kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

‘Jambatan emas sudah siap’ , Tidak bercinta dengan Hang Tuah

Tidak bercinta dengan Hang Tuah

KISAH percintaan Puteri Gunung Ledang dengan Laksamana Melaka, Hang Tuah sebenarnya merupakan mitos dan rekaan semata-mata. Ia hanya menjadi jalan cerita di dalam filem sebagai daya penarik kepada penonton. Menurut pengkaji sejarah alam Melayu yang juga penulis, Mohd. Radzi Sapiee, kisah percintaan kedua-dua individu itu tidak mungkin benar-benar berlaku seperti yang dipercayai kebanyakan masyarakat Melayu kini.

“Jika dikira logik pada fakta sejarah, Hang Tuah sudah pun terlalu tua pada ketika Puteri Gunung Ledang berada di Melaka dan Gunung Ledang. Apa yang diceritakan di dalam filem tempatan mengenai kisah puteri ini hanya fiksyen semata-mata. Tetapi ada masyarakat kita yang percaya dengan kisah itu,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut mengenai Puteri Gunung Ledang, Mohd. Radzi turut mengutarakan pandangannya yang tersendiri.
Katanya, berdasarkan Hikayat Hang Tuah ada disebut mengenai Puteri Gunung Ledang yang merupakan anak kepada Sultan Melaka.
Melalui hikayat itu di dalam bab ke-25, Sultan Melaka pernah menyebut mahu mengutuskan Laksamananya ke Rom untuk membeli meriam bedil bagi digunakan untuk pertahanan Negeri Melaka.
Sultan Melaka ketika itu memanggil mengadap beberapa orang besarnya untuk bertanya perihal hasrat baginda itu.


Gunung Ledang menjadi tumpuan pendaki gunung yang terpukau dengan keindahan alam sekitarnya
Maka baginda bertitah: “Hai Adinda dan laksamana, apa bicara kita kerana kita hendak mengutus ke benua Rom hendak membeli bedil meriam itu kerana anak kita yang laki-laki itu sudah masing-masing habis dengan negerinya.
“Di Melaka ini kita hendak rajakan anak kita yang perempuan, Puteri Gunung Ledang itu akan gantikan kita kerana kita sudah tualah. Kita hendak bersetia berbuat amal besar-besaran. Pada bicara kita, kita hendak kotai (kotakan) dengan bedilan Negeri Melaka kerana anak kita perempuan”.
Jadi Mohd. Radzi berkata, jika berdasarkan apa yang tercatat di dalam Hikayat Hang Tuah itu, beliau percaya Puteri Gunung Ledang yang mungkin mempunyai nama asal lain namun digelar sedemikian merupakan salah seorang anakanda kepada Sultan Melaka ketika itu.

‘Jambatan emas sudah siap’



“JIKA kita katakan jambatan emas yang disyaratkan Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Melaka yang mahu memperisterikannya sudah siap, maka saya yakin masyarakat akan kata kita gila” ujar Zainurin Sahir, seorang guru yang berasal dari Tangkak, Johor.


Kawasan Gunung Ledang sarat misteri terutama dengan kisah Puteri Gunung Ledang.

Guru berusia 50 tahun yang memiliki sebuah galeri barangan antik itu percaya, tidak mustahil jambatan emas antara tujuh syarat Puteri Gunung Ledang itu sebenarnya sudah siap merentasi di satu lokasi di kawasan Gunung Ledang namun ianya hanya berada di alam ghaib.

“Terpulang kepada persepsi orang tetapi saya tegaskan jika saya beritahu semua orang bahawa jambatan itu sebenarnya ada tentu sahaja orang akan katakan saya ini gila. Tidak semua orang boleh terima,” katanya.

Katanya, kewujudan jambatan itu malah syarat-syarat lain tidak mustahil memandangkan beliau sendiri percaya bahawa Puteri Gunung Ledang merupakan orang bunian yang tergolong di dalam mahkluk jin ciptaan Allah.

Menurut Sulalatus Salatin karya Tun Sri Lanang, enam daripada tujuh syarat yang dikemukakan oleh Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Melaka dapat ditunaikan kecuali yang terakhir iaitu semangkuk darah anakanda baginda yang tidak mampu ditunaikan oleh sultan itu.

Kata Zainurin, ada seorang sahabatnya yang berkebolehan melihat makhluk halus dan alam ghaib pernah memberitahunya bahawa jambatan itu sudah siap dan dia pernah ternampaknya merentasi di satu lokasi di sekitar kawasan Gunung Ledang.

“Terpulang kepada sesiapa juga mahu percaya atau tidak. Itu penerimaan masing-masing. Mungkin perkara ini akan dianggap mengarut kerana tidak semua manusia boleh melihat alam ghaib jadi tiada bukti untuk mengatakan ia benar-benar wujud sama ada di alam ghaib atau alam nyata,” katanya.

-
Tags: sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments