kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kisah Gunung Pondok

Bermain rakit di laut tinggal

GUNUNG Pondok tidak hanya menyimpan kisah bunian dan batu bersanding. Malah gunung batu kapur itu juga memiliki cerita mengenai laut tinggal yang terletak di Kampung Pondok.

Air laut dikatakan mencecah kaki gunung dan jernih kebiruan. Walaupun turut dihuni sang lintah, namun kanak-kanak tetap menjadikan lokasi laut tinggal itu sebagai tempat bermain.



KAWASAN yang dahulunya dipenuhi air inilah dikatakan laut tinggal.

Masih jelas dalam ingatan Maisarah Salleh, 65, yang rumah ibunya betul-betul terletak di tepi laut tinggal itu. Disebabkan halaman rumah ibunya bersambung dengan tebing laut tinggal itu, maka hampir setiap hari Maisarah turun ke laut untuk bermain rakit bersama abangnya.

“Semasa kecil dahulu, saya dan abang suka sangat main rakit batang pisang di laut tinggal ini. Mungkin sebab airnya sejuk, maka kanak-kanak suka mandi di situ,” katanya kepada S2.

Menurutnya, laut tinggal itu dahulu lebih luas daripada apa yang dilihat sekarang. Saiz laut menjadi kecil apabila sebahagian daripadanya ditambak untuk dibina jalan raya.

Bagi memberi laluan kepada pembinaan jalan raya itu, ibu bapa Maisarah diarahkan berpindah ke tapak rumahnya sekarang.

Mengenang semula nostalgia mandi di laut tinggal, katanya, ada banyak ikan talapia dan dia bersama adik beradiknya sering menangkap ikan di situ.

Mungkin kita berasa pelik, kalau laut sudah tentu airnya masin dan ikan talapia pula tidak hidup di air masin.

“Nama sahaja laut, tapi airnya tawar. Dikatakan laut kerana kisah kewujudannya ada kaitan dengan cerita Sang Kelembai. Kononnya, dahulu gunung ini adalah sebuah kapal besar yang sedang berlayar di tengah laut. Disebabkan terkena sumpahan Sang Kelembai, maka kapal itu bertukar menjadi gunung.

“Laut yang menjadi tempat permainan kami dahulu adalah sebahagian daripada laut yang disebut dalam kisah itu,” kata Maisarah sambil memberitahu bentuk gunung seperti kapal boleh dilihat dari arah jalan persekutuan menuju ke Taiping.

Selain itu, katanya, laut tinggal itu juga dikaitkan dengan banyak kisah misteri dan mistik. Antaranya, tidak boleh bawa balik ikan ke rumah.


Tapak ekskavasi untuk kajian sejarah Utusan Malaysia Rencana 11 Jun 2016 6:35 PM


DI SEBALIK keunikan namanya, Gunung Pondok mempunyai nilai warisan sejarah dan alam semula jadi yang tidak ternilai.

Menurut pencinta sejarah, Nor Hisham Zulkiflee, berdasarkan kajian lapangan yang dilakukan oleh Kurator Muzium Perak, Leonar Wray Junior pada 1927, Gunung Pondok telah didiami manusia sejak zaman Neolitik.

“Hasil kajiannya menemukan pelbagai bahan artifak yang membuktikan kewujudan penempatan sejak zaman neolitik.

“Antaranya termasuklah serpihan alat batu, tembikar dan kulit siput,” katanya.

Wray merupakan pakar arkeologi pertama di Semenanjung Tanah Melayu dan individu yang mempelopori penerokaan gua serta penggalian di Perak di samping mengumpul bahan artifak untuk muzium.

Sebelum itu, daripada kajian carigali yang dilakukannya sekitar 1880 di gunung tersebut, beliau menyatakan terdapat cengkerang dan tulang ditemukan dalam sebuah gua.

Penolong Kurator Muzium Negeri-negeri Melayu Bersekutu atau FMS Museum (Muzium yang menggabungkan Muzium Perak dan Muzium Selangor pada 1904), G.W. Thomson juga pernah menjalankan kerja-kerja eksplorasi dan ekskavasi arkeologi di Gua Kerbau yang terletak di Gunung Pondok.

I.H.N. Evans ketika menjawat jawatan sebagai pembantu kurator dan pembantu etnografi di FMS Museum pernah melakukan beberapa kerja eksplorasi dan ekskavasi di beberapa gunung termasuk Gunung Pondok pada tahun 1921.

Selain itu, kedudukan geografinya yang strategik membolehkan kawasan di sekitar Gunung Pondok pernah dijadikan sebagai benteng pertahanan terutama ketika serangan Kedah dan Siam pada 1818.

“Oleh kerana kedudukannya yang strategik, kawasan sekitar Gunung Pondok yang berbukit dan memiliki laluan sempit sering menjadi lokasi pertahanan strategik bagi orang-orang Melayu ketika serangan Kedah pada 1818 dan Perang Larut pada 1861 hingga 1873.

“Begitu juga ketika Perang Perak pada 1875, ia turut menjadi kawasan perkhemahan tentera British dalam usaha menghapuskan kebangkitan orang Melayu Perak menentang penjajah,” katanya.


Penduduk pertahan tanah warisan


JIKA dahulu perkampungan tradisional seperti Kampung Gapis dan Kampung Sendayan sudah ‘dilenyapkan’, kini Kampung Sungai Ati berhampiran Gunung Pondok juga dikhabarkan mungkin akan menerima nasib yang sama.

Menurut Ketua Kampung Sungai Ati, Hasini Mohd. Yusof, disebabkan aktiviti kuari yang giat dijalankan, syarikat berpengaruh di situ kini berniat mahu mengambil tanah penduduk di kampung itu.


AKTIVITI kuari yang dijalankan begitu hampir dengan Sekolah Kebangsaan Paya Salak memberi kesan kesihatan kepada penduduk Kampung Sungai Ati.

“Kami sudah menyuarakan keengganan kami menjual tanah tersebut. Semua penduduk sepakat walau berapa sekali pun ditawarkan, kami tetap tidak mahu menjualnya kepada syarikat berkenaan.

“Tanah ini merupakan tanah rizab Melayu dan warisan nenek moyang kami sejak dahulu lagi. Walaupun kami menerima kesan buruk akibat aktiviti kuari yang dijalankan, namun kami tidak pernah menghalang mereka. Bermula masalah pencemaran debu, persekitaran berhabuk, bunyi bising sehinggalah risiko keselamatan, kami tetap hadapinya.

“Sepatutnya mereka yang mencari ikhtiar untuk memastikan bagaimana menjamin keselamatan kami sebagaimana dilakukan di Kampung Pondok. Mereka memaklumkan tanah kampung itu tidak terlibat kerana mempunyai teknologi yang mampu mengelakkan batu melimpah keluar.

“Jadi, mengapa tidak lakukan perkara sama sebagaimana dilakukan di kawasan itu dan bukannya dengan mengambil tanah warisan kami,” katanya.

Kampung Sungai Ati difahamkan merupakan antara penempatan terawal didirikan di Padang Rengas dan mempunyai sejarahnya tersendiri.

“Penempatan di sini sudah lama dibina sejak zaman nenek moyang kami lagi. Sebab itu banyak kubur-kubur lama dapat dilihat di kampung ini. Malah penduduk mempunyai banyak kenangan yang tersimpan sejak dulu lagi,” katanya.


Banyak pondok agama dibina berhampiran gunung

Ada pendapat mengatakan nama Gunung Pondok pada asalnya ialah Gunung Puteh atau Gunung Padang.

Namun, namanya berubah selepas ulama yang berasal dari tanah Jawa, Tuan Guru Kiai Abdul Manan mendirikan pondok untuk mengajar agama serta membina penempatan di kawasan kaki gunung.

Disebabkan ramai yang datang belajar ilmu agama maka dinamakan penempatan tersebut sebagai Kampung Pondok dan nama gunung itu menjadi Gunung Pondok.

Pada mulanya Tok Guru tersebut datang ke Tanah Melayu untuk mencari penghulu kampungnya.

Menurut pencinta sejarah, Nor Hisham Zulkiflee, penghulu berkenaan sebelum itu dikatakan telah dihukum buang oleh penjajah Belanda.

Dia dipercayai ditangkap oleh tentera Belanda dan dimasukkan ke dalam peti yang ditutup rapat lalu dihanyutkan ke dalam sungai.

“Tidak lama kemudian, Tok Guru Kiai mendapat petunjuk melalui mimpi bahawa penghulu terselamat dan bertapa di sebuah gua di Gunung Padang atau Gunung Puteh,” katanya.


KEDUDUKAN Gunung Pondok melalui pandangan aplikasi Google Earth.

Dia pun merantaulah ke merata tempat di Tanah Melayu sehinggalah tiba di Padang Rengas lalu menuju ke gunung yang dinamakan Gunung Padang atau Gunung Puteh itu.

“Berdasarkan mimpinya itu Tuan Guru pun mendaki kawasan gunung tersebut dan berjaya menemui penghulu yang sedang bertapa di sebuah gua,” katanya.

Tuan Guru ikut bertapa sekali namun, sampai suatu ketika penghulu berkenaan ghaib dari pandangannya.

Dia tetap meneruskan juga pertapaannya sendiri dan apabila cukup masanya, dia pun menuruni gunung dan kembali bersama-sama dengan masyarakat setempat.


Tags: mistik, perak, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments