kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mohon cuti raya ketiga, Cadang 3 hari cuti raya, Tarbiah zakat Ramadan

Tarbiah zakat Ramadan

AMALAN sunat di bulan Ramadan tidak dibataskan dengan membaca al-Quran, solat Tarawih dan sebagainya malahan terdapat satu lagi amalan wajib yang menjadi kewajipan umat Islam iaitu zakat fitrah.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW memerintahkan agar zakat fitrah diberikan sebelum orang Islam pergi menunaikan ibadah solat sunat Aidilfitri (Hadis Sahih Muslim 1645).

Hikmah utama zakat fitrah bertujuan membersihkan puasa orang-orang yang berpuasa Ramadan daripada hal-hal yang boleh menghilangkan pahala dan juga memberi makan kepada orang miskin.

Ibnu Abbas berkata : “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah sebagai pembersih bagi orang-orang yang berpuasa daripada kata-kata yang sia-sia, keji dan sebagai pemberian makan bagi orang miskin. Barang siapa yang mengerjakannya sebelum solat (Aidilfitri), maka ia termasuk zakat yang diterima. Dan barang siapa mengerjakannya setelah solat (Aidilfitri), maka termasuk sedekah biasa.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Antara tarbiah zakat di bulan Ramadan adalah menyempurnakan keimanan dan keislaman seseorang sebagai seorang Islam dengan rukun Islam yang lima antaranya termasuklah membayar zakat.

Disyariatkan zakat bagi semua orang Islam dan menjadi satu tanggungjawab dalam menitikberatkan juga kepada maknanya, caranya, waktunya, hukumnya dan niatnya.

Tarbiah rohani di sebalik makna tersirat zakat adalah menyemai sifat mulia seperti memurahkan hati dalam memberi kerana tidak semua manusia memiliki kemudahan dan kesenangan harta, kesihatan tubuh badan dan sebagainya. Nur Adilah Johari Utusan Malaysia Rencana Forum 22 Jun 2016 12:36 AM



Cadang 3 hari cuti raya

EPISOD sedih di jalan raya Malaysia bakal berulang lagi sekitar tiga minggu menjelang ketibaan Syawal khususnya dalam perjalanan pulang ke kampung halaman dan kembali ke tempat kerja.

Ramai anak muda dan keluarga yang akan diratapi kerana musibah jalan raya akibat kecuaian sendiri atau faktor-faktor lain seperti cuaca, keadaan jalan raya mahupun kerosakan kenderaan.

Kita berharap pihak berwajib dapat mengusahakan sesuatu yang lebih berkesan daripada prosedur biasa agar kemalangan maut dapat dikurangkan dan jika boleh disifarkan pada musim perayaan.

Selain daripada tindakan pihak berkuasa, satu lagi sudut yang dapat difikirkan ialah melihat semula cara kita menguruskan penentuan hari cuti umum khususnya untuk hari-hari raya umat Islam.

Ini bertitik tolak daripada cara ketentuan hari raya yang dibuat di saat-saat terakhir atau secara mendadak disebabkan pengguna jalan raya menunggu pengesahan hari cuti perayaan tersebut.

Sebahagian besar pengguna jalan raya akan hanya membuat perjalanan di saat-saat akhir kerana keputusan ini bergantung kepada cuti rasmi pentadbir dan majikan masing-masing.

Mereka juga perlu merencanakan semula perjalanan untuk memenuhi tuntutan ziarah wajib ke atas kaum keluarga yang perlu dilaksanakan dalam ruang waktu singkat cuti rasmi itu sahaja.

Golongan ini kebanyakannya terdiri daripada si bujang perantau menunggang motosikal atau pasangan yang baru menimang cahaya mata di samping pengantin baharu yang perlu tergesa-gesa memenuhi jadual ziarah wajib ke atas saudara mara di kedua-dua belah pihak.

Akhirnya, ada di antara mereka menjadi angka statistik kemalangan jalan raya kerana kekalutan berziarah dengan kudrat yang terbatas.

Apa yang perlu difikirkan ialah bagaimana setiap keluarga dapat merancang dengan baik pembahagian masa cuti serta perjalanan pergi balik beraya.

Majikan di semua sektor pula perlu mengelak daripada membuat perubahan mengejut ataupun pengumuman minit akhir waktu cuti yang boleh menyebabkan situasi cemas kakitangan sehinggakan terpaksa bergegas pulang ke kampung mahupun tergesa-gesa kembali ke tempat kerja.

Saya ingin mengesyorkan di sini agar dilihat kembali cara penetapan cuti untuk dua perayaan umat Islam ini khususnya melibatkan agensi yang mengesahkan tarikh hari raya.

Salah satu cara yang boleh dipertimbangkan ialah menetapkan cuti umum bermula hari berikutnya selepas tarikh melihat anak bulan, tidak kira sama ada anak bulan dapat dilihat atau tidak.

Jika anak bulan kelihatan, cuti untuk dua hari akan diteruskan dan jika tidak kelihatan cuti umum tetap berjalan tetapi dilanjutkan kepada tiga hari iaitu cuti sehari sebelum raya, cuti raya dan cuti raya kedua.

Mungkin dengan kekuatan sains ilmu falak yang ada sekarang, kemampuan untuk menentukan kemunculan anak bulan juga dapat dijalankan dengan lebih tepat.

Walaupun penambahan cuti umum ini dilihat memberi impak kepada cara kerja, kewangan dan ekonomi, implikasi kecederaan dan kematian ketika pulang beraya adalah lebih teruk bukan sahaja kepada keluarga mangsa malahan kepada majikan dan juga negara.

Adakah nilai satu nyawa mahupun satu anggota badan pengguna jalan raya lebih rendah daripada nilai duit, keuntungan syarikat mahupun ekonomi negara?

Tanpa kita sedari, sambutan perayaan di kampung kini sudah umpama satu tuntutan wajib sistem kekeluargaan di negara ini memandangkan ramai anak-anak desa berada di perantauan dan ini telah menyumbang kepada peningkatan kemalangan jalan raya.

Perayaan lain seperti Tahun Baharu Cina atau Deepavali yang mempunyai tarikh khusus 
pula dilapor mencatatkan 
jumlah kematian lebih 
rendah berbanding Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sedangkan umat Islam turut ‘tumpang sekaki’ pulang
bercuti ketika itu.

Oleh itu mungkin perlu dinilai cadangan hari cuti hari raya umat Islam yang lebih fleksibel agar tidak memberi kejutan mahupun tekanan kepada orang ramai dalam merancang waktu cuti dan perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing. Badruddin Othman Petaling Jaya Utusan Malaysia Rencana Forum 22 Jun 2016 12:36 AM


Mohon cuti raya ketiga

SAYA
seorang penjawat awam yang berasal dari Perlis tetapi kini berkhidmat di Negeri Sembilan.

Sebagai seorang pekerja di perantauan, besarlah harapan saya dan ramai lagi penjawat awam mahupun swasta yang senasib dengan saya agar pihak kerajaan menimbangkan pelepasan cuti untuk hari Jumaat, 8 Julai 2016 iaitu Hari Raya ketiga memandangkan hari tersebut bukanlah hari cuti untuk beberapa negeri.

Ini bagi mengelakkan mereka yang senasib dengan saya tergesa-gesa pulang ke bandar pada hari raya kedua kerana boleh mengundang bahaya di jalan raya.

Ini khususnya membebankan penjawat awam dan swasta yang tidak mendapat kelulusan cuti rehat daripada pihak pentadbir pada hari tersebut.

Semoga ada khabar gembira buat kami. Qamarina Negeri Sembilan Utusan Malaysia Rencana Forum 21 Jun 2016 6:22PM

Tags: cuti, ramadhan, raya
Subscribe

Posts from This Journal “cuti” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments