kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penghuni ‘kekal’ Carcosa, Diisytiharkan warisan negara, Asal-usul nama Carcosa

Asal-usul nama Carcosa

Sebagai sebuah kediaman berprestij dan terletak di atas bukit sambil diperlihatkan pemandangan udara kota raya Kuala Lumpur, tentulah nama yang diberikan dapat menunjukkan lagi kehebatan banglo mewah itu.




Bangunan Carcosa Seri Negara telah ditutup sepenuhnya bermula hujung Disember 2009 hingga hari ini.

Apatah lagi kedudukannya bersebelahan dengan Tasik Perdana. Justeru, pelbagai versi cerita menyatakan tentang asal-usul nama Carcosa.

Berdasarkan kajian seorang arkitek yang juga bekas Pensyarah Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Amran Abdul Rahman, terdapat cerita mengatakan asal-usul nama Carcosa datang daripada isteri Sir Frank Athelstane Swettenham iaitu Lady Swettenham.

“Mengikut kajian yang saya pernah buat mengenai banglo Carcosa dan King’s House atau sekarang disebut sebagai Carcosa Seri Negara, terdapat tiga versi cerita tentang asal- usul nama kediaman tersebut.

“Cerita yang mengatakan asal-usul nama Carcosa datang daripada Lady Swettenham adalah kerana wanita Inggeris itu boleh berbahasa Itali dan sering mendengar lagu-lagu opera dalam bahasa tersebut.

“Oleh itu, beliau menggelar rumah tersebut sebagai ‘Cara Cosa’ yang bermaksud ‘dear thing’, ‘the apple of his eye’’.

“Kemudian, Sir Frank Swettenham telah mencantumkan dua perkataan ‘Cara Cosa’ menjadi ‘Carcosa’ dengan membuang huruf ‘a’,” katanya ketika ditemubual S2.

Di samping itu, tambah beliau lagi, terdapat juga versi cerita mengatakan nama Carcosa itu datang dari al-Quran iaitu surah al-Kauthar kerana bunyinya yang seakan-akan sama.

“Surah al-Kauthar adalah surah terpendek dalam al-Quran. Perkataan ‘Kauthar’ atau ‘Kalkauthar’ dalam ayat pertama surah itu menjadi sandaran bagi seorang pembantu Sir Frank Swettenham yang menceritakan asal-usul nama Carcosa.

“Kemudian, mengukuhkan lagi teori pembantu berkenaan ialah makna dalam surah tersebut yang menceritakan rahmat Allah yang telah diberikan kepada manusia di seluruh alam.

“Tambahan pula, al-Kauthar juga merupakan nama bagi sebatang sungai yang terdapat di syurga,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Sir Frank Swettenham pernah ditanya sendiri oleh sebuah akhbar British Malaya mengenai asal-usul nama Carcosa.

Amran memberitahu, Residen Inggeris itu dikatakan memperoleh nama Carcosa daripada sebuah lagu dalam buku The King in Yellow tulisan Robert W. Chambers.

“Beliau telah menjawab pertanyaan editor akhbar British Malaya dengan mengutus surat pada Mei 1936.

“Kandungan surat tersebut menceritakan ketika banglo mewah itu baru siap dibina, beliau sedang membaca buku The King in Yellow dan di dalamnya tertulis sebuah lagu bertajuk Cassildas.

“Dalam lirik lagu tersebut, ada berkali-kali menyebut perkataan Carcosa. Tertarik dengan lagu itu, beliau menamakan kediaman mewahnya sebagai Carcosa,” ujarnya.


Diisytiharkan warisan negara

Telah disebut bahawa Carcosa adalah satu tanda dalam garisan masa kemerdekaan negara kita yang menjadi saksi kepada siri penjajahan di Tanah Melayu dalam sejarah moden Malaysia.

Signifikannya bangunan Carcosa adalah kerana banglo mewah itu menjadi saksi kepada campur tangan British dalam pentadbiran di Tanah Melayu serta menjadi medan pertemuan dan perbincangan para pemimpin untuk menuntut kemerdekaan.

Selain itu, kedudukan Carcosa di puncak bukit menjadikan ia sebuah kediaman berprestij yang didiami Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Frank Swettenham serta menandakan Kuala Lumpur sebagai ibu kota bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu.

Justeru, Carcosa Seri Negara telah diangkat menjadi bangunan warisan di bawah akta Antikuiti 1976 pada 29 Mei 1986.

Kemudian pada 6 Julai 2007 di Parlimen, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ketika itu, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim telah mengisytiharkan Carcosa Seri Negara sebagai Warisan Kebangsaan.


CARCOSA adalah kediaman paling berprestij di Kuala Lumpur kerana kedudukannya di atas sebuah bukit, tidak jauh dari pusat bandar raya Kuala Lumpur dan terletak bersebelahan Taman Tasik Perdana. – HA JEE DAR AN D ASSOCIATE S SDN

Pengiktirafan tersebut dibuat bagi menjaga kesinambungan warisan sejarah seperti yang terkandung dalam Seksyen 36 Pengisytiharan Warisan Kebangsaan, Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Menjelaskan lagi kewajaran Carcosa Seri Negara diangkat sebagai salah satu Warisan Kebangsaan, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Dr. Zainah Ibrahim memberitahu banglo mewah itu menyimpan banyak peristiwa penting.

“Carcosa dan Seri Negara adalah dua bangunan berbeza kerana Carcosa dibina pada hujung kurun ke-19 manakala Seri Negara yang dahulu dikenali sebagai King’s House dibina pada 1913.

“King’s House menjadi kediaman bagi tetamu yang terdiri daripada kerabat Diraja British apabila melawat Tanah Melayu.

“Berbalik kepada simbol sejarah negara, Carcosa dan Seri Negara adalah dua bangunan yang telah berusia lebih daripada 100 tahun.

“Selain itu, ia adalah hartanah paling berprestij dan pernah mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia kerana menjadi subjek dalam perjuangan untuk mendapatkan kembali kediaman tersebut daripada kerajaan British,” katanya dalam satu kenyataan kepada S2.

Dalam pada itu, beliau turut menambah sejarah Carcosa dan Seri Negara begitu unik dan wajar diberitahu kepada orang awam.

Oleh itu, bangunan tersebut perlu dikekalkan dan sejarahnya diceritakan kepada orang awam supaya mereka tahu kepentingan kewujudan Carcosa dan Seri Negara di Taman Tasik Perdana.

“Jabatan Warisan Negara telah mengeluarkan garis panduan untuk memelihara dan memulihara bangunan Carcosa dan Seri Negara sebagai salah satu subjek dalam sejarah Malaysia.

“Justeru, kita perlu kekalkan seni bina dan struktur bangunan termasuklah tapak Carcosa dan Seri Negara serta landskap dan pokok-pokok dalam kawasannya,” jelasnya.


Penghuni ‘kekal’ Carcosa

Carcosa adalah sebuah banglo mewah yang telah berusia lebih 100 tahun. Begitu juga King’s House yang terletak di sebelahnya sebagai kediaman tetamu kenamaan suatu ketika dahulu.

Lantaran itu, bermacam-macam peristiwa mistik didakwa pernah dialami oleh pengkaji serta pekerja yang melakukan kerja-kerja ubah suai di rumah tersebut.

Antara cerita menarik yang terdapat di Carcosa adalah kisah ‘Lady in White’. Jelmaan wanita berkenaan didakwa kelihatan berdiri di tangga utama dalam banglo tersebut.

Meskipun tidak pernah melihatnya, Pensyarah Fakulti Seni Bina Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Amran Abdul Rahman memberitahu ramai orang pernah menceritakan kisah tersebut kepada beliau dan siapakah ‘Lady in White’ yang muncul di tangga dalam Carcosa.



Suasana di dalam Carcosa Seri Negara.

“Carcosa adalah sebuah banglo yang cantik, seni bina serta hiasannya memang bercirikan Inggeris dan ia adalah sebuah rumah yang besar.

“Kira-kira lima atau enam tahun lalu, saya pernah datang ke sana untuk membuat kajian dan juga kerja-kerja mengukur. Masa itu, pelajar-pelajar saya juga ikut sekali masuk ke Carcosa.

“Saya juga pernah berada di sana pada waktu malam untuk melakukan kerja-kerja mengukur. Yalah..., tempoh yang dibenarkan untuk buat kajian pun singkat,” katanya ketika ditemui S2 di pejabatnya di UiTM kampus Puncak Alam.

Tambahnya lagi, ketika berada di sana, beliau pernah mengalami kejadian-kejadian mistik seperti diceritakan oleh rakan-rakannya yang pernah ke sana.

“Ada kawan-kawan saya yang pernah datang ke Carcosa untuk membuat kajian mendengar dan mengalami kejadian pelik.

“Bunyi orang berjalan, sedangkan tiada orang di tingkat atas. Permukaan lantai adalah jenis kayu, jadi apa yang mereka dengar adalah bunyi orang pijak kayu seperti sedang berjalan.

“Kemudian, ada pelajar-pelajar saya beritahu pernah dengar bunyi laci ditarik di bilik, dapur dan tempat lain dalam rumah tersebut. Namun paling mengerikan ialah bunyi pintu dihempas.

“Di sana sangat popular dengan cerita ‘Lady in White’. Ramai yang mengatakan wanita yang sering muncul di tangga utama rumah tersebut dengan berpakaian putih adalah isteri Sir Frank Swettenham.

“Kemudian, ada juga kisah tentang seorang budak yang muncul di taman bunga dekat halaman. Budak tersebut dipercayai anak seorang tetamu yang hilang suatu ketika dahulu dan tidak pernah ditemui hingga hari ini,” ujarnya.

Menurut Amran lagi, apa pun cerita mistik atau misteri di Carcosa, ia hanyalah sebuah cerita. Namun paling penting ialah, menjaga warisan negara kerana Carcosa Seri Negara adalah simbol kemerdekaan negara kita.

-
Tags: sejarah, warisan
Subscribe

Posts from This Journal “warisan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments