?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Gunung Maria tak akan meletus

GUNUNG Maria yang terletak 24 kilometer dari bandar Tawau dalam kawasan Taman Bukit Tawau, Sabah mendapat perhatian netizen baru-baru ini, sehinggakan sekumpulan pendaki sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk melakukan penyelidikan di gunung itu. Sekitar gunung itu meliputi keluasan 28 hektar hutan yang tebal.

Jika diteliti pada peta, kita dapat melihat bentuk puncak gunung itu kelihatan seperti kawah gunung berapi yang diliputi hutan tebal.



LOKASI gunung berapi prasejarah yang terdapat di sekitar Tawau dan Semporna, Sabah. – SUMBER DR. FELIX TONGKUL UMS

Aktiviti volkanik terakhir di gunung setinggi 1,096 meter itu berlaku kira-kira 27,000 tahun lampau. Selain Gunung Maria, terdapat beberapa lagi gunung di sekelilingnya yang merupakan bekas gunung berapi purba iaitu Gunung Bombalai, Quoin, Andrassy, Wullersdorf, Bukit Table, Bukit Tiger dan Bukit Tinagat.

Menurut Pensyarah Sains Gempa Bumi Universiti Malaysia Sabah, Dr. Felix Tongkul (gambar), gunung tersebut kini sudah mati dan tidak akan meletus lagi pada masa depan.

Ini kerana katanya, aktiviti gunung berapi di bahagian timur Sabah telah bergerak ke arah kepulauan Sulu di Filipina.

“Selain di Tawau, ada juga bekas gunung berapi purba yang hampir tenggelam di perairan Semporna iaitu di Pulau Gaya dan Pulau Bohey Dulang,” katanya kepada S2.

Felix berkata, terdapat banyak mata air panas yang mengeluarkan haba dari kawasan gunung itu, namun keadaan itu tidak akan mencetuskan semula letusan gunung berapi pada zaman moden kini.

“Mata air di kolam air panas itu berpunca daripada rekahan di dalam bumi. Memang ada sisa-sisa haba tertinggal di sekitar gunung itu, tetapi keadaan itu tidak akan ‘menghidupkan’ semula gunung berapi yang telah lama pendam itu,” katanya.



Pelihara khazanah Gunung Maria

TERLETAK di ketinggian 1,096 meter, Gunung Maria berpotensi untuk dibangunkan sebagai lokasi ekopelancongan terbaharu di Tawau, Sabah. Berbekalkan kisah sejarahnya yang menarik, sudah tentu kehadiran gunung berapi pendam itu mampu menarik kedatangan pencinta alam untuk menerokanya.

Walaupun tiada kawah dapat dilihat, namun pengalaman mendaki ke puncak Maria yang pernah memuntahkan lahar tentunya mengujakan. Ini diakui sekumpulan sukarelawan yang mengadakan ekspedisi bagi tujuan mendokumentasikan keunikan khazanah alam di pergunungan itu pada 25 Februari hingga 5 Mac 2016.

Salah seorang anggota ekspedisi, Nik Khairul Amri, berkata, ekspedisi itu bertujuan mengumpul data berkaitan khazanah hutan di Gunung Lucia, Gunung Magdalena dan Gunung Maria yang terletak dalam kawasan Taman Bukit Tawau, kira-kira 24 kilometer dari bandar Tawau, Sabah.

Menurutnya, ekspedisi yang diketuai oleh Laili Basir itu turut membawa jurugambar profesional bagi merakamkan gambar flora dan fauna di sepanjang laluan mendaki ke puncak gunung tersebut.

“Kami mengambil masa lima hari bagi menamatkan ekspedisi. Antara lain, misi ekspedisi adalah mendokumentasikan khazanah alam sebelum hutan sekitarnya musnah dek pembangunan,” katanya kepada S2.

Beliau melahirkan kebimbangan kerana terdapat dua projek yang boleh menjejaskan ekosistem gunung tersebut.

“Kami dapati terdapat projek geothermal bagi menjana tenaga elektrik di kaki gunung, selain projek empangan yang sedang dalam perancangan.

“Kami bimbang jika pembangunan tidak dikawal, ia akan merosakkan khazanah alam yang tersimpan di gunung tersebut,” katanya.

Ekspedisi ini dianjurkan oleh Hugs Project dengan kerjasama sukarelawan dari Persatuan Malim Gunung Malaysia dan Luar Biasa Photography.

Dalam pada itu, Nik Khairul berkata, beliau difahamkan saiz kawah Gunung Maria adalah dua kilometer persegi.

Katanya, semasa mendaki, mereka dapat melihat susunan pokok yang menunjukkan kawasan kawah terletak di situ.

“Semasa kami berdiri di satu lereng, kami nampak pokok di situ ‘berdiri’ dalam kedudukan yang memperlihatkan bentuk seperti kawah. Apabila disemak melalui Google Earth, kami dapati kawasan itu adalah bekas kawah yang pernah memuntahkan lahar satu ketika dahulu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi sukarelawan, Mohammad Mohammad Salleh, berkata, misi mendokumentasikan gunung berapi pendam itu juga dilakukan dari sudut ekopelancongan dan geopelancongan.

Menurutnya, dalam ekspedisi itu, mereka menemui pokok bersaiz ‘gergasi’ serta haiwan liar dan tapak kaki seperti gajah pigmi, landak, kijang dan harimau kumbang.

“Tiada aktiviti pembalakan di hutan ini menyebabkan saiz pokok di sini sangat luar biasa besarnya,” katanya.

Mengulas mengenai pendakian, katanya,laluan ke puncak Gunung Maria dirintis oleh mereka.

“Kami buka laluan mendaki dari puncak Lucia ke puncak Maria. Laluan ke puncak Lucia sudah dibuka kepada pendaki pada 2008, tetapi tidak ramai yang tahu mengenainya,” katanya. Utusan Malaysia Rencana 25 Jun 2016 6:12 PM


Negara Miliki Gunung Berapi PraSejarah

UMUM mengetahui Malaysia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik. Fakta itu jelas menunjukkan tidak wujud gunung berapi aktif di negara ini.

Aktiviti seismik yang dikaitkan itu adalah beberapa siri kejadian gempa bumi di beberapa kawasan di Malaysia, antaranya di Pahang, Kedah dan Sabah.


Namun sejak kebelakangan ini, ada blogger dan netizen mencetuskan pendapat mengatakan Malaysia berisiko diancam bencana letusan gunung berapi. Dikatakan akan muncul gunung berapi di Pahang dan Sabah. Ancaman itu dipercayai boleh berlaku berdasarkan fakta terdapat gunung berapi prasejarah di kedua-dua negeri tersebut. Gunung berapi itu dikatakan wujud berjuta tahun lampau dan statusnya boleh bertukar kepada aktif disebabkan faktor aktiviti seismik di dalam perut muka bumi yang berlaku sekarang di negara ini. -

Selain itu, ada pihak mempercayai beberapa kawasan pergunungan seperti Gunung Tahan dan Gunung Kinabalu mampu meledakkan lahar gunung berapinya semula, selepas mati berjuta tahun lalu ekoran perubahan geologi bumi.

Benarkah tanggapan itu? Bagi menjawab persoalan tersebut, S2 mendapatkan pandangan pakar geologi dari Jabatan Geologi Universiti Malaya, Prof. Dr. Mustaffa Kamal Shuib bagi merungkai bagaimana sejarah gunung berapi dikaitkan dengan Malaysia.

Menurutnya, memang benar terdapat beberapa kawasan di Malaysia pernah mempunyai gunung berapi tetapi letusan itu berlaku ratusan juta tahun lalu. Justeru, apa yang tinggal hari ini adalah sisa gunung berapi yang telah lama mati.

Katanya, lokasi gunung berapi paling muda dan terakhir pernah meletus di negara ini dipercayai terletak di Kuantan, Pahang.

“Sehingga hari ini, terdapat kesan batuan volkanik jenis basalt di pantai Batu Hitam, Kuantan, manakala punca kawah yang meletuskan lahar pula dipercayai terletak berdekatan pesisir pantai yang kini dikenali sebagai Damansara Kuantan,” katanya.

Beliau berkata, proses hakisan dan enapan yang memakan masa jutaan tahun menyebabkan kawah gunung berapi itu tidak lagi kelihatan.

Katanya, selain Kuantan, lokasi lain seperti Segamat (Johor), Gerik (Perak) dan Gua Musang (Kelantan) juga mempunyai batuan volkanik yang dipercayai hasil daripada letusan gunung berapi di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, Mustaffa Kamal berkata, dakwaan blogger dan netizen mengenai kejadian gempa bumi di Malaysia sejak akhir-akhir ini mampu mengaktifkan semula gunung berapi purba adalah tidak berasas, terutama di Gunung Tahan dan Kinabalu.

“Gunung Tahan dan Kinabalu adalah gunung yang terbentuk daripada proses enapan dan batuan plutonik yang terhasil daripada proses pergerakan magma yang membeku dan tidak sempat mengalir keluar ke permukaan bumi melalui lohong gunung berapi,” katanya.

Sementara itu, katanya, sejak 1997, kejadian gempa bumi di negara ini berlaku akibat gegaran yang tercetus di Lingkaran Api Pasifik.

Terbaharu gempa bumi berukuran 6.0 Skala Ritcher pada 5 Jun 2015 di Sabah mengorbankan 19 orang.

“Untuk makluman, Semenanjung berada di atas kerak bumi yang dinamakan Plat Sunda. Plat ini dihimpit Plat Indo-Australia di sebelah selatan pada kadar tujuh sentimeter setahun.

“Sementara itu, Plat Filipina-Pasifik pula menghimpit Sabah dan Sarawak pada kadar 10 sentimeter setahun,” katanya.

Namun katanya, plat yang menjunam ke bawah Plat Sunda tidak sampai tahap boleh menghasilkan letusan gunung berapi.

Latest Month

January 2019
S M T W T F S
  12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow