kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Merokok bukan beri ketenangan, inspirasi, Ramadan medan henti tabiat merokok

Ramadan medan henti tabiat merokok

TABIAT merokok masih lagi menjadi isu utama dalam kalangan masyarakat Malaysia yang sehingga kini gagal ditangani dengan berkesan meskipun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ter­utama Kementerian Kesihatan.

Dalam laporan Bernama 31 Mei lalu, Kementerian Kesihatan menganggarkan 20,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun akibat komplikasi merokok dan sehingga kini terdapat kira-kira 5 juta perokok di Malaysia. Sebahagian besarnya golongan lelaki manakala golongan wanita pula telah menunjukkan peningkatan (1 peratus pada tahun 2011 kepada 1.4 peratus pada tahun 2015).

BULAN Ramadan adalah medan terbaik untuk perokok meninggalkan perbuatan buruk tersebut. UTUSAN

Laporan sama turut memberitahu bahawa Kementerian Kesihatan telah mengambil beberapa langkah bagi memperkukuhkan perkhidmatan berhenti merokok melalui kerjasama di antara sektor awam dan swasta.

Pengukuhan perkhidmatan berhenti me­rokok ini dikenali dengan Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit atau mQuit Services yang bertujuan meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan ini kepada masyarakat.

Dalam pada itu berdasarkan hasil kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula, trend merokok di seluruh dunia pada tahun 2010 telah mendapati 50 orang perokok baharu akan lahir pada setiap hari dan pada masa sama 5,200 orang perokok mati setiap tahun. Hanya dua peratus sahaja perokok yang berjaya berhenti (setiap tahun).

Justeru, sambutan Hari Tanpa Tembakau pada 31 Mei lalu bertemakan Elak Terpedaya; Merokok Membahayakan Kesihatan adalah langkah proaktif daripada pihak kerajaan dalam usaha menangani gejala merokok dalam kalangan rakyat negara ini.

Menurut Islam, hukum me­rokok adalah haram. Keputusan itu dibuat menerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 23 Mac 1995. Muzakarah tersebut telah membincangkan isu merokok dan telah bersetuju untuk memutuskan merokok adalah haram berdasarkan pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan.

Keputusan itu dibuat dengan merujuk firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:“Dan belanjakanlah apa yang ada pada kamu kerana agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Selain itu, kebinasaan yang dibawa bukan sahaja kepada perokok itu sendiri malah turut melibatkan persekitarannya termasuk orang sekeliling yang tidak merokok.

Persoalannya, mengapakah Islam begitu bersungguh-sungguh mengharamkan perbuatan merokok ini?

Pertama, merokok sangat memudaratkan kesihatan. Menurut kajian yang dilakukan oleh American Cancer Society, me­rokok adalah antara penyumbang kepada penyakit buta dan pengurangan tempoh hayat manusia. Wanita merokok yang berusia 35 tahun ke atas pula mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mengalami serangan jantung.

Sesungguhnya perbuatan memudaratkan diri amat ditegah dalam Islam. Rasulullah SAW pernah bersabda:“Tidak boleh melakukan sesuatu yang membahayakan diri sendiri ataupun orang lain.”

Merokok juga mengundang kepada pembaziran. Wang yang sepatutnya dimanfaatkan ke arah kebaikan telah dibelanjakan untuk membeli rokok yang jelas mendatangkan kesan buruk kepada pelakunya. Tidak dapat dinafikan merokok merupakan salah satu pembaziran harta yang amat jelas.

Firman Allah dalam surah al-Israk ayat 27 bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” Lantaran itu, jauhilah tabiat merokok kerana perbuatan tersebut jelas membawa kepada pembaziran yang nyata.

Mahu tidak mahu tabiat buruk ini perlu dijauhi dan dihindari oleh setiap orang. Mahukah kita melihat anak-anak yang meningkat dewasa berjinak-jinak dengan rokok? Dikhuatiri mereka pada masa akan datang cuba menghisap bahan baharu yang lebih mengkhayalkan seperti dadah.

Oleh itu, semua perokok sama ada tegar, biasa atau sosial perlu menghentikan segera tabiat buruk tersebut. Apa kata jadikan bulan Ramadan yang mulia ini sebagai medan untuk kita berhenti merokok. Mudah-mudahan kita akan menjadi hamba Allah SWT yang lebih beriman dan bertakwa.


Merokok bukan beri ketenangan, inspirasi

LAPORAN media memetik Kementerian Kesihatan menganggarkan lima juta rakyat di negara adalah perokok berusia 18 tahun ke atas dan golongan itu menyumbang kepada kira-kira 20,000 kematian pramatang dan komplikasi merokok setiap tahun perlu diberi perhatian serius.

Walaupun pelbagai usaha dibuat, dari kempen demi kempen hinggalah kepada mewartakan pelbagai tempat sebagai kawasan larangan merokok, namun usaha ini masih belum menunjukkan pencapaian memberangsangkan.

Bukan sedikit dana dibelanjakan untuk tujuan ini, usaha yang dibuat nampaknya belum cukup untuk mengingatkan perokok tegar berhenti dari tabiat itu.


Bukan satu rahsia bahawa merokok bermula dari umur remaja, dipengaruhi pelbagai faktor termasuk pengaruh rakan sebaya keluarga dan pelbagai lagi.

Malah rokok juga kerap dikaitkan dengan gejala dadah yang jumlahnya bukan sedikit dalam kalangan anak muda kita tanpa mengira bangsa dan agama.

Bersatu hati tangani gejala

Sudah sampai masanya semua pihak bersatu hati mengambil langkah dan usaha yang sewajarnya untuk menangani gejala ini, yang bukan sahaja membahayakan perokok tetapi juga masyarakat sekelilingnya.

Sama ada menggunakan agama yang menolak perlakuan merosakkan diri atau tekanan budaya malah juga pendekatan psikologi, usaha yang holistik perlu dibuat segera.

Misalnya, merokok kerap dikaitkan dengan memberi ketenangan dan inspirasi, mengurangkan tekanan perasaan dan sebagainya perlu dilihat dengan sewajarnya.

Adakah ini adalah sekadar persepsi atau satu kebenaran dari aspek psikologi perlulah diteliti.

Fakta menunjukkan seseorang itu mampu berhenti dan keluar daripada ketagihan nikotin. Jadi, tabiat itu boleh dibanteras dan ditangani jika seseorang itu bersungguh-sungguh melakukannya.

Pokok pangkalnya ialah bagaimana seseorang itu sedia berhenti dan apakah faktor terkuat untuk menolaknya.

Jika seseorang itu mampu berpuasa dan meninggalkan amalan buruk ini sepanjang melakukan ibadah berkenaan, tidak mustahil untuk mengurangkan malah meninggalkannya terus sebagai satu tegahan agama dan najis yang perlu diketepikan.

Ramadan sewajarnya mampu membuka ruang ke arah ini. Yang lebih penting, apakah peranan kita, termasuk ibu bapa bagi memastikan anak remaja tidak memulakan tabiat buruk ini.

Jika semua pihak termasuk keluarga dan jiran memberi tekanan dan melihatnya sebagai satu aktiviti anti-sosial, maka usaha ini akan lebih mudah dilakukan.

Malangnya dalam kebanyakan kes, anak muda ini meniru perlakuan kita yang dewasa, termasuk ibu bapa, guru, pensyarah, malah juga ustaz dan orang agama yang memandang remeh dan enggan berubah.

Mesej di kotak rokok

Usaha Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kempennya yang menyeru supaya tiada lagi pelabelan pada kotak rokok selain mesej merokok membahayakan kesihatan adalah satu langkah yang baik, namun tanpa orang ramai sedar serta bersama-sama menanganinya, apa juga usaha menjadi sukar.

Usaha membanteras gejala ini perlu dibuat dari akar umbi dan menjadikannya musuh utama jika kita benar-benar serius menangani apa jua isu yang berkaitan.

Didik anak kita membencinya dari awal usia dan kita juga tunjukkan contoh yang baik dengan menghindari dan mengingatkan diri demi orang tersayang bahawa rokok dan tembakau membahayakan kesihatan.
Tags: health, ramadhan, smoking
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments