kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Artifak bukan milik Gangga Negara , Nama asalnya 
Belukar Sambang, Keranda emas di Ulu Licin?

Keranda emas di Ulu Licin?

Mungkin kerana sejarah Beruas yang panjang bermula dari Gangga Negara yang wujud lebih awal dari kurun ke-2, maka terdapat pelbagai kisah misteri masih membelenggu penduduk hingga ke hari ini.

Tetapi, kisah misteri tersebut dianggap tidak mustahil kerana kerajaan awal itu dahulu dipercayai berasal dari India dan berpegang kepada agama Hindu.


MAKAM lama lain yang terdapat di Kampung Kota, kebanyakan ukiran batu nisannya adalah pengaruh dari Aceh.

Justeru, Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman mengakui terdapat banyak cerita misteri berkaitan dengan sejarah di Beruas.

“Saya terpanggil untuk membuat penyelidikan di Beruas selepas banyak dakwaan penemuan artifak oleh penduduk tempatan mengenai Kerajaan Beruas dan Gangga Negara.

“Dalam masa yang sama, saya turut mendengar kisah mistik di Beruas termasuklah dikatakan wujud sebuah keranda emas dekat kawasan Ulu Licin.

“Namun, apabila saya bersama rakan penyelidik lain pergi ke sana untuk membuat ekskavasi, memang tak ada pun keranda emas. Saya anggap ia sebagai satu kisah misteri yang diceritakan penduduk,” katanya.

Sementara itu, terdapat pelbagai kisah misteri lain termasuklah cerita seorang ‘penjaga’ tasik.

Menurut seorang penduduk, Ariffin Mahmud, dahulu ada kolam di belakang sebuah sekolah dan dikatakan ‘berpenjaga’ kerana penduduk sering ternampak kelibat seorang puteri di kolam itu.

“Orang cakap puteri tersebut adalah Puteri Cindra Dewi, berasal dari Gangga Negara,” ujarnya.


Nama asalnya 
Belukar Sambang

Kawasan kering dan pohonnya tidak berbuah. Itulah gambaran asal Beruas. Kononnya, menurut penduduk tempatan, ia terkena sumpahan yang tidak diketahui pucuk pangkalnya.

Beruas itu sendiri merupakan sejenis pokok. Menurut cerita penduduk tempatan, lokasi terdapat banyak pokok Beruas adalah di Pengkalan Baru, sebuah kawasan penempatan berhampiran pekan Beruas.



ARIFFIN MAHMUD menunjukkan Padang Anta Beranta yang pernah menjadi lokasi pertempuran tentera Beruas dengan tentera Manjung dan Siam.

Disebabkan terdapat banyak tumbuhan itu yang buahnya berbentuk seperti manggis, maka kawasan tersebut dinamakan Beruas.

Bagaimanapun seorang penduduk tempatan, Ariffin Mahmud memberitahu, dahulu Beruas dikenali dengan nama lain iaitu Belukar Sambang.

“Kawasan itu dinamakan sedemikian kerana persekitarannya terlalu kering sehingga tiada pohon mampu mengeluarkan buah. Pendapat lain menyatakan, kawasan itu pernah terkena sumpahan iaitu tanam apa sahaja tidak akan menjadi.

“Dikatakan, ada penduduk cuba tanam pokok buah-buahan dan buka sawah padi, tetapi semuanya gagal. Disebabkan itu, kawasan ini hanya ditumbuhi pokok kecil dan renek,” katanya.

Ada juga cerita mengatakan Beruas dahulu dinamakan Belukar Sambang pada 1025 Masihi selepas diserang angkatan tentera Raja Rajendra Chola 1.

Menurut Ariffin, kawasan sama ada di Beruas atau Pengkalan Baru telah menjadi medan pertempuran antara angkatan Raja Rajendra Chola 1 dengan Gangga Negara.

“Akibat pertempuran tersebut, kawasan terlibat menjadi padang jarak padang terkukur, sekali gus mendapat nama Belukar Sambang,” jelasnya.


Artifak bukan milik Gangga Negara

Mencari bukti untuk meneruskan kajian tentang kewujudan Kerajaan Beruas dilihat seperti satu usaha yang lesu. Malah penemuan yang ada pun tidak begitu kuat untuk menceritakan kewujudannya.

Kajian terhadap Kerajaan Gangga Negara yang dikatakan wujud sebelum kurun ke-2 Masihi turut menemui kebuntuan apabila tiada penemuan dapat membuktikan kewujudannya.

Perkara tersebut diakui sendiri Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman.

Beliau menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap eskavasi yang pernah dilakukannya untuk mengkaji sejarah Beruas.

“Pada tahun 1990-an, saya berkampung di Beruas selama 20 hari untuk membuat pencarian artifak dan kesan sejarah.

“Banyak artifak ditemui, dipercayai mempunyai kaitan dengan Beruas seperti pinggan mangkuk, wang tampang timah, peralatan besi serta tembaga dan tembikar yang dikenal pasti telah wujud sejak awal kurun ke-15.

“Namun, tiada penemuan arkeologi lain dapat memberi petunjuk kepada kedudukan sebenar pusat pemerintahan Kerajaan Beruas.

“Memang banyak khabar angin daripada penduduk kampung kononnya mereka tahu di mana letaknya artifak lama serta lokasi sebenar Kerajaan Beruas yang turut dikenali Gangga Negara.

“Namun, tidak ada penduduk dapat mengesahkan cerita tersebut.

“Saya minta penduduk bawa ke tempat yang dimaksudkan seperti lokasi batu bersurat, tetapi malangnya lokasi itu tidak ditemui,” katanya kepada S2.

Dalam kajian yang dilakukan oleh Colonel James Low pada 1849 dan H.G Quaritch Wales pada 1940-an, kedua-duanya sependapat bahawa Gangga Negara wujud dalam lingkungan tahun 100-an hingga 1000-an Masihi.

Pendapat itu dibuat berdasarkan bukti penemuan artifak seperti timah, pedang, keris, syiling dan pinggan mangkuk dari China ketika pemerintahan Dinasti Ming, dipercayai wujud sejak kurun ke-5 dan ke-6.

Bagaimanapun terdapat dakwaan mengatakan artifak itu bukan dari era Gangga Negara. Malah ia dinafikan para pengkaji berdasarkan penelitian yang pernah dibuat ke atas penemuan tersebut.

Menurut pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Seri Iskandar, Perak, Dr. Mohamad Hanif Md. Noor, kebanyakan artifak ditemukan itu adalah baharu dan tidak menjangkau usia Gangga Negara.

“Dalam eskavasi pada 2012, banyak penemuan melibatkan serpihan pinggan mangkuk dan kulit kerang di Pengkalan Baru serta batu nisan lama di Beruas.

“Penelitian terhadap artifak tersebut telah dilakukan dan dapat dikenal pasti, ia wujud pada kurun ke-15.

“Ada satu sahaja artifak yang saya jumpa di Kampung Kota iaitu arang.

“Selepas penelitian dibuat, arang itu dipercayai wujud pada tahun 590 Masihi dan mungkin boleh dikaitkan dengan kerajaan Gangga Negara.

“Bagaimanapun, ia belum cukup kukuh untuk membuktikan ketamadunan kerajaan tersebut,” jelasnya.

KELUASAN Sungai Beruas dahulu membolehkan kapal keluar masuk dan terdapat sebuah pelabuhan di Kampung Kota.

KAMPUNG Kota antara kawasan dikatakan menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Beruas dan Gangga Negara kerana kedudukannya yang dekat dengan Sungai Beruas

HANIF Md. Noor menunjukkan lokasi penemuan arang yang diguna pada 590 Masihi.

ANTARA peralatan besi yang ditemui dalam eskavasi di 15 kawasan di Beruas.

KOLEKSI periuk tembaga ini disumbang oleh Ariffin Mahmud kepada Muzium Beruas selepas menemuinya di Beruas

WANG tampang timah, antara artifak yang ditemui di Kampung Kota

Tags: sejarah, warisan
Subscribe

Posts from This Journal “warisan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments