kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sebutir permata sejuta harapan

“Kanak-kanak adalah tunjang kepada ketamadunan negara. Mereka adalah aset bernilai untuk pembangunan bangsa demi merealisasikan visi dan menjadi lakaran pertumbuhan negara pada masa depan.” Itu adalah asas utama Datin Seri Rosmah Mansor mewujudkan Program Permata Negara (Permata) 10 tahun lalu.

Program itu mengalu-alukan kanak-kanak dan remaja dari semua peringkat dan kumpulan masyarakat dengan objektif untuk menyediakan platform demi mengasah potensi dan bakat mereka.‘Permata-permata’ bernilai ini amat penting untuk memandu generasi masa depan negara sekali gus menjadi kebanggaan Malaysia.

Untuk itu, bagi menggarap idea yang dicetuskan isteri kepada Perdana Menteri itu, pelbagai kumpulan profesional, ahli akademik, aktivis dan pegawai-pegawai kerajaan diajak bersama menggilap permata berharga tersebut selain mencari penyelesaian masalah sosial yang melingkari golongan itu.

Kajian berkaitan mula dijalankan termasuk menyelidik program pendidikan awal kanak-kanak di beberapa negara maju seperti Perancis, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand. Daripada pemantauan itulah, maka lahirlah Program Permata Negara berkonsepkan keseronokan belajar mengikut apa yang kanak-kanak mahukan dengan memberi fokus pendidikan secara pengalaman.

Kurikulum Permata Negara diinovasikan dan diadaptasikan daripada amalan terbaik dan model Pusat Pen Green, Corby, London serta disesuaikan mengikut falsafah pendidikan dan budaya negara ini. Demi kejayaan pelaksanaan projek permulaan Program Permata, ia diperluaskan ke seluruh negara bagi memberi peluang lebih ramai kanak-kanak mendapat pendidikan terbaik.

Kini seramai 25,000 kanak-kanak daripada 800 Pusat Permata di seluruh negara mengikuti program itu. Bermula dengan pelaksanaan Program Permata untuk bayi sehingga kanak-kanak berumur 4 tahun itu, kini program tersebut dikembangkan kepada enam lagi konsep pembelajaran untuk pelbagai kumpulan kanak-kanak dan remaja.

Permata terus mengorak langkah dengan penubuhan Permata Pintar iaitu sebuah program khusus untuk remaja pintar dan berbakat luar biasa dalam bidang Sains, Matematik, Teknologi dan Kejurute­raan (STEM). Kemudian, Permata tidak menoleh ke belakang dengan mewujudkan program khusus untuk kanak-kanak yang mempunyai kecenderungan dalam keagamaan melalui kefahaman al-Quran dan As-Sunnah iaitu PERMATA Insan.

Anak-anak Permata Insan ini dipilih sejak umur lapan tahun dan diuji kecerdasan intelektual (IQ) serta dinilai dari segi minda agama mereka.


ROSMAH MANSOR bergambar bersama anak-anak Permata pada majlis prapelancaran Persidangan Antarabangsa Permata (PIC) 2016 di Seri Perdana, Putrajaya, baru-baru ini. PIC adalah siri seminar antarabangsa bertemakan Children Beyond Tomorrow bakal berlangsung dari 31 Mei hingga 2 Jun di PWTC. UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN
Apabila sampai masanya nanti, pada setiap tahun akan lahir antara 50 hingga 60 pelajar yang mempunyai kemampuan luar biasa melalui program ini.
Setelah itu, Permata turut melahirkan Permata Seni untuk menggilap bakat yang berminat dalam kesenian. Siapa sangka melalui Permata Seni, salah seorang peserta koir Amir Adrian Amir Hamzah daripada Permata Seni Koir telah mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama mendapat tempat di Augarten Palace di Vienna, Austria - tempat yang melatih kanak-kanak untuk menganggotai Vienna Boys Choir yang terkenal itu.

Seorang lagi pelajar, Tengku Ahmad Irfan Tengku Ahmad Shahrizal daripada Permata Seni Muzik di­terima melanjutkan pengajian dalam bidang piano dan pengubahan lagu di sekolah muzik terkenal dunia Juilliard School dan rakyat Malaysia pertama diterima belajar di sekolah berprestij itu.

Program Permata tidak melupakan golongan remaja yang terpinggir daripada pelajaran. Untuk itu Program Perkasa Remaja diwujudkan iaitu sebuah program untuk remaja berisiko dan program dalam komuniti. Satu lagi detik perjalanan yang penting buat Permata iaitu Permata Kurnia, sebuah program khusus untuk memberikan per­khidmatan intervensi kepada kanak-kanak autism turut ditubuhkan. Tahun hadapan, kita akan menyaksikan sebuah Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata akan siap dibina untuk kesihatan dan ke­sejahteraan kanak-kanak.

Begitulah perjalanan Permata, bukan mudah untuk bermula dan juga mengekalkan reputasi serta kualiti ketujuh-tujuh inisiatif permata. Esok, sekali lagi Permata melakar sejarah kepada negara apabila berjaya menerima anugerah antarabangsa iaitu Anugerah Global Good Governance di dalam kategori 3G Children Welfare. Penganugerahan 3G ini ialah anjuran Cambridge IF Analytica iaitu sebuah badan yang mengiktiraf kerajaan, sektor korporat dan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menunjukkan prestasi yang tinggi dan mempamerkan kecemerlangan di dalam ketelusan, tadbir urus yang baik dan tanggungjawab sosial.

Langkah itu tidak terhenti di situ sahaja. Kejayaan Permata mahu dikongsi bersama dengan negara lain bagi Program Permata akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Permata 2016 dengan bertemakan Children Beyond Tomorrow pada 31 Mei hingga 2 Jun ini.

Semua itu demi melahirkan modal insan yang cerdas minda (IQ tinggi), cerdas emosi (EQ tinggi), cerdas rohani (SQ tinggi) serta cerdas sosial dan fizikal. Juga atas asas dan matlamat untuk melahirkan kanak-kanak yang holistik dan seimbang, selain mempunyai akhlak dan sahsiah yang mulia, berintelektual tinggi, mahir berkomunikasi dalam kedua-dua bahasa Malaysia dan Inggeris, bijak bergaul, sihat jasmani serta suci rohani.

Tags: pendidikan, permata
Subscribe

Posts from This Journal “permata” Tag

  • PERMATA pintar pusat pelajar genius

    DITAWARKAN menyambung pengajian di universiti terkemuka dunia seperti Universiti Cambridge, United Kingdom dan Universiti Boston, Amerika Syarikat…

  • Hilangnya sebutir permata negara

    SELEPAS lebih 24 tahun Perdana Menteri ketiga Allahyarham Tun Hussein Onn meninggalkan kita, lewat malam Jumaat lalu isterinya yang dikasihi…

  • Membangun generasi pintar cerdas, berbakat

    Sungguh membanggakan mendapati program PERMATApintar yang disediakan Pusat PERMATApintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diiktiraf ramai…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments