kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

PIBG perlu aktif jana idea, kreatif cari dana manfaatkan media sosial untuk mohon sumbangan

PIBG perlu aktif jana idea, kreatif cari dana

Masyarakat tidak boleh ‘campak’ anak mereka begitu sahaja ke sekolah tapi mesti sama memikirkan cara mencari dana sekolah.

Dana ini penting untuk menampung pembayaran pelbagai aktiviti seperti kelas tambahan, bengkel dan seminar akademik, hari sukan, kokurikulum, prasarana dan peralatan sekolah serta 1,001 macam keperluan lagi.

Jika tiada dana, sekolah akan ‘mati’. Jadi peranan komuniti sekolah amat penting.

Dalam hal ini, pihak pengurusan sekolah harus memainkan peranan penting menggunakan sepenuhnya entiti utamanya iaitu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam mencari dana tambahan selain peruntukan sedia ada daripada kerajaan.

Mendapatkan sumbangan syarikat korporat dan pihak lain bagi membiayai kelas tambahan dan pelbagai aktiviti di sekolah, memang cadangan baik.

Soalnya, berapa banyakkah syarikat dan individu yang bersedia berbuat demikian?

Bukan tidak ada, tetapi jumlahnya boleh dibilang dengan jari.

Dengan itu, jumlah sekolah dan program sanggup mereka taja juga terhad.

Bahkan syarikat yang mendapat kontrak pembekalan dan perkhidmatan dengan pihak sekolah pun belum tentu sanggup memberi sumbangan ribuan ringgit setiap tahun!

Itulah realitinya.

Begitu jugalah halnya dengan sumbangan persatuan bekas pelajar dan sumbangan peribadi bekas pelajar, boleh dibilang dengan jari.

Apapun jika merealisasikan idea kreatif untuk mendapatkan sumber dana, tidak mustahil hasil diterima memuaskan dan mampu beri pulangan.

Akhirnya, matlamat utama untuk memberi dan melindungi kebajikan pelajar dan guru, serta sumbangan kepada sekolah dapat dilakukan.

Tambah hasil kutipan

Persoalannya, apakah yang boleh dilakukan untuk menjana sumbangan dana ini? Kebiasaan kita dengar pihak sekolah mengadakan aktiviti amal, seperti makan malam amal, larian amal, jualan amal dan seumpamanya.

Namun jika lebih kreatif dan program sedemikian diinovasi, hasil kutipan dana lebih bertambah.

PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 13, Shah Alam misalnya antara yang berjaya melakukannya melalui Karnival Riang Ria yang diadakan tahun lalu.

Bukan setakat karnival biasa, sebaliknya olahan idea untuk program terbabit berjaya membawa pulangan yang akhirnya dapat digunakan untuk menaiktaraf bangunan sekolah.

Yang Dipertua PIBGnya, Zulrushdi Mohamed berkata, pulangan diterima kira-kira RM140,000 melalui program tersebut melebihi jangkauan.

Ditanya 'resipi' kejayaan itu, menurutnya ia adalah hasil kerjasama PIBG dan pihak sekolah dan melibatkan kumpulan pelajar sebuah kolej.

Katanya, melalui kerjasama dengan vendor (peniaga), sebahagian keuntungan diperoleh mereka diberikan kepada sekolah.

Menariknya masyarakat setempat dan warga sekolah juga hadir memberikan sokongan padu.

"Konsep diterapkan beriadah sambil beramal, karnival ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik dikelolakan mahasiswa daripada fakulti pendidikan awal kanak-kanak universiti terlibat.

"Antara lokasi yang menjadi tarikan pengunjung adalah rumah hantu dan permainan taman tema air," katanya.

Jika dilihat, karnival dianjurkan pihaknya itu menekankan konsep berhibur sambil menderma antara daya tarikan.

Dengan jumlah pengunjung yang memberangsangkan, ternyata kesan promosi juga sudah pasti memainkan peranan.

Menurut Zulrushdi, medium digunakan pihaknya adalah melalui risalah, kain rentang di perumahan dan sekolah berdekatan.

Paling berkesan penyebaran promosi dan maklumat program dengan penggunaan media sosial kini yang banyak membantu iaitu melalui Facebook dan WhatsApp.

Kesimpulannya, banyak aspek dan ruang boleh digunakan untuk mengorek dana.

Hanya usaha dan kreatif!

PIBG perlu manfaatkan media sosial untuk mohon sumbangan

Pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu ambil inisiatif menyuarakan pada masyarakat dan pihak luar sekiranya memerlukan sumbangan bagi menampung keperluan.



Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Shuh Yen anjurkan Hari Kantin untuk memupuk minat murid pada keusahawanan.
Ketua Kluster Pendidikan & Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, sikap hanya menunggu dan berdiam tidak memungkinkan bantuan seperti dana kewangan, 'datang bergolek'.

"Perlu aktif dan kreatif guna medium ada untuk beritahu pada masyarakat, dekati pihak atau syarikat swasta berpotensi menyumbang. Biasanya jika itu dilakukan barulah mereka (penyumbang) akan sedia menyumbang.

"Tak kiralah sumbangan diperlukan bentuk kewangan, tenaga, peralatan dan sebagainya, bila tahu ada keperluan baru mereka akan beri (sumbangan)," katanya ketika mengulas berhubung keperluan dana tambahan dan sumbangan kepada pihak sekolah, selain peruntukan sedia ada telah diberikan kerajaan.

Beliau tidak menafikan sikap segelintir masyarakat terlalu keberatan apabila hendak menyumbang kepada sekolah apa lagi berkait pendidikan, walaupun anak-anak dibantu itu sebenarnya bakal mencorakkan kehidupan masa depan.

Katanya, itu juga menunjukkan pemikiran masyarakat negara ini belum mencapai tahap seperti di negara barat yang kebanyakan adalah sebaliknya.

"Tapi di negara seperti Thailand dan Singapura, mereka amat positif mengenai keperluan ini. Di Thailand misalnya, penglibatan ibu bapa di sekolah amat banyak. Kedatangan kami ke sekolah di sana juga disambut ibu bapa.



.
"Di Singapura pula contohnya, ibu bapa kanak-kanak di sana banyak beri bantuan dari segi tenaga untuk mengajar bagi membantu guru semasa di kelas. Berbeza di sini, pendekatan sedemikian sukar dapat dilihat," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya pihak sekolah boleh menggunakan sumber setempat dan memanfaatkan media sosial dalam memohon dan menyuarakan keperluan mereka.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) memberikan contoh, kaedah wakaf banyak membantu masyarakat menyumbang seperti dilakukan di universitinya.


Wakaf tunai

"Tagline ‘wakaf’ dan ‘saham akhirat’ lebih menarik minat orang Islam menyumbang kepada dana sekolah" kata Penolong Pengarah, Unit Dakwah, Sektor Dakwah dan Kepimpinan, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan (KPM), Alhuzaee Sulaiman.

Memberikan contoh, menurutnya surau sekolah indah, ceria dan berinformasi menarik minat pelbagai pihak hadir beribadah.

Namun disebabkan kekangan kewangan, kadangkala ia tidak dapat diurus baik.

Pernahkah kita terfikir menderma secara sukarela kepada tabung surau sekolah agar sesuatu bermanfaat dapat dijalankan demi kebaikan anak-anak kita?

Alhuzaee berkata, terdapat sekolah berjaya mengumpul sumbangan melalui idea kreatif tanpa bermodal besar.


“Di bawah jawatankuasa surau sebuah sekolah menengah di Kurau, Perak misalnya, mereka berjaya menggerakkan tabung sumbangan hanya 10 sen pada tiap Jumaat daripada setiap pelajar.

"Jika terdapat 800 pelajar, jadi setiap minggu RM80 dapat dikumpul. Kalau empat minggu, sudah RM320 terkumpul. Itu jika sekolah kecil, jika sekolah lebih besar, senang-senang sahaja dapat sumbangan lebih daripada itu,” katanya.

Menurutnya bagi pelaksanaan kaedah sedemikian, konsep infak untuk ‘tabung akhirat’ (pahala) diterapkan kalangan pelajar.

Tambahan nilai kecil 10 sen tidak begitu dirasai, namun jadi besar apabila dikumpulkan secara beramai-ramai.
Katanya, usaha itu juga untuk mendidik pelajar membuang sifat bakhil.

Menurutnya, program wakaf juga sangat membantu pembangunan fizikal dan keceriaan sekolah. Peluang mewakafkan wang tunai perlu dibuka agar seluruh warga sekolah serta ibu bapa mewakafkan harta di jalan ALLAH.

Alhuzaee memberikan contoh, surau di sekolah yang indah memberi impak baik kepada penghayatan Islam, penurunan kes salah laku dan peningkatan akademik dapat dilihat melalui melalui pembentangan pihak pentadbiran sekolah semasa pertandingan surau dilaksanakan.

"Pengurusan kewangan cekap dan telus juga mampu menarik orang ramai menyumbang ke tabung surau sekali gus manambah dana surau sekolah," katanya.


TIP KUMPUL DANA SEKOLAH

1. Guna laman sosial seperti Facebook, WhatsApp, Frog VLE, Twitter, Instagram dan Sync sebagai medium suarakan permohonan bantuan yang diperlukan oleh pihak sekolah.

2. Karnival Fundathon

3. Sumbangan PIBG

4. Jogathon amal

5. Kad Derma Jogathon

6. Program kitar semula

7. Hari kantin

8. Koperasi sekolah

9. Jualan amal seperti pakaian, buku dan barangan

10. Sumbangan pihak swasta/individu

11. Sumbangan alumni

12. Surat permohonan sumbangan

13. Majlis amal makan malam

14. Sumbangan penaja program

15. Tabung sekolah

16. Sertai pelbagai pertandingan

Fouziah Amir dan Azimah Ghazali GPS Bestari Rencana Artikel 21 Jun 2016

Tags: pibg, pta
Subscribe

Posts from This Journal “pibg” Tag

  • Sekolah tidak semai kasih sayang

    Dasar dan falsafah pendidikan harapan dari Menteri Pendidikan Malaysia yang baru adalah untuk menanamkan nilai kebahagiaan, kasih sayang dan…

  • Cadangan untuk pentadbir sekolah

    Dasar dan falsafah pendidikan harapan dari Menteri Pendidikan Malaysia yang baru adalah untuk menanamkan nilai kebahagiaan, kasih sayang dan…

  • Tujuan mesyuarat PIBG

    Tulisan Merrepak bagi tajuk ‘Saya tidak hadir mesyuarat PIBG kerana ….’ pada Januari 14, 2018 memang telah lama diperbincangkan.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments