kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Lagu Cindai dikaitkan alam bunian, betina, jantan. Harga cecah puluhan ribu ringgit

Lagu Cindai seru pontianak?

KETIKA sedang menyanyikan lagu Cindai, tiba-tiba terdengar suara perempuan menyahut, “Cindai di sini!”. Pasti tegak bulu roma dibuatnya. Itu adalah kisah yang berlegar-legar di internet apabila menyebut sahaja lagu Cindai. Ada yang mendakwa lagu itu menyeru hantu pontianak.

Lagu alunan Datuk Siti Nurhaliza yang mula popular pada 1998 itu masih dianggap lagu evergreen, malah ‘berhantu’ sehingga kini. Pelbagai kisah seram timbul susulan terciptanya lagu tersebut.


LAGU Cindai sering disalah erti sebagai merujuk kepada hantu pontianak. - GAMBAR HIASAN

Penulis mendapatkan komen daripada penulis lirik lagu Cindai, Hairul Anuar Harun yang sehingga kini masih lagi menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai mengenai makna di sebalik lagu tersohor itu.

“Dalam konteks seni kata lagu Cindai, ia adalah perlambangan kepada seorang wanita yang cekal dan tabah menghadapi pelbagai dugaan dalam hidupnya. Wanita tersebut tetap berfikiran positif dan tidak mahu memanjangkan lagi rasa rajuk dan duka nestapanya demi mencapai impian yang dihajati,” katanya ketika dihubungi S2.

Kata Hairul Anuar lagi, hampir keseluruhan seni kata lagi Cindai berbentuk pantun dengan setiap pembayang dan maksudnya selari dengan apa yang ingin disampaikan. Walaupun di dalam pantun, senikata lagu Cindai menggunakan pelbagai gaya bahasa seperti metafora, paradoks, hiperbola, paralelisme, epizeukis dan aliterasi.

“Terlalu banyak cerita yang didengar mengenai lagi Cindai dan kaitannya dengan kisah-kisah mistik dan menyeramkan.

Dikatakan ada yang mengalami pelbagai peristiwa seram seperti melihat pontianak ketika menyanyikan lagu tersebut.

“Malah ada yang mengaitkan lagu itu dengan kisah percintaan antara Tun Iram Sandiri dan Tun Biajid, anak kepada Hang Tuah. Kadangkala, maksud di sebalik lagu Cindai yang diinterpretasi oleh orang ramai melangkaui akal fikiran,” katanya.

Katanya, mungkin kerana Cindai mempunyai dua makna iaitu kain sutera berbunga-bunga dan satu lagi bermaksud hantu pontianak jika di Minangkabau, maka lagu itu dianggap berhantu.


Harga cecah puluhan ribu ringgit

SEBIDANG kain Cindai berukuran antara dua hingga enam meter berusia ratusan tahun yang dapat ditemui hari ini dianggarkan bernilai sehingga sehingga RM50,000.

Menurut pakar tekstil, Zubaidah Sual, Cindai merupakan kain yang tiada tandingannya. Sebidang kain Cindai atau nama asalnya Patola memakan masa bertahun-tahun untuk dihasilkan di India, menggunakan teknik ikat ganda.




Kain Patola dengan corak yang lebih terkini dijadikan sari di India. Sumber www,exoticindiaart.cm

“Dalam kalangan pengumpul barang antik, nilai kain Cindai lama dianggarkan boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Namun, perlu diperiksa sama ada kain itu asli atau tidak. Ini kerana, hari ini, pembuatan kain Cindai ada dihasilkan di negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia yang menggunakan teknik cetak, namun masih dipanggil kain Cindai,” katanya.

Kain Patola yang dihasilkan di India juga masih wujud sehingga hari ini, namun cara pembuatan yang menggunakan teknologi tenunan terkini termasuk ada yang dicetak coraknya seringkali membuatkan ramai peminat tekstil antik tertipu.

Menurut Zubaidah, kain Patola yang dibawa ke Asia Tenggara seawal kurun ke-14 kemudian mengalami evolusi apabila penduduk tempatan mula menggunakan motif corak yang sama untuk menghasilkan kain yang turut dipanggil Cindai.

Menyentuh teknik tenunan, Zubaidah berkata, benang sutera atau kapas yang disusun secara menegak atau dipanggil sebagai ‘loseng’ akan diikat bersama benang yang dijalin secara melintang atau dipanggil ‘pakan’, menggunakan tali sebelum dicelup ke dalam pewarna yang menggunakan bahan semula jadi.

Setelah beberapa tahun dibiarkan di dalam rendaman pewarna, jalinan benang akan diangkat, kemudian dikeringkan dan bersedia untuk ditenun oleh pakar tenunan kain Patola.

“Di sini, proses menenun juga memerlukan ketelitian tahap tertinggi kerana satu sahaja kesilapan pada benang boleh merosakkan keseluruhan kain. Sehingga kini, kain Patola masih dihasilkan oleh keluarga Salvi di India, namun pembuatan cara tradisional sudah berkurangan akibat perubahan teknologi tekstil,” katanya.

Katanya, kadangkala pembeli barang antik tertipu ketika hendak membeli kain Cindai asli kerana tidak mengetahui ciri-ciri tekstil itu. Katanya, kain Cindai paling lama boleh bertahan 200 sehingga 300 tahun.

“Keaslian dapat dilihat di bahagian depan dan belakang kain. Ia kelihatan sama dan langsung tidak dapat dikenal pasti beza di kedua-dua bahagian sedangkan jika kain tiruan, kita dapat lihat beza di permukaan atas dan bawah kain,” katanya.

Malah, kain Cindai juga seringkali disalah anggap sebagai kain Limar yang banyak dihasilkan di negeri Pantai Timur suatu ketika dahulu. Katanya, Cindai tidak sama dengan Limar kerana teknik tenunan berbeza.

Menurutnya, di beberapa negara Asia Tenggara, kain tradisional yang dihasilkan turut menggunakan motif corak sama seperti kain Patola atau Cindai dari India. Namun namanya berbeza seperti di Thailand dikenali dengan kain Mudnee, manakala di Kemboja pula dipanggil kain Sampot.


Cindai betina, jantan

PERCAYA atau tidak, kain juga mempunyai pasangannya. Itu yang dipercayai masyarakat Melayu apabila menyentuh mengenai kain Cindai.

Menurut Pengarah Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Pauzi Abdul Latiff (gambar), kain Cindai betina lebih panjang, biasanya melebihi lima meter dan mempunyai bidang lebih besar.


Muhammad Pauzi Abdul Latiff menunjukkan sebidang kain Cindai

Ini kerana katanya, kain Cindai betina pada asalnya digunakan di India sebagai sari oleh kaum wanita. Corak pada Cindai betina pula berkisar pada motif bunga-bungaan sementara tenunannya agak kasar berbanding Cindai jantan.

Katanya, Cindai jantan pula mempunyai bidang dan saiz yang lebih kecil serta mempunyai hiasan bunga yang lebih besar. Kebiasaannya, ia digunakan untuk mengikat di bahagian pinggang.

Menyentuh mengenai sejarah, Muhammad Pauzi berkata, Cindai atau asalnya Patola dibawa ke Nusantara seawal abad ke-15 sebagai bahan dagangan oleh pedagang India. Ia dibawa sehingga ke Indonesia dan kerajaan-kerajaan Melayu di sekitar Asia Tenggara ketika itu.

Pengembara Portugis, Duerte Barbosa pernah mencatatkan kain tersebut pernah diperdagangkan ke Melaka bersama-sama pelbagai lagi barangan berharga dan kemudian dibawa pula dari Pelabuhan Melaka ke tempat-tempat lain di Nusantara.

Beliau berkata, di Melaka, kain Patola yang kemudian dikenali Cindai digunakan golongan bangsawan terutama raja dan menjadi lambang darjat ketika itu seperti mana disebut oleh seorang penulis Portugis pada zaman kegemilangan Melayu Melaka, Gaspar Correia di dalam bukunya Legends of India.

Setelah dikenali, masyarakat ketika itu mula menjadikan Cindai sebagai tekstil yang didambakan. Namun, kerana tidak mampu, mula timbul ilham untuk mencipta kain yang hampir serupa dengan tekstil dari India itu.

Malah sehingga hari ini juga, ada juga yang menjadikan cebisan kain ini sebagai pelaris atau menaikkan seri pada wajah.


Cindai dikaitkan alam bunian

SEBUT sahaja nama kain Cindai, pasti persepsi masyarakat kita akan terarah kepada alam bunian. Ramai yang menganggap kain ini berasal dari alam ghaib dan mempunyai kuasa mistik.


Zubaidah Sual

Tanpa menyelidik bagaimana rupa sebenar kain itu, ada yang menjadikannya sebagai azimat atau tangkal untuk tujuan tertentu termasuk sebagai pelaris dan pelbagai perkara yang boleh menjurus kepada perkara-perkara khurafat.

Lebih mangejutkan, ada juga sanggup memuja kain tersebut kerana percaya kain itu memiliki roh atau semangat yang mampu menguasai manusia.

Jika diselidiki di internet, terdapat banyak pihak mempercayai bahawa kain Cindai itu dikatakan milik orang Bunian dan mempunyai kuasa tertentu terutama melibatkan alam ghaib.

Justeru, bagi merungkai adakah perkara itu benar atau tidak, penulis bertemu dengan pakar yang sudah berkecimpung selama lebih dua dekad dalam industri tekstil. Pakar itu, Zubaidah Sual, ditemui wartawan S2 bagi mendapatkan penerangan terperinci mengenai apakah itu kain Cindai yang sering menjadi bualan masyarakat Melayu.

“Kain Cindai merupakan ibu segala kain. Tidak banyak kain itu boleh ditemui hari ini, kerana pembuatannya menggunakan teknik yang begitu sukar iaitu teknik ikat ganda. Persepsi masyarakat yang menganggap itu adalah kain mistik berasal dari alam bunian, sama sekali salah.


KAIN cindai dipercayai mempunyai kuasa mistik dalam masyarakat Melayu di Nusantara sejak berabad lalu.

“Ia sebenarnya tekstil yang berasal dari wilayah Gujerat, India. Jadi, kain ini bukan kain tenunan masyarakat Melayu mahupun Asia Tenggara.

Di India, kain itu dikenali sebagai kain Patola. Apabila kain itu diperdagangkan di rantau ini sejak berabad lalu, namanya diubah menjadi kain Cinde atau Cindai,” katanya.

Katanya, di India, kain Patola atau Cindai dijadikan kain sari atau selendang yang digunakan oleh golongan tertinggi terutama kasta Brahmin sahaja.

“Di sana, hanya sebuah keluarga dari kasta Salvi menenun kain Patola ini. Paling penting, ia ditenun secara rahsia dan hanya kaum lelaki dalam kalangan keluarga itu sahaja yang boleh melakukan kerja-kerja menenun kain tersebut, sementara kaum wanita atau orang luar langsung tidak dibenarkan melihat proses pembuatannya,” katanya.

Kain yang diperbuat daripada ulat sutera dan kapas berkualiti tinggi itu kemudiannya diperdagangkan ke rantau Asia Tenggara terutama ketika kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara.

Dari situ, kata Zubaidah, nama kain Cindai timbul. Ia dihadiahkan kepada golongan raja dan bangsawan kerajaan Melayu zaman dahulu kala oleh para pedagang dari India.

Zubaidah berkata, Cindai dikaitkan mempunyai unsur mistik selepas segelintir masyarakat yang memilikinya menerapkan elemen pemujaan roh atau semangat ke dalam kain itu.

“Pernah suatu ketika, ada seorang wanita bertemu saya dan meminta untuk melihat kain Cindai yang dipamerkan di Muzium Negara. Dia mengusap-usap dan seolah-olah berbisik sesuatu kepada kain itu,” katanya.

Tags: mistik
Subscribe

Posts from This Journal “mistik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments