kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kaunseling Ketagihan dan Daun Chinta Mula

BARU-BARU ini, satu kajian terhadap Daun Chinta Mula (DCM) yang dijalankan di Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama penyelidik dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) mendapati daun itu berpotensi dalam merawat ketagihan dadah dengan lebih selamat dan murah yang boleh menggantikan methadone yang mempunyai kos rawatan agak tinggi.

Hasil kajian adalah satu inovasi baharu dalam bidang rawatan terhadap ketagihan dadah. Penemuan mereka juga mendapati DCM tidak menyebabkan ketagihan terhadap daun ini berbanding penggunaan methadone.

Usaha ini dapat membantu kerajaan Malaysia menangani isu penagihan dadah dengan membelanjakan berjuta ringgit dalam kos rawatan dan program pemulihan dadah kepada pesakit untuk memastikan Maqasid Syariah dalam menjaga al-Kulliyatul Khams iaitu keperluan lima asas utama sebagai manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan harta terpelihara.

Pusat Penyelidikan Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melihat kajian yang dijalankan pihak berkaitan berkenaan DCM adalah penyelidikan bersifat saintifik dan berimpak tinggi untuk diketengahkan sebagai alternatif baharu dalam program rawatan dan pemulihan dadah sedia ada dalam usaha menangani musuh nombor satu negara.

Memahami pesakit

National Institute of Drug Abuse (NIDA), di Amerika Syarikat menggariskan prinsip rawatan dan pemulihan berkesan dalam memahami dinamika pesakit yang menghadapi ketagihan dadah, antaranya:

Ketagihan adalah kompleks tetapi boleh dirawat, ketagihan memberi kesan kepada fungsi otak dan tingkah laku. Tiada satu rawatan pun yang bersesuaian untuk setiap semua pesakit.

Keperluan rawatan perlu tersedia lebih awal. Rawatan yang berkesan mencakupi pelbagai keperluan untuk setiap individu penagih dan bukannya hanya kepada aspek penagihan sahaja.

Program rawatan dalam tempoh masa yang mencukupi adalah kritikal. Terapi tingkah laku termasuk kaunseling individu, keluarga dan kelompok adalah pendekatan yang biasa digunakan kebanyakan institusi rawatan dan pemulihan dadah.

Perubatan adalah satu elemen yang penting dalam rawatan kepada pesakit terutama dengan kombinasi pendekatan kaunseling dan pendekatan tingkah laku lain.

Rawatan dan perancangan perkhidmatan seseorang pesakit mestilah dinilai secara berterusan dan diubah suai jika perlu untuk memastikan keperluan dalam perubahan.

Kebanyakan individu penagihan dadah mempunyai masalah kesihatan mental. Detoksifikasi yang dibantu melalui perubatan adalah hanya peringkat pertama dalam rawatan ketagihan dan hanya sedikit mengubah tabiat ketagihan dadah.

Penggunaan dadah semasa dalam program rawatan perlu diselia secara berterusan kerana risiko 'relapse' mungkin akan berlaku.

Program rawatan dan pemulihan perlu mencakupi ujian HIV, AIDS, Hepatitis B dan C, batuk kering dan penyakit berjangkit lain selain menyediakan khidmat kaunseling berkaitan pengurangan risiko (risk reduction).

Selari dengan prinsip NIDA, ACREDA adalah satu pusat penyelidikan penyalahgunaan dadah yang memfokuskan aspek pencegahan, rawatan dan pemulihan, pencegahan lanjutan dan pengurusan penyalahgunaan dadah serta tidak membabitkan kajian berbentuk klinikal.

Fokus utama penubuhan ACREDA adalah memberi latihan kepada kaunselor yang bekerja dengan klien penagihan dadah menerusi program akademik iaitu Specialty Programme for Alcohol and Drug Abuse (SPADA) pada peringkat diploma siswazah dan sarjana. Dr Mohamad Isa Amat Berita Harian Kolumnis Ahad, 12 Junn 2016 @ 6:21 AM
Tags: dadah, drugs
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments