kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Budaya balik kampung masih relevankah?

“BALIK KAMPUNG” adalah satu istilah atau ekspresi yang lazim dikaitkan dengan orang Melayu. Kaitan balik kampung dengan orang Melayu mungkin kerana asal usul majoriti orang Melayu adalah dari kampung maka tidak hairanlah jika perkataan “balik kampung” sinonim dengan orang Melayu.

Tidak kita tahu apakah kaum Cina juga menggunakan istilah “balik kampung” padahal ramai juga mereka yang berasal dari Kampung Baru yang dibina zaman darurat dahulu untuk menga­wal kegiatan komunis. Begitu juga kita tidak dengar orang India “balik kampung” ke estet-estet di mana ramai mereka dilahir dan dibesarkan.


MUNGKIN dalam tempoh 20 atau 40 tahun lagi istilah balik kampung tidak lagi relevan kerana orang Melayu lebih selesa beraya di bandar. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Dalam ilmu sosiologi, orang yang “balik kampung” didefinisi sebagai melakukan aktiviti fitrah semula jadi kembali ke akar umbi tempat di mana mereka dilahir dan dibesarkan. Balik kampung terakam dalam pepatah Melayu “sejauh mana seluang melaut akhirnya pulang juga ke kuala sungai” atau “sirih pulang ke gagang”. Walaupun orang kampung telah lama berada di kota dan di perantauan namun jauh di sudut hati tersemat kerinduan untuk pulang ke kampung halaman.

“Balik kampung” sering dikaitkan dengan musim menyambut hari raya atau cuti sekolah. Di Indonesia fenomena balik kampung untuk menyambut hari lebaran disebut sebagai “mudik”, mungkin mudik ke hulu sungai yang terdapat kampung dari kuala su­ngai terdapat bandar.

Apabila sudah sampai hujung bulan puasa banyak keluarga Melayu yang tidak melepaskan peluang untuk “balik kampung” menziarah ibu bapa, datuk nenek dan kaum keluarga. Balik kampung dan berada di kampung semasa me­nyambut lebaran di bulan Syawal akan dapat merapatkan dan menjalinkan keakraban keluar­ga.

Disebut sahaja “balik kampung” akan terbayang berduyun-duyun kenderaan keluar dari bandar memenuhi lebuhraya. Kenderaan pelbagai jenis seperti motosikal, kereta, van dan bas beratur panjang menuju kampung masing-masing baik di utara, selatan, timur atau barat.

Terdapat juga yang selesa menaiki kereta api dan kapal terbang. Kalau di Sarawak yang banyak sungai tentulah bot ekspres menjadi pilihan, begitu juga mereka yang merantau dari tanah seberang.

Balik kampung bermakna keluar dari lingkungan hiruk-pikuk kota raya buat seketika dan masuk ke alam Melayu di kampung yang aman damai dengan pepohon hijau merimbun, kicauan burung dan bingit cengkerik dalam gelap malam angin sepoi-sepoi bahasa.

Kepada anak-anak balik kampung bererti bermain di sawah, mandi di perigi, berlari-lari di batas bendang, memanjat pokok buah-buahan dan membersih halaman rumah, menebas rumput, menyapu halaman serta membakar sampah pada waktu petang. Kerja membersih rumah dibuat bagi menyambut hari raya.

Lazimnya selepas pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa esok diisytihar 1 Syawal maka mulalah kaum ibu memasak ketupat dan rendang yang menjadi makanan wajib pada hari raya.

Subuh hari raya, menjadi amalan mandi raya dan memakai pakaian baru baju Melayu lengkap dengan samping, menuju ke masjid berdekatan. Di laman masjid kita akan bertemu kawan-kawan lama sekampung, berpeluk dan bertanya khabar. Suasana begini jarang didapati jika beraya di bandar.

Usai solat raya kita akan balik ke rumah untuk bermaaf-maafan dengan ibu dan ayah dan kaum keluarga. Jika kedua-dua orang tua sudah tiada kita sekeluarga ke tanah perkuburan untuk menzia­rahi kubur mereka dan membaca ayat-ayat al-Quran sebagai ha­diah kepada roh mereka. Kemudian kita akan menziarahi kaum keluar­ga yang masih ramai berada di kampung, bertanya khabar, makan ketupat, kuih raya dan berborak cerita lama.

Namun masa dan suasana telah banyak berubah. Anak-anak yang membesar di kota tidak lagi biasa dengan suasana kampung dan tidak lagi tahu permainan budak-budak kampung seperti mandi sungai, melastik burung, memanjat pokok, main gasing, wau atau layang-layang.

Mereka yang dibesarkan de­ngan computer game, walkman dan gajet telefon pintar tidak tahu menyesuaikan diri de­ngan suasana kampung. Mereka yang membesar di bandar selesa menonton TV dan Astro kerana terdapat banyak program hiburan yang disediakan untuk hari raya. Kadang-kadang ibu bapa juga tumpang sekaki menonton TV bersama anak-anak sehingga lupa untuk menziarahi sanak saudara.

Apakah budaya “balik kampung” akan dapat diteruskan pada masa akan datang? Soalan ini amat sukar dijawab kerana kita tidak mempunyai bola kristal atau teropong ajaib yang dapat menilik atau melihat masa depan. Mungkin kampung-kampung tradisi­onal juga akan lenyap diresapi oleh kemajuan dan sudah tidak ada beza antara kampung dengan bandar.

Arus kemajuan memainkan peranan merubah wajah kampung-kampung tradisional menjadi moden dengan membawa kemudahan asas yang lebih baik. Banyak kampung yang dahulu berada di pedalaman seperti skim-skim tanah rancangan Felda yang disebut tempat jin bertendang, kini sudah berubah.

Jika dulu terdapat jurang antara kampung dan bandar, di mana banyak kampung tradisional yang mundur namun selepas lebih 50 tahun merdeka semakin tidak ada beza yang ketara antara kampung dengan bandar.

Namun faktor yang penting menentukan kelangsungan budaya balik kampung ialah faktor perubahan sosiologi dan psikologi (psyche) orang muda Melayu. Melayu generasi baru kini mempunyai naratif sendiri kerana mereka dibesarkan dalam tempat dan zaman yang berbeza.

Mereka sudah jadi orang bandar di mana “kampung” mereka adalah di bandar dan tempat permainan mereka ialah di pusat beli-belah dan taman botani se­perti Lake Garden. Apabila balik kampung mereka menjadi asing atau “peghak” seumpama rusa masuk kampung.

Generasi Melayu moden yang lahir dan membesar di bandar tidak lagi mempunyai koleksi memori nostalgia “balik kampung” seperti mana ayah dan datuk mereka. Pada golongan muda yang dilahir dan dibesar di bandar “balik kampung” tidak ada naratif keseronokan semacam golong­an lebih tua yang berasal dari kampung dan pernah merasai keseronokan beraya dan membesar di luar bandar. Mereka tidak melalui zaman itu.

Lagipun ramai adik beradik dan saudara mara mereka tinggal dalam bandar dan selalu berinte­raksi dengan FB dan WhatsApp, bukan berjumpa setahun sekali macam zaman dahulu. Jadi alasan balik kampung untuk berjumpa sanak saudara sudah tidak lagi relevan.

Berdasarkan logik itu mungkin 20 atau 40 tahun lagi istilah “balik kampung” tidak lagi relevan kepada orang Melayu. Sekarang pun sudah kedengaran komen golongan muda lebih elok beraya di bandar kerana dapat menjimat masa dan wang apatah lagi dalam zaman ekonomi kurang baik. Malah ada yang sinis menyatakan agama pun tak suruh balik kampung bila hari raya.

-
Tags: raya
Subscribe

Posts from This Journal “raya” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments