Biasanya kenderaan itu akan dihantar ke bengkel untuk dibaiki. Mereka juga mungkin terpaksa membelanjakan wang untuk membaiki kereta itu, jika tempoh jaminannya tamat.
Pada 2014, aduan tertinggi yang membabitkan nilai kerugian ialah sektor automotif dan khidmat bengkel kenderaan. Sektor ini menerima sebanyak 3,492 aduan membabitkan anggaran kerugian RM25,112,522.50.
Jumlah aduan ini meningkat pada 2015 sebanyak dua kali ganda, menunjukkan masalah ini gagal diatasi dengan baik.
Antara aduan yang sering diterima Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) ialah kotak gear rosak, waranti tidak dipatuhi, mengambil masa lama membaiki kenderaan, pembaikan tidak sempurna, alat ganti palsu walaupun dibayar untuk alat ganti tulen, deposit tidak dipulangkan dan sebagainya.
Pengadu mempunyai hak untuk membeli kenderaan yang selamat, bebas daripada sebarang kecacatan atau rosak. Ini adalah satu jaminan tersirat dinyatakan dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Jika berlaku masalah dengan kenderaan, pengguna haruslah menghantar kenderaan itu kepada pusat perkhidmatan kenderaan, kerana kereta yang baharu dibeli masih dalam waranti.
Oleh itu, apabila berlaku kerosakan menurut waranti ditetapkan, maka pengguna tidak perlu bayar untuk membaiki kenderaannya.
Jika pengadu tidak puas hati, pengguna boleh minta supaya syarikat pengedar atau pengeluar kenderaan untuk memberi lanjutan waranti jika masalah berlaku lebih dua kali.
Wujud syarat tersirat
Selain Akta Pengguna 1999, ada akta lain yang boleh digunakan untuk melindungi kepentingan pengguna.
Seksyen 15 Akta Jualan Barang 1957 memperuntukkan, jika ada suatu kontrak bagi penjualan barang dengan menggunakan perihal wujud syarat tersirat bahawa barang itu haruslah bersesuaian dengan keterangan.
Seksyen 16 pula, memperuntukkan bahawa jika barang yang dibeli berdasarkan penerangan daripada penjual yang berkaitan dalam barang daripada perihal itu (sama ada dia adalah pengilang atau pengeluar atau pengedar), wujud satu jaminan tersirat bahawa barang itu adalah daripada kualiti yang boleh diperdagangkan.
Ada beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan mengenai masalah kerosakan kereta baharu ini.
Antaranya, memperkenal undang-undang lemon. Undang-undang lemon telah digubal beberapa negara untuk melindungi pengguna daripada produk yang dibelenggu kecacatan atau ketidaksempurnaan serius.
Berdasarkan hal ini, jika sesuatu produk itu rosak, yang tidak boleh dibaiki dalam masa tertentu, biasanya dalam tempoh jaminan atau jika selepas begitu banyak pembaikan, ia masih rosak, maka pengguna berhak mendapatkan gantian produk baharu. Dr Marimuthu Nadason Berita Harian Kolumnis Rabu, 1 Jun 2016 @ 7:39 AM