Jangan sukarkan berpoligami
AGAMA Islam itu mudah dan dipermudahkan untuk kebaikan umatnya tetapi mengapa pula seorang lelaki yang hendak berpoligami mesti dikenakan syarat begitu ketat sekali?
Apa bezanya suami-suami yang membawa pasangan mereka pergi lari jauh ke negara seberang seperti Thailand untuk bernikah tetapi diisytiharkan sah juga kerana cukup syarat dan rukun nikah mereka serta hanya perlu membayar denda sebanyak RM1,000 kepada Jabatan Agama Islam bila pulang ke Malaysia?
Jika segala syarat dan rukun nikah mencukupi, sepatutnya tiada desakan pergi ke seberang kecuali di tempat sendiri dikenakan syarat-syarat yang menyusahkan.
Janganlah kita menyulitkan lagi hal-hal sebegini sedangkan Islam itu sendiri mempermudahkan sementara hukum atau syarat dicipta manusia kita boleh ubah bagi membawa manfaat kepada ummah.
Diharap pihak hal ehwal agama kaji semula syarat-syarat yang tidak bersesuaian sehingga menyusahkan suami-suami yang berniat berkahwin lagi sedangkan perkahwinan itu sendiri adalah digalakkan bagi menambahkan zuriat umat Islam di samping membantu kaum wanita yang masih ramai belum mempunyai pasangan.
Di negara-negara Arab, jarang didengar kaum lelaki berkahwin satu tetapi berkahwin lebih daripada satu menjadi kebiasaan dengan ramai lelaki di sana mempunyai dua, tiga atau empat orang isteri.
Bila Allah membenarkan dan perintahkan sesuatu, sebenarnya adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri dan janganlah kita mengikut amalan agama atau bangsa lain yang menetapkan seorang lelaki hanya layak untuk seorang isteri sahaja. Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail , Ampangan Negeri Sembilan Utusan Malaysia Rencana Forum 22 Jun 2016 12:36 AM
Keluarga lebih penting
SAYA baru kehilangan adik yang meninggal dunia pada awal Jun lalu sehinggakan memaksa saya menilai semula gaya hidup harian di tempat kerja dan bersama keluarga.
Seperti ramai pekerja lain di ibu kota, saya menghabiskan sekurang-kurangnya lapan jam di pejabat, itu pun jika tidak perlu membuat kerja lebih masa, dan ditambah dua ke tiga jam untuk perjalanan pergi serta pulang.
MASA berkualiti bersama keluarga perlu diutamakan khususnya menjelang sambutan perayaan. GAMBAR HIASAN / BERNAMA |
Selepas ditolak waktu tidur antara lima ke lapan jam, baki masa di rumah kadang kala cuma tinggal satu ke tiga jam sehari dan belum lagi mengira masa untuk ibu bapa di kampung.
Ditambah pula hari cuti turut dipanggil bekerja, dalam seminggu memang menjadi kebiasaan keluar sebelum anak bangun tidur dan pulang selepas anak sudah tidur.
Mulai sekarang saya akan lebih utamakan waktu bersama keluarga sebaik mungkin dan sedang merancang mencari kerjaya dengan waktu kerja lebih anjal.
Saya berharap warga kota juga fikirkan perkara ini, janganlah mengejar dunia sampaikan ibu bapa, pasangan dan anak-anak habis usia menantikan kepulangan kita. Kerja untuk hidup atau hidup untuk kerja?