kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Memahami tugas bapa sudah mencukupi

Hari ini adalah Hari Bapa. Di Malaysia sambutan Hari Bapa diraikan pada hari Ahad minggu ketiga bulan Jun setiap tahun. Maknanya hari ini hari istimewa kepada kaum bapa. Istimewakah... terpulang pada individu.

Bagi kaum lelaki yang bergelar ayah, papa, daddy, abah atau apa-apa panggilan lain – itu tanda hormat anak-anak, malah isteri anda.

Tapi biasanya, Hari Bapa baik di peringkat keluarga, keji­­ra­nan ataupun negara, sambutannya tidak semeriah menyambut Hari Ibu. Tiada kejutan berupa hadiah. Lum­rahnya kaum lelaki pun tidak kisah hendak menyam­butnya ataupun tidak.

Kaum bapa tidak mengharapkan penghargaan atau hadiah, cukup kalau isteri dan anak-anak memahami tugas dan tanggungjawabnya kepada keluarga dan tunjukkan rasa hormat kepada bapa. Itu sahaja sudah mencukupi.

Banyak orang kata bapa adalah antara individu paling penting dalam kehidupan keluarga. Selepas ibu, bapa merupakan orang yang bertanggungjawab membesarkan dan mencorakkan kehidupan awal kita.

Bukan hendak mengungkit atau minta simpati, hakikatnya banyak kalangan kita terlepas pandang betapa tinggi dan besarnya jasa seorang bapa. Maka tidak hairanlah ada yang menganggap Hari Bapa tidak sepenting Hari Ibu.

Mungkin sebab bapa itu kaum lelaki maka dia boleh mengharungi kehidupan yang mencabar ini berbanding dengan kaum ibu yang terserlah sikap wanita yang dikatakan lemah dan selalu mendapat simpati.

Kita tidak begitu ambil kisah peranan bapa kerana sudah terbiasa dengan tanggapan bahawa mencari nafkah itu adalah tanggungjawab me­reka. Fungsi bapa cari duit. Dapat duit baru boleh belanja untuk itu, ini.

Mahu duit belanja min­talah pada bapa. Kita kadang-kadang dan jarang-jarang terfikir apa yang diharungi oleh si bapa untuk membawa pu­lang rezeki.

Bayangkan keluarga yang besar dengan anak-anak yang masih memer–lukan per­be­lan­jaan untuk pendidikan dan makan untuk mem­besar.

Mana mungkin cu–kup gaji bulanan. Saya terkenang arwah bapa yang mendapat gaji RM240 sebulan, terpaksa bertungkus lumus mela­kukan dua kerja bagi menyara anak yang ramai.

Kalau dia bekerja sif malam, pulang paginya dia akan mengayuh basi­kal ke kawasan lom­bong di Puchong untuk menjala ikan.

Menghargai

Hasil tangkapan ikan putih, haruan, lampam, keli, talapia akan dijual di kawasan kuarters syarikat perlombongan di Air Hitam Tin, Puchong. Sekarang tempat ini sudah bertukar menjadi kawasan mewah The d’Island dengan bekas lombong. Pendapatan hasil jua­lan ikan itu untuk menampung makan minum dan belanja sekolah kami.

Kadang-kadang saya lupa akan tekanan kerja dan keselamatan abah semasa bekerja di atas kapal korek bijih timah yang tinggi risikonya. Malahan berkayuh basikal waktu malam yang gelap gelita untuk memasang jaring di kawasan lombong juga kena berdepan dengan bahaya di darat dan di dalam air. Semua ini dilalui oleh abah semata-mata untuk mendapatkan wang harian agar mencukupi.

Kita semua ada cerita bersama bapa masing-masing dan yang pasti kita tak akan lupa kepayahan hidup yangdiharungi oleh bapa kita dahulu. Anak-anak yang sedar tentang tanggungjawab bapa, biasanya boleh melihat dan belajar bagaimana menjadi lelaki budiman daripada bapa.

Biasanya kalau kaum wanita, mereka mengharapkan mendapat suami yang hampir-hampir sama dengan karakter bapa mereka. Mereka hendak suami yang tegas pada anak-anak. Walaupun ada bapa yang tidak berpendidikan tinggi tetapi kata-kata nasihat mereka amat berguna. Jika ada masalah keluarga, bapalah tempat minta nasihat. Kadang-kadang tidak diberitahu masalah keluarga pun, dia dapat juga merasakannya.

Walau apa sekalipun tanggapan kita kepada bapa, akuilah bahawa dialah yang mendidik dan mendisiplinkan diri kita. Berbeza dengan sikap bapa zaman sekarang yang jarang guna tangan atau rotan, bapa dahulu tidak ada rotan, getah paip pun berguna. Semua ini untuk mendisiplinkan diri kita terutama yang degil dan tidak mementingkan keselamatan diri. Bapa adalah guru disiplin. Ketegasan bapa mencorakkan sikap anak-anak apabila dewasa.

Sama dengan cara menghormati ibu, penghormatan kepada bapa bukan hanya dilakukan pada masa-masa yang ditetapkan, melalui pemberian hadiah dan kad ucapan semata-mata. Cara menghargai jasa bapa adalah melalui perbuatan dan banyakkan berdoa untuknya.

Jasa ibu atau bapa tidak ada bezanya. Malah, tidak terhitung nilainya, justeru tidak akan terbalas oleh kita. Jasa dan pengorbanan mereka bermula sejak kita masih belum wujud di dunia ini lagi.

Sebagai anak, kita wajib menjaga dan memberikan perhatian terhadap kebajikan ibu bapa yang sudah tua. Rajin-rajinlah melawat dan bertanyakan khabar mereka, pastikan makan pakainya terjaga, sakit pening segera diubati. Jangan tangisi pemergian mereka jika semasa hayatnya kita langsung tidak pedulikan mereka.

Janganlah membiarkan ibu bapa hidup sunyi di kampung tanpa sebarang perhatian. Ingatlah, bagaimana kita melayan ibu bapa pada hari ini, mungkin begitu juga layanan yang bakal kita terima daripada anak-anak kita nanti.

Selamat Hari Bapa. - Utusan Malaysia Rencana 19 Jun 2016 12:13 AM

Tags: father
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments