kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Melayu-Bali kekal tradisi

SIAPA sangka Bali yang terkenal sebagai pulau peranginan di Indonesia dengan majoriti penduduknya
 beragama Hindu rupa-rupanya mempunyai sebuah perkampungan Melayu-Islam yang sudah bertapak sejak abad ke-17 lagi. Perkampungan itu letaknya di Loloan dalam daerah Jembrana di barat pulau tersebut.

Pada 1653, Jembrana yang diperintah kerajaan Hindu telah menerima kunjungan orang Bugis yang melarikan diri daripada serangan penjajah Belanda. Mereka dikatakan anggota kumpulan penentang di Sulawesi yang diketuai oleh Daeng Marewah, yang kemudian melarikan diri sehingga ke Jembrana.



SALAH sebuah rumah dengan senibina Melayu yang masih utuh di Loloan Timur, Jembrana, Bali, Indonesia.

Pada 1669 pula, empat ulama bersama para pengikutnya telah datang ke Jembrana. Kedatangan mereka untuk menyampaikan dakwah Islam dan hasrat itu mendapat restu pemerintah kerajaan Jembrana pada masa itu, I Gusti Arya Pancoran yang beragama Hindu.

Menurut seorang penduduk, Achmad Damanhuri, 83, Dawan Sirajuddin dikatakan berasal dari Sarawak manakala Syeikh Basir dari Yemen, sementara Mohammad Yasin dan Syihabbudin pula merupakan ulama dari Makassar.

Beliau berkata, Dawan Sirajuddin yang juga dikenali Buyut Lebai lahir pada 1619 di Sarawak, datang ke Jembrana pada 1669 dan dan meninggal dunia pada 1744. Jenazah ulama itu dikebumikan di Loloan Timur yang kemudian diberi gelaran oleh masyarakat setempat sebagai Makam Buyut Lebai.

“Sebelum ini, Makam Buyut Lebai terletak di luar bangunan sehinggalah pada tahun 1980-an, kami mengambil inisiatif membina kompleks makam tersebut.

“Terdapat enam lagi makam di dalam kompleks tersebut iaitu Muhammad Ya’qub, Muhammad Thoha, Muhammad Sofwan, Muhammad Romlan, Moyang Tojibah dan Muhammad Shofi,” katanya yang mengaku sebagai keturunan Buyut Lebai.



Di depan Makam Buyut Lebai

Kemudian pada 1799, empat buah kapal dikatakan belayar dari Pontianak, Kalimantan telah singgah di Jembrana. Rombongan tersebut diketuai Syarif Abdullah Yahya al-Qadri yang datang bersama seorang ulama dari Terengganu, Muhammad Ya’qub.

“Mereka disambut oleh Raja Putu Seloka dan dibenar bermukim di kawasan seluas 80 hektar di Loloan Barat dan Loloan Timur, yang menjadi penempatan masyarakat Melayu sehingga ke hari ini,” katanya.

Tambah beliau, pada 1804, Syarif Abdullah yang juga dikenali Syarif Tua bersama rakan-rakannya sepakat membina kubu pertahanan di Loloan Timur, yang dikenali sebagai Kubu Fathimah.

Syarif Abdullah meninggal dunia pada 1858 di Loloan Barat dan jenazahnya dikebumikan di perkarangan Masjid Agung Baitul Qadim.

Ternyata kehadiran orang Bugis dan ulama-ulama nusantara telah memberi perubahan besar dalam masyarakat Bali di Jembrana, khususnya di Loloan.

Kira-kira 75 peratus daripada 40,000 penduduk di Loloan Timur dan Barat masih menggunakan bahasa Melayu sebagai pertuturan harian mereka, bahkan ada yang masih boleh berpantun dan berseloka.

Sebanyak 30 peratus rumah-rumah tradisi Melayu masih kekal sehingga hari ini walaupun kebanyakannya sudah begitu uzur.

Tags: sejarah, warisan
Subscribe

Posts from This Journal “warisan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments