kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Carcosa lambang maruah negara, Banglo bercirikan seni bina Tudor

Carcosa lambang maruah negara

Tidak jauh dari pusat bandar raya Kuala Lumpur, tersergam indah dua buah banglo mewah yang telah berusia lebih 100 tahun terletak di atas bukit berhampiran dengan Taman Tasik Perdana.

Itulah Carcosa Seri Negara, kediaman dan rumah tamu yang dibina oleh kerajaan British dahulu bagi menempatkan Pesuruhjaya Tingginya di Tanah Melayu iaitu Sir Frank Swettenham.


GAMBAR ini diambil pada 1897 sebaik sahaja Carcosa siap di bina. - Arkib Negara

Carcosa dan Seri Negara adalah dua bangunan berbeza. Carcosa adalah kediaman yang dibina pada 1896 untuk didiami oleh pegawai tinggi British di Tanah Melayu.

Manakala Seri Negara pula adalah sebuah rumah tamu yang dibina pada awal kurun ke-20 dan pernah dikenali sebagai King’s House dan Istana Tamu.

Memandangkan Carcosa dibina untuk didiami oleh pegawai British, seni bina bangunan tersebut turut bercirikan Inggeris iaitu Neo Gothic dan Tudor. Malah menurut pengkaji, konsep tersebut dipilih sendiri oleh penghuni pertamanya iaitu Sir Frank Swettenham.

Carcosa menjadi tanda dalam garisan masa sejarah kemerdekaan negara kerana bangunan tersebut pernah menjadi saksi kepada siri penjajahan di Tanah Melayu termasuklah kemasukan tentera Jepun pada 1941.

Selain itu, bangunan tersebut turut terpalit dengan kontroversi yang dicetuskan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman apabila menyerahkan Carcosa dan tapaknya kepada British sebagai penghargaan kepada kemerdekaan Tanah Melayu.

Namun, tindakan tersebut jelas mengecilkan hati ramai pihak termasuklah Majlis Raja-raja Melayu. Lantaran itu, pada 1986 kerajaan Malaysia berjaya mengambil semula kediaman mewah itu selepas mengadakan rundingan bersama wakil kerajaan British.

Banyak peristiwa pernah berlaku di Carcosa dan Seri Negara seperti persidangan antara pemimpin-pemimpin Tanah Melayu untuk mencapai kemerdekaan.

Malah, ia juga sering dikaitkan dengan sebuah kisah misteri yang cukup terkenal iaitu Lady in White yang dikatakan jelmaan isteri Sir Frank Swettenham di tangga utama dalam Carcosa.

Ikuti kupasan lanjut bersama Wartawan S2, MOHAMAD ATHIR ISMAIL dan jurugambar, JEFFRI IRAN yang berpeluang menyelami sejarah Carcosa dan Seri Negara serta peristiwa penting negara yang pernah berlaku di bangunan itu.


Banglo bercirikan seni bina Tudor

Umum pasti sedia maklum tentang sejarah negara kita sebelum merdeka yang pernah dijajah oleh beberapa kuasa besar sebelum ini seperti Portugis, British dan Jepun.

Bukti penjajahan tersebut dapat dilihat melalui artifak-artifak dan harta yang ditinggalkan oleh mereka sama ada dokumen, ataupun bangunan.

Oleh itu, kita dapat melihat garis masa negara ini yang pernah melalui beberapa era penjajahan sejak kedatangan Portugis pada 1511 hinggalah British bersetuju mengisytiharkan Tanah Melayu sebagai sebuah negara merdeka.

Semua itu kita boleh lihat melalui bangunan-bangunan yang mereka bina seperti A’Famosa dan Stadhuys di Melaka, Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur dan Stesen Kereta Api di Ipoh.


Hajeedar Abdul Majid

Namun terdapat sebuah banglo eksklusif dan mewah di puncak bukit menandakan pemiliknya adalah orang yang berkuasa. Ini kerana pemandangan dari rumah tersebut menunjukkan setiap pelusuk Kuala Lumpur.

Carcosa adalah nama rumah tersebut yang terletak di bukit dekat Taman Tasik Perdana. Ia dibina sekitar 120 tahun yang lalu.

Banglo itu masih tersergam indah, meskipun sudah berusia lebih seratus tahun, kata arkitek dari Hajeedar and Associates, Datuk Ar. Hajeedar Abdul Majid, Carcosa mempunyai pengaruh yang begitu besar dan tapaknya pula sering diintai ramai pihak.

“Carcosa dibina pada 1896 oleh seorang arkitek yang hebat iaitu A. C. Norman dan dibantu oleh seorang arkitek berpengaruh, Arthur Benison Hubback.

“Apabila siap dibina, Carcosa mula diduduki dan penghuni pertamanya ialah Sir Frank Athelstane Swettenham (Frank Swettenham) iaitu Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang pertama.

“Melihat siapa penghuninya, maka jelaslah Carcosa disebut sebagai tempat paling berpengaruh dan dimiliki oleh orang yang berkuasa.

“Rumah tersebut dibina dengan kos kira-kira Dolar State $25,000. Kalau itulah nilainya sekarang, tentu ramai boleh beli atau bina,” katanya ketika ditemubual S2.

Menyingkap awal pembinaan banglo tersebut, katanya, seni bina Neo Gothic dan Tudor menjadi pilihan Pesuruhjaya Tinggi itu untuk kediaman dua tingkatnya.



BANGUNAN pencakar langit di bandar raya Kuala Lumpur boleh dilihat dari balkoni Carcosa. HAJEEDAR AND ASSOCIATES SDN

“Konsep ini adalah seni bina Britain. Ia mudah dikenali kerana warnanya adalah hitam dan putih.

“Selain Carcosa, konsep Tudor boleh dilihat pada bangunan-bangunan lama di Cameron Highlands dan Bukit Fraser, Pahang, selain bangunan Kelab Selangor di Dataran Merdeka yang kini dikenali Kelab Diraja Selangor.

“Cuma satu yang semua orang kena tahu, Carcosa dan Seri Negara adalah dua bangunan berbeza. Namun, ia juga dibina oleh Sir Frank Swettenham sebagai tempat penginapan tetamu kenamaan.

“Dahulu nama Seri Negara adalah King’s House. Ia menyediakan penginapan kepada tetamu kenamaan, selain menjadi tempat perlindungan kepada Gabenor Negeri- Negeri Selat,” jelasnya.

Menurut Hajeedar lagi, sebagai kediaman mewah, Carcosa turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gelanggang tenis dan sebagainya.

“Ciri-ciri Carcosa jelas melambangkan kemewahan kerana kedudukannya di atas bukit berkeluasan 7.2 hektar.

“Ia turut dilengkapi dengan tujuh bilik tidur dan sembilan bilik air.

“Menariknya, bilik tidur utamanya berhubung dengan balkoni yang terletak di anjung letak kereta, betul-betul menghadap taman bunga di hadapan banglo tersebut.

“Sementara pemandangannya pula memperlihatkan seluruh ruang udara Kuala Lumpur. Cuma dahulu, belum ada bangunan pencakar langit,” ujarnya yang pernah diberi tangunggjawab untuk mengubahsuai Carcosa pada tahun 1989.

-
Tags: sejarah, warisan
Subscribe

Posts from This Journal “warisan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments