kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Puteri Gunung Ledang orang bunian? Puteri berasal dari Kerajaan Islam Demak

Puteri berasal dari Kerajaan Islam Demak

JIKA diteliti susur galur raja dan pemerintah kerajaan Demak di Tanah Jawa, pasti tercatat nama seorang gerangan berketurunan puteri raja.

Dalam sejarah kerajaan Jawa, ada tercatat nama Raden Puteri Mas Nyawa yang juga digelar Raden Puteri Ratna Gumilah Sari atau Puteri Siti Jamilah. Puteri ini merupakan puteri dari Negeri Demak di Pulau Jawa yang dikatakan telah datang ke Pulau Besar, Melaka pada ketika negeri itu muncul sebagai pusat perdagangan yang pesat membangun di Nusantara pada abad ke-14.


Candek yang digunakan di rambut milik Puteri Mas Nyawa diperturunkan kepada Sheikh Mohamad Din Sayyid Abdul Jalil.

Setelah Majapahit jatuh, muncul Kerajaan Islam Demak yang dipimpin oleh sultan pertamanya, Sultan Alam Akbar Al-Fatahillah atau lebih dikenali sebagai Raden Fatah.

Mengikut catatan sejarah Jawa lagi, Raden Puteri Mas Nyawa dilahirkan sebelum Raden Fatah diangkat menjadi sultan pertama Demak lagi. Ibunya Raden Siti Murtassimah merupakan anak perempuan kepada Raden Rahmat atau lebih dikenali sebagai Sunan Ampel di Tanah Jawa.

Menurut Pengarah Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin, sebelum berhijrah ke Pulau Besar, Raden Puteri Mas Nyawa telah berkahwin dengan Pangeran Adipati Seberang Lor atau dikenali dengan nama Pati Unus dan mempunyai dua orang putera iaitu Raden Abu Bakar dan Raden Abu Said. Pati Unus merupakan Sultan Demak kedua selepas kemangkatan Raden Fatah.

Sekitar tahun 1500-an, Puteri Mas Nyawa atau Puteri Siti Jamilah bersama-sama suaminya, Pati Unus dan dua putera mereka belayar ke Pulau Besar, Melaka yang ketika itu sudah menjadi tumpuan pengembangan Islam di Melaka.



Rosli Saludin

“Beberapa tahun selepas itu, Melaka diserang Portugis dan Pati Unus dan anak-anaknya turut terlibat dalam mempertahankan serangan itu di Pulau Besar. Namun, ketiga-tiga mereka mati syahid dan dimakamkan di pulau itu,” katanya.

Selepas kematian suami dan anak-anaknya, Puteri Mas Nyawa dikatakan menyepi ke Gunung Ledang. Di situ, Puteri Mas Nyawa dikatakan mendalami ilmu agama Islam yang tertumpu kepada ilmu sufi. Ketika inilah Puteri Mas Nyawa mendapat gelaran Puteri Gunung Ledang.

Kata Rosli, kedalaman ilmu sufi yang dimiliki Puteri Mas Nyawa menyebabkan ia tersebar sehingga ke beberapa kawasan dan daerah berdekatan dan sekitar Gunung Ledang melalui pengikut-pengikut Puteri Mas Nyawa.

Sementara itu, seorang pengkaji sejarah bebas yang juga pengamal perubatan Islam, Sheikh Mohamad Din Sheikh Abdul Jalil berkata, ketika Melaka jatuh ke tangan Portugis bermula 1511, Demak menghantar armada perang bagi menyerang Melaka namun serangan itu gagal.

Serangan tersebut diketuai oleh Pati Unus yang menjadikan Pulau Besar sebagai markas operasi tentera serangan Demak ke atas Portugis. Ketika itu, Syeikh Mohamad Din berkata, Puteri Ratu Mas Nyawa telah berada di Pulau Besar kerana menuntut ilmu agama daripada Maulana Ishaq Sayyid Ibrahim dan Sheikh Ismail Abdul Qadir atau terkenal dengan gelaran Sultan Ariffin.



Sayyid Mohamad Din Sayyid Abdul Jalil

Katanya, dari situ juga, Sultan Melaka telah terpaut hati dengan Puteri Mas Nyawa yang juga digelar Puteri Gunung Ledang sehinggakan mahu memperisterikannya walaupun puteri itu masih lagi isteri orang. Maka atas nasihat Maulana Ishaq dan guru agama lain di Pulau Besar, Puteri Mas Nyawa mengemukakan syarat peminangan yang tidak masuk akal dengan harapan sultan berkenaan akan berputus asa.

Sheikh Mohamad Din yang sebelum ini mengkaji secara mendalam mengenai susur galurnya di Pulau Besar berkata, Puteri Mas Nyawa dikatakan tidak mempunyai waris lagi apabila anak-anak dan suaminya terkorban ketika serangan di Pulau Besar.

Malah makam Puteri Mas Nyawa yang meninggal dunia selepas itu dikatakan berada di Pulau Besar. Pulau Besar sememangnya terkenal dengan pusat penyebaran dan pengembangan agama Islam sejak kurun ke-14 sebaik dibuka oleh Sultan Ariffin.


Puteri Gunung Ledang orang bunian?

SEHINGGA kini ada kalangan masyarakat Melayu percaya bahawa Puteri Gunung Ledang merupakan makhluk halus yang lebih dikenali sebagai orang bunian. Kepercayaan ini tidak mustahil kerana bunian seperti yang diketahui umat Islam adalah antara golongan jin ciptaan Allah.

Umat Islam juga sedia maklum makhkluk ciptaan Allah ini berada di alam ghaib. Namun dalam keadaan tertentu, orang bunian ini dikatakan mampu menjelma dan menampakkan dirinya di alam nyata yang didiami manusia.

Gua Majapahit antara gua-gua yang menjadi kawasan pertapaan di Gunung Ledang. HTTP://PERUBATANISLAM7PUTERI.BLOGSPOT.COM

Justeru, ada mempercayai Puteri Gunung Ledang merupakan jelmaan daripada golongan bunian yang berada di dalam ‘alam satu lagi’.Malah ada yang mempercayai kawasan Gunung Ledang itu sendiri merupakan ‘perkampungan’ yang dihuni golongan jin itu.

Itu juga tidak mustahil kerana di dalam kepercayaan masyarakat Melayu, terdapat perkampungan bunian di sekitar kawasan-kawasan perkampungan manusia dan di dalam hutan belantara cuma ia berada di dalam dimensi atau alam yang berbeza.

Bagi pengkaji sejarah di Tangkak, Johor, Zainurin Sahir (gambar), 50, mempercayai bahawa Puteri Gunung Ledang merupakan bunian yang kadang-kala akan menjelma sebagai seorang nenek tua bertongkat atau lebih dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu sebagai nenek kebayan.

“Ketika dia mahu menampakkan dirinya kepada manusia, ada masa akan menjelma sebagai nenek kebayan dan ada masa pula, jika ia mahu akan menjelma dalam bentuk seorang puteri yang cantik jelita.

Cebisan kain Cindai milik orang Bunian yang dijumpai di Gunung Ledang dan kini disimpan oleh Zainurin Sahir.

“Perkara ini terpulang kepada semua untuk menerimanya. Ada yang tidak percaya alam ghaib ini tetapi bagi saya sebagai umat Islam kita wajib mempercayai alam ghaib,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Katanya, selama beberapa tahun mengumpul maklumat dan kajian berhubung Gunung Ledang, dia mempercayai bahawa Puteri Gunung Ledang merupakan seorang bunian yang menjaga dan mendiami gunung itu sejak sekian lama.

Zainurin yang gemar mengumpul barang-barang antik termasuk senjata Melayu berusia ratusan tahun di galerinya di Tangkak juga yakin kawasan hutan rimba di sekitar Gunung Ledang itu menyimpan seribu satu misteri yang masih sukar dirungkaikan.

Sebagai contoh, beliau sempat menunjukkan kain cindai yang dikatakan dijumpai oleh seorang rakannya di bawah sebatang pokok berdekatan sungai di sekitar Gunung Ledang. Kain cindai itu dikatakan dijumpai dalam keadaan bergulung milik orang bunian yang mendiami kawasan itu.

“Gunung Ledang juga merupakan lubuk pertapaan bagi mereka yang berhajat menuntut ilmu kebatinan. Mungkin seorang wanita yang dipercayai seorang puteri dari tanah Jawa itu pernah berada di Gunung Ledang namun hilang ke alam satu lagi,” katanya.

Menurut pengetahuannya, seseorang manusia yang memasuki ke alam ghaib akan mengalami kesukaran untuk kembali ke alam nyata kerana dia tidak akan menyedari keadaannya sedang berada di alam ghaib.

“Alam itu dikatakan sama sahaja dengan alam nyata cuma yang berbeza adalah perjalanan masa di antara kedua-dua alam. Sudah tentu semua yang diciptakan Allah ini mempunyai hikmah tersendiri,” katanya.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan Puteri Gunung Ledang juga merupakan seorang manusia yang pergi bertapa di kawasan hutan di Gunung Ledang tetapi telah ‘memasuki’ alam ghaib. Menurutnya, tanggapan itu juga pernah menjadi teori kepada lagenda kewujudan sang puteri itu.

-
Tags: sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments