kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Keperibadian Wan Khair-il dikenang

ALLAHYARHAM Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, 57, yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak dikenali sebagai seorang yang memiliki keperibadian mulia, penyabar dan penyayang.

Sifat mulia itu menjadi amalan beliau dalam pergaulan sesama kenalan, bersama masyarakat bahkan dalam bidang politik sekalipun, sehinggakan Allahyarham dikagumi kerana tidak mengamalkan politik keras atau lantang mengutuk pihak lawan.



Beliau amat meminati bidang politik sehingga bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chan­dan sebelum menjadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Ini diakui oleh ibunya, Rahmah Abdullah, 76, sehingga tiada siapa yang mampu menghalangnya.

“Dia sememangnya seorang yang amat berminat dengan politik selain bersifat penyabar dan penyayang. Sebagai ibu saya kagum dengan sifatnya yang tidak mudah marah dan tidak suka mengata orang,” katanya.

Sifat Allahyarham yang tidak pernah mengeluh, mudah mesra dan amanah amat disenangi penduduk di Kuala Kangsar.

Jasa dan sumbangan beliau akan terus diingati khususnya da­lam memberi sumbangan kepada pembangunan pendidikan agama sehingga menjadi arkitek yang me­reka bentuk bangunan Madrasah Idrisiah di Kuala Kangsar.

Allahyarham aktif dalam memastikan pusat pendidikan Islam itu te­rus berkembang malah beliau pernah mengajar di madrasah tersebut.



GAMBAR album Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad bersama isteri, Datin Mastura Yazid serta anak-anaknya. UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN

Malah menerusi Lembaga Keba­jikan Perempuan Islam Malay­sia (LKPIM) Kuala Kangsar, Allahyarham banyak membantu persatuan itu dalam membela kebajikan golong­an miskin di Kuala Kangsar.

Menyingkap latar belakang bidang pendidikan, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Clifford, Kuala Kangsar sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Mene­ngah Anderson, Ipoh sete­rusnya ke Sekolah Menengah Sungai Petani, Kedah.

Dari 1980 hingga 1896, beliau melanjutkan pengajian peringkat ijazah ke luar negara di Kingston University, London.

Beliau berpengalaman selama 23 tahun dalam bidang arkitek, pe­ng­urusan projek, pembinaan ba­ngun­an dan hartanah serta mempunyai syarikat arkiteknya sendiri iaitu W&W Architects yang berpejabat di Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu.

Mendirikan rumah tangga de­ngan Datin Mastura Mohd. Yazid, pasangan itu dikurniakan empat anak lelaki berusia antara 19 dan 26 tahun.

Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar dalam PRU-13 dengan majoriti 1,082 undi, menga­lahkan calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah dan calon bebas, Kamilia Ibrahim.



ALLAHYARHAM Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (kanan) beramah mesra dengan kakitangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam majlis berbuka puasa di Wisma Sawit, Bangi, Selangor pada Julai 2015. MPOB.GOV.MY

Perjalanannya dalam karier politik bermula apabila dipilih sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar pada 2004.

Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Chandan selama sepenggal dari 2008 hingga 2013, sebelum memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Beliau dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar pada 2013 dan kini adalah Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)

Pemergian beliau amat dirasai terutamanya oleh masyarakat di Kuala Kangsar lantaran hubungan mesra yang panjang kerana menge­nalinya sejak sekian lama.

Ketua Kampung Bukit Chandan, Ibrahim Nokman Khusairi yang sudah mengenali Allahyarham sejak kecil amat kagum dengan sifat pemurah Allahyarham.

“Kita kenal Allahyarham de­ngan panggilan Anjang sewaktu kecil dan seorang yang pemurah. Dia banyak membantu dalam program-program pembangunan kampung serta kebajikan rakyat tak kira orang itu daripada parti politik mana,” katanya.

Bagi rakan lama Allahyarham, Ba­diuzaman Mohd. Hashim, 66, Wan Mohammad Khair-il yang di­kenalinya ialah seorang sahabat yang lemah-lembut dan tidak tahu menyakiti hati sesiapa.

Seorang penduduk Kampung Talang Masjid, Nor Rasbi Din, 72, pula menganggap Allahyarham seperti anak angkatnya.

“Saya sudah mengenalinya se­­jak kecil lagi. Orangnya tetap baik. Kalau jumpa, pasti dia akan gosok bahu makcik,” katanya.


-
Tags: tokoh
Subscribe

Posts from This Journal “tokoh” Tag

  • Mat Kelubi pahlawan yang dilupakan

    MENGKAJI sejarah perjuangan gerakan menentang campur tangan Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang pada hujung abad ke-19, ia tidak lengkap jika…

  • Mengenang tokoh pendidikan berjasa

    BUKU ditulis oleh bekas Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Khailani A. Jalil, adalah mengenai latar belakang 15 Ketua Pengarah…

  • Zaaba pencetus kebangkitan Melayu

    ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai seorang pendeta.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments