Noriah - Asmuni: Bercinta semula selepas 30 tahun
MEREKA bertemu ketika remaja, jatuh cinta namun terpaksa berpisah. Tetapi...walaupun selepas lebih daripada 30 tahun dan telah mempunyai kehidupan masing-masing, namun cinta mereka tetap kuat dan utuh.
Itulah kisah cinta antara Allahyarhamah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan Mohd Asmuni Abdullah, kedua-duanya, 52, dijemput Ilahi pada Khamis lalu, selepas helikopter yang mereka naiki terbabit nahas di Sungai Batang Lupar, Sarawak.
Kebahagian mereka hanya bertahan lapan bulan, sesudah berkahwin pada September lalu selepas bertemu semula melalui Facebook.
Adik Noriah, Saiful Baharim, 44, ketika mengimbau kembali kisah cinta kakaknya berkata, mereka berdua berpisah lebih daripada 30 tahun lalu, selepas ibunya membantah hubungan mereka berdua.
Gambar kenangan antara Allahyarhamah Datuk Noriah Kasnon dan suaminya, Mohd Asmuni Abdullah. - Foto Ihsan The Star |
"Mereka belajar di sekolah rendah yang sama di SK Sungai Burong, Selangor. Mereka mahu berkahwin apabila mereka selesai belajar di sekolah menengah tetapi ibu tidak membenarkannya kerana dia berkata, sambung belajar lebih penting.
"Akhirnya, mereka terpaksa melupakan hasrat untuk bersatu demi melanjutkan pengajian masing-masing.
"Asmuni pergi ke Amerika Syarikat untuk belajar seni bina manakala Noriah menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia," katanya petik laporan The Star yang menemui Saiful di rumah keluarganya, di Kampung Batu 12, Sungai Burong, di sini semalam.
Beliau berkata, kedua-dua terputus hubungan dengan satu sama lain dan Noriah kemudian berkahwin dan mempunyai lima orang anak daripada tiga perkahwinan terdahulu, termasuk mempunyai seorang anak angkat yang berusia tiga tahun, manakala Asmuni juga mempunyai empat orang anak dan menetap di New York selepas menamatkan pengajiannya.
Saiful berkata, pasangan itu hanya 'bertaut semula' pada awal tahun lalu apabila Noriah membuat 'reunion' untuk mengimpunkan alumni sekolah rendah beliau melalui Facebook.
Menyedari bahawa mereka masih mempunyai perasaan cinta antara satu sama lain, mereka terus berhubung dan berkahwin pada September lalu.
"Ia adalah benar-benar sebuah kisah cinta abadi kerana mereka suka antara satu sama lain sejak kecil," katanya sambil menunjukkan gambar-gambar lama Noriah dan Asmuni semasa zaman kanak-kanak dan remaja.
Sementara itu kakak Noriah, Sunarsih, 55, pula berkata, adiknya dilihat lebih gembira dan bahagia selepas berkahwin dengan Asmuni, dan acapkali bercakap tentang keluarganya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan helikopter yang membawa Noriah dan enam penumpang lain dilaporkan hilang pada Khamis lalu, pesawat itu dalam penerbangan dari Betong ke Kuching.
Helikopter itu berlepas dari Betong jam 4.12 petang dan sepatutnya tiba di Kuching sekitar 5 petang, namun terbabit nahas yang mengakibatkan berlakunya tragedi.
Rentetan daripada itu, pasukan mencari dan penyelamat telah menjalankan misi menyelamat setakat ini lima mangsa sudah ditemui.
Sementara, mayat suami Allahyarham Noriah, Asmuni Abdullah, dijumpai pada 3.20 petang semalam, berhampiran tempat mayat Noriah ditemukan.
Selain Noriah dan Mohd Asmuni, tragedi berkenaan turut mengorbankan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai dan pengawal peribadi Noriah, Lans Koperal Ahmad Sobri Harun.
Seorang lagi mangsa adalah, juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas.
Noriah lambang kegigihan wanita
Kemeriahan saat-saat akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ketika ini terhenti seketika apabila dikejutkan dengan insiden nahas helikopter yang melibatkan enam penumpang termasuk juruterbang ketika dalam perjalanan dari Betong ke Kuching petang semalam.
Noriah Kasnon menunjukkan buku The Malaysia Furniture Industries sambil diperhatikan oleh Dekan Fakulti Perhutanan, Prof. Dr. Mohamed Zakaria Hussin (kiri) dan Prof. Dr. Jegatheswaran Ratnasamy di majlis pelancaran buka berkenaan di UPM, Serdang, tahun lalu. Utusan/ABDUL NAZIR MOHAMED |
Insiden tersebut sememangnya tidak diduga sama sekali oleh sesiapa pun apatah lagi antara mangsa yang terlibat itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon bersama suaminya, Asmuni Abdullah.
Kesemua mereka difahamkan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri beberapa program bagi membantu kempen Datuk Amar Douglas Unggah Embas yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban dalam pilihan raya berkenaan.
Bagi rakyat Selangor khususnya, pemergian Noriah disifatkan sebagai hilangnya salah satu daripada 'jalur-jalur' yang pernah mewarnai pembangunan negara dan negeri ini terutamanya dalam bidang politik dan kemasyarakatan.
Sumbangan serta jasa bakti beliau kepada rakyat adalah besar dan tidak terbalas hanya dengan kata-kata atau penulisan yang hebat. Yang pastinya, kehilangan beliau dirasai oleh segenap lapisan masyarakat khususnya bagi penduduk di Sungai Besar, Sabak Bernam yang mana beliau menjadi Ahli Parlimen kawasan itu sejak tahun 2004 sehingga kini.
Noriah yang meninggal dunia pada usia 52 tahun, memulakan kerjayanya sebagai seorang peguam selepas menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pada 1988 sebelum bergiat aktif dalam bidang politik.
Potensi Noriah yang adalah anak jati Sungai Burong, Tanjung Karang dalam bidang politik di Selangor dilihat menyerlah apabila diberikan amanah sebagai Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Selangor pada 1992 dan seterusnya dilantik sebagai Setiausaha Barisan Nasional (BN) Selangor dari tahun 2000 hingga 2004.
Malah, Noriah turut diberikan kepercayaan mewakili BN untuk bertanding kerusi Parlimen Sungai Besar pada pilihan raya umum 2004 dan berjaya menewaskan calon Pas dengan memperoleh 15,337 undi ketika itu dan sehingga kini, beliau kekal menyandang kerusi tersebut sebagai Ahli Parlimen Sungai Besar.
Selain itu, Noriah pernah dilantik menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat pada Mac 2008 hingga April 2009 sebelum dilantik semula memegang jawatan yang sama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada November 2012.
Beliau turut diberikan kepercayaan menjawat jawatan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada April 2009. Jawatan terakhir yang pegang beliau semasa hayatnya ialah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
Sepanjang hayatnya, Noriah disifatkan antara pemimpin yang memainkan peranan besar dalam pembangunan rakyat di negara ini selain antara pemimpin wanita yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negara dengan memegang pelbagai portfolio dalam beberapa kementerian sebelum ini.
Malah, Noriah turut dikenali sebagai antara pemimpin wanita yang rajin serta gigih dalam melaksanakan sesuatu tugas. Maka, tidak hairanlah apabila Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Selangor, Halimaton Saadiah Bohan menyifatkan pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat pergerakan itu khususnya di Selangor.
“Saya kenal Allahyarham sejak beliau menjadi Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Negeri. Sepanjang saya mengenalinya, beliau sentiasa menunjukkan komitmen yang tinggi dalam tugas beliau sama ada di peringkat kementerian sehinggalah kerja-kerja parti serta tugasnya sebagai wakil rakyat.
“Malah, komitmen itu ditunjukkan beliau ketika membantu kempen dalam PRN Sarawak sehinggalah insiden helikopter itu meragut nyawanya sendiri. Saya mengenali beliau begitu rapat, saya tahu beliau sentiasa komited pada tugasnya kepada parti dan kepada rakyat,” jelasnya.
Di kawasan Parlimen Sungai Besar sendiri, beliau turut disenangi rakyat termasuklah golongan muda. Malah Noriah seorang yang bersikap merendah diri dan sering membahasakan dirinya sebagai ‘kakak’dan ‘makcik’ apabila bersama-sama rakyat.
Melihat peribadi Noriah itu, maka tidak mustahil beliau adalah satu-satunya pemimpin wanita BN yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Besar hampir tiga penggal sejak PRU11, PRU12 dan PRU13. Kepimpinan dan ketokohan beliau mungkin sukar diganti, namun sumbangan beliau boleh dijadikan contoh kepada generasi muda khususnya di Selangor.
Noriah meninggalkan lima orang anak iaitu Mohd. Shafiq Ishak, Ain Shafinaz Ishak, Anis Athirah Ishak; Adam Aidid Suhaili dan Adam Mukhriz Abdullah.