kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Seram, misteri 
di Gunung Pondok, Batu sumpahan sang kelembai

Batu sumpahan sang kelembai


GUNUNG Pondok turut mempunyai kisah mistik dan legenda yang popular dalam kalangan penduduk tempatan.

Menurut penduduk Kampung Sungai Ati, Hassan Yang Ibrahim, Gunung Pondok sebelumnya dikatakan sebuah kapal yang bertukar menjadi batu setelah laut di sekelilingnya kering.



KERETA api melintasi Gunung Pondok, pada 1960-an EHSAN MY PERAK CREW

“Di gunung itu ada sebuah gua yang memperlihatkan sepasang batu menyerupai manusia yang digelar ‘batu bersanding’.

“Ada juga batu yang kelihatan seakan-akan manusia sedang berhidang dan tengah makan,” katanya.

Seperti di tempat-tempat lain yang dikaitkan dengan sumpahan sang kelembai, ‘batu bersanding’ itu dikatakan merupakan kesan sumpahannya yang dianggap sekadar mitos.

Pada asalnya ‘batu bersanding’ itu adalah sebuah majlis perkahwinan yang bertukar menjadi batu akibat ditegur oleh makhluk misteri itu.

Dalam pada itu, kisah lisan lain yang disampaikan turut mempunyai persamaan dengan tradisi masyarakat Melayu zaman dahulu yang sering meminjam pinggan mangkuk daripada orang bunian.

Menurut Ketua Kampung Lalang, Mohamad Nawawi, penduduk suatu masa dahulu gemar meminjam peralatan pinggan mangkuk daripada orang bunian yang menghuni gunung itu setiap kali kenduri-kendara.



PERKHIDMATAN kereta kuda membawa penumpang antara Taiping dan Padang Rengas sebelum siapnya terowong kereta api pada 1890-an. Perak Postcard 1890-1940

“Gunung Pondok dahulunya diibaratkan sebuah kapal yang mempunyai bilik-bilik tertentu. Pinggan mangkuk diperoleh dari sebuah gua yang seakan-akan berfungsi sebagai dapur di dalam kapal.

“Namun, tradisi meminjam peralatan itu sudah luput ditelan zaman ekoran sikap penduduk yang tidak memulangkan semula pinggan mangkuk yang dipinjam.

“Selain itu, turut diperkatakan tentang kewujudan seekor kuda emas yang berada di atas puncak namun, sukar untuk ditemukan. Tidak tahu sama ada benar atau tidak tetapi ada orang yang pernah cuba mencarinya dahulu kala namun tidak berjaya,” katanya.

Seram, misteri 
di Gunung Pondok


GUNUNG Pondok sememangnya cukup sinonim dengan Padang Rengas, di Kuala Kangsar, Perak. Gunung tersebut menjadi simbolik dan mercu tanda semula jadi yang memisahkan sempadan Kuala Kangsar dan Larut di samping menjadi petunjuk arah penting bagi kedua-dua lokasi berkenaan.

Menarik tentang Gunung Pondok itu, dahulunya pernah menjadi tumpuan bukan sahaja dalam kalangan penduduk malah penyelidik juga dikatakan mendaki gunung itu untuk melakukan kerja-kerja eksplorasi dan ekskavasi bagi tujuan kajian arkeologi.

Bagi segelintir penduduk tempatan, ada yang gemar melakukan aktiviti pemburuan terutama ingin mendapatkan kambing gurun iaitu antara spesies hidupan liar yang sangat sukar ditemukan.

Terdapat juga segelintir penduduk melakukan kegiatan mencari tahi kelawar di dalam gua selain aktiviti pertapaan untuk meningkatkan ilmu kebatinan dan persilatan. Antara gua yang menjadi tumpuan termasuklah Gua Panca Logam dan Gua Bersanding.

Namun, aktiviti-aktiviti berkenaan sudah tidak dilakukan lagi dan penduduk dikatakan tidak berani mendaki gunung tersebut.

PEMANDANGAN Gunung Pondok, pada 1910. Perak Postcard 1890s-1940-an

Selain disebabkan aktiviti kuari yang dijalankan oleh sebuah syarikat pengeluar simen, rupa-rupanya terdapat peristiwa pelik dan kisah misteri pernah berlaku di gunung itu.

Menurut Ketua Kampung Lalang, Mohamad Nawawi, salah satu peristiwa yang sehingga kini dianggap misteri berlaku pada awal tahun 1970-an, apabila seorang penyelidik berbangsa Cina dilaporkan hilang ketika menjalankan kajian bersama satu rombongan lain.

“Tidak diketahui ke mana perginya penyelidik tersebut. Difahamkan ketika berada di atas gunung itu, penyelidik itu tanpa disedari telah hilang daripada kumpulannya.

“Apabila berita kehilangannya dilaporkan, pelbagai usaha mencari giat dijalankan. Penduduk kampung turut serta mengesan penyelidik berkenaan dari siang hingga ke malam namun, tidak berjaya ditemukan. Malah sehingga kini kehilangannya masih kekal menjadi misteri,” katanya.

Katanya lagi, ketika berlaku runtuhan pada 1967, penduduk kampung juga pernah sekilas pandang ternampak seorang wanita berpakaian lengkap berdiri di sebalik lubang seakan-akan sebuah terowong besar yang terbentuk di tengah-tengah gunung.

“Penduduk yang kebetulan menyaksikan runtuhan itu terkejut tatkala terpandang seketika kelibat perempuan berdiri di terowong tersebut. Kejadian pada waktu malam itu disaksikan beberapa penduduk.



Nama Gunung Pondok diberikan berikutan seorang ulama dari tanah Jawa mendirikan pondok untuk mengajar agama.

“Yang peliknya lubang berbentuk seperti terowong hanya kelihatan selepas runtuhan itu berlaku. Sebelum ini lubang itu tidak kelihatan langsung,” katanya.

Dalam pada itu, menurut penduduk Kampung Sungai Ati, Hasan Yang Ibrahim, 71, pada masa dahulu pernah berlaku peristiwa seorang penduduk melihat beberapa orang berjalan sambil mengusung keranda pada waktu malam di laluan berhampiran Gunung Pondok.

“Kejadian itu disaksikan oleh seorang penduduk yang dalam perjalanan melalui sebuah jalan di tepi hutan.

“Kerana terkejut, dia tergamam dan tidak dapat berkata-kata namun sebaik melepasi laluan berkenaan barulah dia tersedar lalu teringat dengan peristiwa menakutkan itu. Di laluan tersebut juga dahulu dikatakan agak keras dan sering berlaku kemalangan,” katanya.

Ketua Kampung Sungai Ati, Hasini Mohd. Yusof, pula menceritakan sekumpulan pelajar kolej pernah sesat ketika mencari jalan keluar menuruni gunung tersebut.

“Masa kejadian itu saya masih kanak-kanak lagi. Apa yang saya ingat, dari bawah gunung kami boleh nampak pelajar-pelajar itu mencari-cari jalan untuk keluar. Entah kenapa mereka tidak dapat keluar. Jadi, penduduk terpaksa naik ke atas membawa mereka pulang.

“Dulu banyak juga kes orang yang sesat dilaporkan berlaku. Orang kata kalau naik ke gunung dengan niat tidak baik memang akan sesat dan tidak jumpa jalan keluar,” katanya.

Selain itu, kejadian histeria juga dikhabarkan pernah berlaku melibatkan penghuni perempuan di asrama sebuah madrasah yang terletak berhampiran gunung itu dipercayai diganggu makhluk halus.

Tags: mistik, perak, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments