kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pendekatan sederhana, perpecahan pembangkang satu kelebihan penanda aras kemenangan

Kemenangan BN Penanda Aras PRU-14

LAMA juga saya tidak ke Manong tetapi Rabu lalu saya berkesempatan berbuka puasa di Manong, salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Kuala Kangsar yang sedang menghadapi pilihan raya kecil (PRK).

Banyak cerita menarik yang diperkatakan pengundi Manong mengenai calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid.

Bagi saya kemenangan Mastura bukan sahaja dapat menyambung legasi Allahyarham suaminya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad sebagai bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, tetapi juga golongan wanita terutamanya.

Dominasi calon wanita

Kita jangan lupa, Parlimen Kuala Kangsar sebelum kemunculan Wan Khair-il, ia didominasi wakil wanita sahaja.

Bekas menteri dan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz yang berasal dari Selama, adalah Ahli Parlimen Kuala Kangsar paling lama - lebih lima penggal.

Sebelum itu, ia diwakili Yong Fatimah Razali, kakak kepada pengarah dan pelakon, Datuk Rahim Razali dan bekas Ketua Wanita UMNO Perak, Toh Puan Onn Zariah Abu Bakar .

Justeru, seorang pembesar yang ditemui pada majlis berbuka puasa di Istana Iskandariah, terletak di Bukit Chandan baru-baru ini memberitahu bahawa pemilihan Mastura sebagai calon BN adalah tepat.

Bukit Chandan adalah kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Kuala Kangsar dan satu lagi ialah Manong.

Kalau kita masih ingat, peristiwa hitam yang mencemar majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selepas kejatuhan kerajaan pakatan pimpinan PAS sekitar 2008 adalah di Bukit Chandan.

Pada hemat saya, walaupun parti-parti yang bertanding tetap aktif berkempen pada Ramadan ini, saya yakin BN akan dapat mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Sabtu ini.

Walaupun, terserempak dengan pemimpin pembangkang ketika sama-sama menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kami tetap menghulurkan tangan bersalaman.

Bagi saya itulah cara yang berhemah ketika berkempen dan ia bukan sahaja pada bulan puasa tetapi pada setiap masa.

Lagipun, rakyat semakin matang dan sudah muak dengan politik maki-hamun. Namun, daripada pemerhatian saya, walaupun BN memiliki peluang yang cerah di Kuala Kangsar, jentera BN tidak boleh ambil mudah dalam berkempen untuk meyakini hati pengundi, terutama dalam kalangan remaja.

Pengumuman naik taraf Kolej Agama Sultan Azlan di Kuala Kangsar kepada universiti penuh dilihat amat bersesuaian dengan keperluan meningkatkan lagi ilmu sebagai gedung pendidikan, terutama dalam kalangan anak muda.

Kelulusan lebih RM43 juta bagi pembinaan jambatan Manong pula sudah pasti menjadi hadiah besar kepada penduduk Manong yang sudah menunggu projek itu sejak sekian lama. Ia sudah diperjuangkan sejak Allahyarham Datuk Shafie Mat Saman, bekas ADUN Manong.

Bawa pelbagai kemajuan

Untuk rekod pada pilihan raya umum lalu, BN cuma menang majoriti lebih 200 undi di DUN Manong.

Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membawa pelbagai buah tangan menunjukkan kemajuan yang akan dialami dan lebih penting jika BN menang PRK ini. Dalam saat-saat berkempen seumpama ini, setiap tenaga dan sokongan amat berharga.

Jangan dipinggirkan pemimpin lama. Kita masih merindui ADUN Manong, Datuk Ramly Zahari, yang juga bekas EXCO kerajaan dan Datuk Ahmad Jaafar, bekas ADUN Bukit Chandan yang masih ada bisanya jika berkempen.

Akhir kalam, PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar di Selangor menjadi bertambah penting kepada BN kerana ia menjadi petunjuk dalam menghadapi PRU-14 akan datang.
Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar Berita Harian Kolumnis Jumaat, 17 Jun 2016 @ 6:26 AM

Perpecahan pembangkang satu kelebihan

KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada Sabtu ini akan menjadi kejutan besar sekiranya calon Barisan Nasional (BN) kalah.

ANTARA bendera dan poster menghiasi jalan sempena kempen PRK Kuala Kangsar di persimpangan lampu isyarat Lembah Sayong, Kuala Kangsar. - Foto Danial Saad


Mungkin 'alasan' kekalahan kali ini berbeza untuk kedua-dua kerusi dan tidak sama seperti yang berlaku sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.

Di Kuala Kangsar, kami menjangka calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid akan mengatasi PAS dan Parti Amanah Negara dengan majoriti besar, manakala di Sungai Besar, persaingan akan sengit.

Ini kerana, tarikan dan prestasi kerajaan Selangor selama lapan tahun di bawah kepimpinan PKR. Dijangka calon BN, Budiman Mohd Zohdi akan menang majoriti mudah dan bukan majoriti mutlak.

Kombinasi latar belakang calon yang juga isteri kepada penyandang sebelumnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, di samping memberi fokus projek pembangunan untuk menangani masalah banjir yang menelan perbelanjaan sebanyak RM49 juta mampu mencetuskan bibit kemenangan BN di Kuala Kangsar.

Calon PAS, parti serpihan

Kepincangan pihak pembangkang dalam meletakkan calon PAS dan parti serpihannya juga akan memastikan kemenangan besar BN di Perak.

Walaupun ada tanda tanya berkenaan kebolehan calon BN untuk menjadi wakil yang boleh mewakili kerusi Bandar diraja itu, segala kekurangan di pihak pembangkang boleh memastikan kemenangan untuk Mastura.

Di Selangor pula, kawasan Sungai Besar mula merasakan pembangunan pesat, terutama dari segi pelancongan. Ini bermakna, tarikan kepada janji pembangunan PRK amat rendah.

Fakta ini bersama dengan rekod prestasi negeri pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mungkin menyebabkan pertandingan lebih sengit.

Bagaimanapun, Budiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang dalam Parlimen Sungai Besar sudah dikenali ramai oleh masyarakat setempat.

Titik kelemahan pembangkang di kerusi berkenaan adalah perpecahan undi di antara PAS dan parti serpihannya.

Mahu bukti lebih relevan

Dari sudut persaingan pula, kedua-dua parti pembangkang itu mahu membuktikan parti mereka lebih relevan berikutan ramai pemimpin dan wakil rakyat PAS keluar daripada pasti Islam berkenaan.

PAS dilihat akan mengatasi parti serpihannya di kedua-dua kerusi kerana penyokong tegar parti itu masih setia dan tidak berhijrah, walaupun beberapa pemimpin utama meninggalkan parti berkenaan.

Azmin tidak menyokong calon PAS, walaupun secara rasmi PKR menyokong parti serpihan PAS yang dipimpin Presidennya, Mohamad Sabu. Ini kerana PAS masih sebahagian kerajaan yang memerintah Selangor.

Apa yang nyata, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan serangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan isu utama dalam PRK berkenaan. Keputusan kedua-dua PRK pada Sabtu ini boleh menjadi pengukur kepada semua parti sebagai persediaan PRU14.


Pendekatan sederhana senjata BN raih undi

Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila ada pihak yang masih menggunakan pendekatan ekstrem untuk mendapatkan simpati pengundi ketika berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.


Bendera-bendera yang telah dipasang oleh parti-parti yang bertanding pada pilihanraya Parlimen Sungai Besar P 093 di sepanjang jalan Haji Dorani. - Foto Salim Shaari/NSTP


Mungkin keadaan terdesak untuk meraih undi menyebabkan pihak ini sanggup melakukan apa sahaja. termasuklah melanggar etika dan susila dalam pilihan raya.

Adakah taktik seperti ini satu strategi berkesan? Apa yang pasti, masyarakat sudah mula muak dengan pendekatan ekstrem, apatah lagi PRK ini berlangsung ketika Ramadan, bulan yang mulia.

Apabila taktik ekstrem digunakan, maka pastinya nafsu akan melebihi akal dan ketika itulah pengundi dapat melihat belang sebenar pihak yang mengamalkan pendekatan ekstrim ini.

Pihak seperti ini lebih mengutamakan populariti daripada berdepan dengan isu-isu realiti yang sepatutnya diberikan perhatian. Itu sebabnya pendekatan sederhana yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN) dalam PRK ini mendapat pujian masyarakat.

Kesederhanaan tidak bermaksud hanya bertahan dan membiarkan sahaja diri dibedal oleh pihak lawan. Kesederhanaan juga bermakna melakukan serangan bila perlu tanpa mengorbankan nilai-nilai murni ketika berkempen.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menjelaskan, walaupun BN mengambil pendekatan seperti itu, apa yang penting ialah mesej kempen dapat disampaikan dengan jelas kepada masyarakat dan pengundi.

Sebenarnya, pendekatan sederhana ini bukanlah sesuatu yang baru. Jika kita lihat dan kaji semula pada pentadbiran di bawah kerajaan BN, maka pendekatan ini sebenarnya sudah diamalkan oleh semua parti komponen sejak dulu lagi.

Bahkan elemen kesederhanaan dan persefahaman antara semua parti komponen adalah kunci utama kepada kejayaan BN memerintah negara ini.

Formula BN pikat pengundi

Formula inilah yang terus digunakan oleh BN untuk terus memikat hati pengundi. Dan berlandaskan semangat seperti ini, kita sendiri dapat melihat bagaimana seluruh warga jentera UMNO dan komponen BN di Selangor seperti MCA, MIC dan GERAKAN begitu bersungguh serta bersatu padu untuk memastikan kemenangan calon BN di kedua-dua kawasan Parlimen ini.

Sebagaimana yang dijelaskan, masyarakat hari ini sudah muak dengan lambakan tohmahan pihak pembangkang.

Bahkan semua isu yang dilontarkan sudah dibalas oleh jentera BN dengan begitu berkesan sekali.

Masyarakat sudah mula mendapat gambaran sebenar mengenai apa yang berlaku apabila jentera BN menjelaskan perkara sebenar ekoran isu yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang.

Walaupun tidak ada parti yang betul-betul dianggap sebagai 'pasukan pilihan' untuk memenangi PRK kali ini, namun kelebihan masih dimiliki BN.

Ini mungkin disebabkan oleh ketidaksefahaman dari segi pendekatan dan taktik berkempen antara parti dalam Pakatan Harapan.

PAS pula yang sukar untuk mendapatkan undi Cina dikatakan akan terus kecundang.

Walaupun banyak lagi faktor yang boleh dibincangkan untuk menunjukkan kelebihan berpihak kepada BN, namun ini tidak bermakna calon BN akan diberi laluan mudah untuk mengekalkan kedua-dua kerusi ini.

Apa yang boleh dilakukan ialah dengan mengamalkan terus sikap kesederhanaan ketika berkempen kerana inilah pendekatan dan kunci kepada kejayaan BN pada 18 Jun ini.
Tags: benchmark, sederhana
Subscribe

Posts from This Journal “sederhana” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments