kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mesej rahsia pada batu nisan, Menyusuri sejarah Beruas melalui Pasai

Menyusuri sejarah Beruas melalui Pasai

Sejarah Kerajaan Beruas tidak dapat dirungkai jika pengkaji hanya bersandarkan kepada tinggalan artifak yang ditemui.



SUNGAI Beruas di Kampung Kota kini semakin mengecil. Mustahil untuk sebuah bot menyusurinya kecuali di bahagian Pantai Remis yang masih luas dan dalam.

Ini kerana terdapat banyak perbezaan pendapat mengenai penemuan artifak yang boleh dikaitkan dengan kewujudan kerajaan itu.

Bagaimanapun, masih ada cahaya di hujung terowong apabila ia dikaji dari sudut sejarah kerajaan lain iaitu Pasai.

Seorang pengkaji persendirian yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Srikandi menerusi catatan blognya riwayatmelayu.blogspot.my memberitahu sejarah Kerajaan Beruas dipercayai wujud lebih awal dari Kerajaan Melaka.

Cik Srikandi berkata, petunjuk kepada sejarah Kerajaan Beruas adalah Kerajaan Pasai yang ketika itu terletak di wilayah utara Sumatera, Indonesia.

Menurutnya, Kerajaan Pasai adalah sebuah kerajaan Melayu tulen dan masyarakatnya bertutur dalam bahasa Melayu Klasik.

Sementara itu, jika kita meneliti Hikayat Raja-Raja Pasai, ada dinyatakan Islam tiba di Nusantara melalui seorang pendakwah dari Mekah bernama Syeikh Ismail.

Hikayat itu turut menceritakan bagaimana negeri Samudera di Sumatera diasaskan dan secara tidak langsung mempunyai kaitan dengan Kerajaan Beruas.

Maklumat tambahan lain turut diperoleh dari satu lagi catatan sejarah yang dilakukan pengkaji persendirian menerusi blognya, putegha.blogspot.my.

Catatan blog tersebut mendedahkan kaitan Kerajaan Pasai dalam pengasasan Kerajaan Beruas. Justeru, penulis turut mencari pelbagai sumber lain termasuk Hikayat Raja-Raja Pasai untuk mendapatkan maklumat sokongan terhadap pembukaan Beruas melalui sejarah Pasai.

Bertepatan dengan pendapat pengkaji-pengkaji lain, Kerajaan Beruas diasaskan oleh Sultan Malik Al-Mansur setelah diusir dari Aceh dipercayai pada 1346, lalu baginda pergi ke Beruas yang dahulu dikenali sebagai Belukar Sambang.

Sebelum ini, baginda adalah raja di Samudera dan merupakan adik beradik kepada Sultan Malik Al-Mahmud yang memerintah Pasai. Baginda berdua merupakan putera kepada Sultan Muhammad Az-Zahir iaitu anakanda Sultan Malik Al-Salih yang menyatukan kerajaan Pasai dan Samudera dalam satu pemerintahan.

Bukti pembukaan kerajaan lama Beruas oleh Sultan Malik Al-Mansur turut disokong Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman.

Dalam kajiannya, beliau memberitahu, Sultan Malik Al-Mansur tiba di Semenanjung Tanah Melayu melalui Sungai Beruas, lalu mengasaskan Kerajaan Beruas.

“Sultan Malik Al-Mansur dipercayai raja pertama dalam Kerajaan Beruas. Takhtanya digantikan oleh Daik Ismail dan Shamsul Baharin selepas baginda kembali semula ke Aceh,” katanya ketika ditemui S2.


Mesej rahsia pada batu nisan

Usaha menemukan catatan sejarah Kerajaan Beruas seperti mencari permata di dalam kaca. Menurut pengkaji, penemuan artifak berkaitan kerajaan tersebut terlalu sedikit dan tidak cukup untuk menceritakan sepenuhnya tentang kewujudan kerajaan itu.

Di sebalik kesamaran tentang kewujudan kota purba di Beruas yang terletak di negeri Perak, terdapat satu andaian bahawa wujud bukti nyata yang boleh dikaji selidik dengan lebih mendalam iaitu mesej ‘rahsia’ yang tercatat pada batu nisan di perkuburan lama di pekan itu.

Berdasarkan reka bentuk batu nisan yang berselerak di perkuburan itu, khususnya di Kampung Kota, para pengkaji mendapati ukiran batu nisan itu berasal dari Aceh.

Ini secara tidak langsung menunjukkan terdapat pengaruh dari wilayah utara Sumatera itu di Beruas suatu ketika dahulu.

Hal ini diakui Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman.

ANTARA prasasti yang terdapat di Minye Tujoh di Aceh dikatakan menyimpan mesej rahsia dari Kerajaan Pasai. MISTISFILES.HISTORIANSECRET.COM -

ANTARA prasasti yang terdapat di Minye Tujoh di Aceh dikatakan menyimpan mesej rahsia dari Kerajaan Pasai. - RIWAYATMELAYU.BLOGSPOT.COM

BATU nisan berukir dari Aceh ini mempunyai jenis lelaki dan perempuan dan ukirannya menandakan makam tersebut milik kerabat atau bukan.

MAKAM dipercayai milik pemimpin Kerajaan Beruas berdasarkan ukirannya yang menandakan sebagai kerabat diraja.

MAKAM Raja Pasai, Sultan Malik Al-Salih yang terletak di Aceh mempunyai batu nisan yang berukiran sama dengan batu nisan pada makam lama di Beruas. JEJAKMIHRABMIMBAR.WORDPRESS.COM

MAKAM Raja Beruas di Kampung Kota, Beruas.

Beliau menjelaskan batu nisan pada makam lama yang ditemui di Beruas adalah batu nisan yang telah dibawa masuk dari Aceh.

Menurutnya, penemuan itu membuktikan Beruas pernah mempunyai hubungan perdagangan dengan Aceh, selain dikatakan pernah berada di bawah naungan Kerajaan Melaka.

“Batu nisan dengan ciri-ciri Aceh itu banyak terdapat di makam lama di Kampung Kota dan sekitar Pulau Meranti.

“Ia dipercayai dibawa masuk ke Beruas sekitar tahun 1500 hingga 1599.

“Pada batu nisan tersebut, tertera ukiran berbentuk tulisan menggunakan skrip Kufi yang mengandungi ayat-ayat al-Quran.

“Terdapat juga ukiran dengan motif bunga yang keseniannya dipercayai dari Aceh.

“Contohnya, bentuk bunga dengan motif boengong awan si tangke, rossette, hiasan geometri dan sebagainya.

“Batu nisan dengan ukiran sedemikian dikatakan sangat popular di Aceh pada kurun ke-16,” katanya kepada S2.

Bagaimanapun, fakta itu berbeza dengan apa yang disampaikan seorang pengkaji sejarah persendirian yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Srikandi.

Beliau yang memiliki blog sendiri, memberitahu kerajaan lama Beruas terlebih dahulu menerima pengaruh Kerajaan Pasai berbanding dengan Kesultanan Aceh.

“Kerajaan purba Beruas sudah ada sebelum Kesultanan Aceh diasaskan sekumpulan kerabat diraja di utara Sumatera.

“Berbalik pada batu nisan di Beruas, ia dipercayai menyimpan mesej rahsia berdasarkan persamaannya dengan prasasti (batu nisan berukir tulisan) Minye Tujoh di Aceh,” katanya ketika dihubungi menerusi e-mel.

Beliau menjelaskan batu nisan yang berukir sedemikian digunakan khas untuk makam golongan kerabat atau disebut sebagai aristokrat Beruas dan sering digunakan golongan terhormat di Pasai.

“Kaitannya dengan Beruas adalah batu nisan pada makam lama di situ mempunyai ukiran yang sama seperti prasasti Minye Tujoh di Aceh.

“Berdasarkan kajian yang pernah dibuat, prasasti Minye Tujoh ada menyebut tentang keluarga Barubhasa (seorang pemerintah Langkasuka).

“Justeru, ia juga menjadi faktor kepada hubungan antara Pasai dengan Beruas. Menariknya, batu nisan yang dimaksudkan sebagai prasasti Minye Tujoh di Aceh dimiliki seorang perempuan,” jelasnya.

Penulis juga menemui pandangan yang sama daripada seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak, Dr. Mohamad Hanif Md. Noor berkaitan batu nisan di Beruas.

“Memang banyak makam lama di Beruas. Kebanyakannya wujud sejak kurun ke-16. Keunikan batu nisan tersebut adalah pada ukirannya.

“Makam yang ada batu nisan yang diukir sedemikian lazimnya kepunyaan pemimpin atau raja. Ia mempunyai ukiran yang sama dengan makam kerabat diraja Aceh.

“Selain ukiran, batu nisan ini dipercayai mempunyai identiti yang boleh menentukan jantina pemilik makam. Kalau yang lurus tegak, adalah lelaki manakala yang diukir melentik pula adalah perempuan,” ujarnya.

Tags: sejarah, warisan
Subscribe

Posts from This Journal “warisan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments