyarakat,” kata blog itu melalui penulisnya, Srikandi.

Selain disebut di dalam Sulalatus Salatin, kaitan Orang Benua dengan kisah Puteri Gunung Ledang juga pernah dicatat dalam nota penulis Portugis yang berada di Melaka pada 1613, Manuel Godinho de Eredia di dalam Description of Malacca yang mendakwa suku kaum itu merupakan pengawal kepada Puteri Gunung Ledang.

Malah, Gunung Ledang itu juga mempunyai kisah yang tentunya agak sukar dipercayai namun pernah dicatatkan oleh pengembara dan pegawai British yang pernah berada di Johor suatu masa dahulu. Sebahagian besarnya berkisar kepada sumber bumi seperti emas yang menjadi dambaan manusia yang dikatakan tersimpan di perut bumi Gunung Ledang.

Blog http://historianlodge.historiansecret.com yang juga ditulis oleh Srikandi menyatakan Konsul Jeneral Amerika Syarikat di Hong Kong, Rounsevelle Wildman pernah berada di Johor dan mendaki Gunung Ledang sekitar 1800-an.


Permandangan dari Puncak Ledang, salah satu puncak di Gunung Ledang. HTTP://PERUBATANISLAM7PUTERI.BLOGSPOT.COM

Wildman menceritakan pengalamannya berada di gunung itu bersama dengan pembesar Melayu di dalam bukunya Tales of The Malayan Coast From Penang to Philippines, yang membayangkan Gunung Ledang merupakan Ophir yang dikaitkan dengan emas Raja Sulaiman.

Menurut catatannya, emas masih dilombong di kaki Gunung Ledang dan banyak catatannya membayangkan Gunung Ledang adalah Ophir yang disebut di dalam Kitab Bible berhubung kerajaan Nabi Sulaiman.

Melalui apa yang disebut di dalam kitab Bible itu lagi, Ophir dikatakan lokasi di mana begitu banyak emas, perak dan batu permata berharga dilombong dan kemudian dipersembahkan oleh Raja Hiram kepada Raja Sulaiman yang memerintah tanah Israel untuk membina kuil Sulaiman.

Lokasi Ophir yang disebut di dalam kitab itu masih lagi menjadi perdebatan pelbagai pihak malah ada yang mengatakan lokasinya terletak di India dan Filipina berdasarkan petunjuk-petunjuk yang diperolehi.


Makna tersirat dalam Sejarah Melayu

AGAK
sukar untuk menemukan bukti sama ada wanita yang bergelar Puteri Gunung Ledang benar-benar wujud atau tidak. Jika berdasarkan kepada catatan Tun Sri Lanang di dalam karya agung Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin, langsung tidak disebut mengenai asal-usul Puteri Gunung Ledang yang dikatakan datang dari Tanah Jawa mahupun tempat lain.

Walaupun tercatat di dalam Hikayat Hang Tuah, kisah mengenai Puteri Gunung Ledang juga tidak pernah dapat dipastikan kesahihannya. Malah, kesan atau jejaknya juga tidak pernah ditemukan di mana-mana terutama di Gunung Ledang.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr. Mardiana Nordin berkata, tidak mustahil juga Puteri Gunung Ledang itu wujud. Namun kesahihan kewujudan wanita itu sukar dibuktikan tanpa apa-apa kesan. Hanya karya Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah dijadikan rujukan sehingga kini.

“Di dalam naskhah Sejarah Melayu langsung tidak disebut mengenai asal Puteri Gunung Ledang ini dari Tanah Jawa. Jadi sesiapapun tidak akan sangka asal usulnya. Namun agak sukar untuk mengatakan kisah yang disebut di dalam Sejarah Melayu itu mitos atau sebaliknya,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Caption Area

Sekumpulan pegawai British cuba mendaki Gunung Ledang yang lebih terkenal dengan nama Mount Ophir dalam kalangan penjajah Inggeris dahulu.

Katanya, kesemua versi Sejarah Melayu ada menyebut mengenai kisah Puteri Gunung Ledang yang hendak dipinang Sultan Melaka dan tidak banyak berbeza.

“Kesemua naskhah tersebut mempunyai kesamaan dalam cerita mengenainya. Tetapi saya tidak sama sekali menafikan dia tidak wujud. Boleh jadi Puteri Gunung Ledang adalah individu yang benar-benar ada namun dijadikan sebagai watak di dalam Sejarah Melayu,” katanya.

Katanya, kisah Puteri Gunung Ledang di dalam karya itu terlalu pendek dan agak sukar untuk mengaitkan siapa Puteri Gunung Ledang yang sebenarnya. Jika puteri ini dikatakan berasal dari Tanah Jawa, maka perlu pula dikaji dari segi sejarah di sana.

Mardiana yang banyak menjalankan kajian mengenai Sejarah Melayu dan manuskrip serta persuratan Melayu lama berkata, melalui naskhah Sejarah Melayu, kisah Puteri Gunung Ledang yang diceritakan memberi tujuh syarat mustahil kepada Sultan Melaka yang mahu meminangnya ketika itu mempunyai signifikan tersendiri kepada dunia Melayu.

“Makna tersirat tujuh syarat itu melambangkan bagaimana seorang raja ketika itu sanggup menuruti enam syarat Puteri Gunung Ledang kecuali menunaikan syarat terakhir iaitu mengambil semangkuk darah anak baginda yang masih kanak-kanak lagi,” katanya.

Dalam kajiannya, Mardiana merumuskan bahawa kisah mengenai syarat Puteri Gunung Ledang itu merupakan satu bentuk sindiran atau teguran oleh Tun Sri Lanang kepada raja yang ketika itu sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai hasrat hatinya.

“Tun Sri Lanang seorang tokoh yang bijak. Dia tidak akan sesekali membazirkan walaupun satu perkataan di dalam karyanya itu tanpa memberikan makna kepada setiap perkataan yang digunakannya,” katanya.

Selain makna sindiran, beliau juga percaya kisah Puteri Gunung Ledang mempunyai makna tersirat lain. Ia menunjukkan bagaimana raja ketika itu sentiasa mahu memastikan baginda tidak ditandingi oleh orang lain apabila mahu memperisterikan wanita yang bukan dalam kalangan orang biasa-biasa.

“Namun, sejauh mana kebenaran kisah peminangan Puteri Gunung Ledang oleh Sultan Melaka itu hanya Allah sahaja yang tahu,” katanya.

Menyentuh mengenai kisah percintaan Puteri Gunung Ledang dengan Laksamana Hang Tuah, Mardiana berkata, pada pendapatnya, ia hanyalah satu kisah mitos yang ditambah bagi menarik perhatian masyarakat.

Ditanya mengenai naskhah Sejarah Melayu, Mardiana berkata, sehingga sekarang, penyelidikan terus dijalankan bagi mengkaji karya Tun Sri Lanang itu. Katanya, tidak mustahil terdapat banyak lagi salinannya di seluruh dunia.

“Ini berlaku kerana, orang Melayu gemar memberi hadiah berbentuk salinan karya-karya lama termasuk Sejarah Melayu ini kepada pegawai-pegawai asing dahulu kala. Jadi, salinan itu sahaja yang wujud dan dimiliki oleh si penerima terutama pegawai-pegawai pentadbir penjajah zaman dahulu,” katanya.

-
Tags: sejarah
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments