kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tahan, Kinabalu bukan gunung berapi , Gunung berapi terbaharu di Johor?

Gunung berapi terbaharu di Johor?

SATU lagi lokasi dipercayai bekas gunung berapi purba ditemukan di Teluk Ramunia, Pengerang, Johor baru-baru ini.

Batuan volkanik jenis ‘ignimbrite’ berusia 238 juta tahun itu ditemui di satu lokasi di situ yang dipercayai bekas lohong atau kawah gunung berapi suatu masa dahulu.



TELUK RAMUNIA di Pengerang, Johor merupakan kawasan gunung berapi kira-kira 200 juta tahun lampau. – SUMBER HTT P://MERAHSILU.BLOGSPOT.COM

Perkara itu disahkan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Alam Sekitar dan Sumber Asli, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Rozi Umor yang berkata, penemuan oleh salah seorang pelajar program ijazah sarjana yang diselianya pada 2014 menunjukkan ada aktiviti aliran magma sehingga ke permukaan bumi di Semenanjung Malaysia suatu masa dahulu.

“Batuan volkanik jenis ignimbrite ini mempunyai ciri-ciri yang tersusun rapi jika dilihat secara mikroskopik. Ia adalah batuan yang terbentuk oleh aliran lahar di lohong. Jadi, kemungkinan ada lohong gunung berapi di situ,” katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Katanya, batuan volkanik jenis itu juga adalah sama seperti yang dijumpai di Kampung Awah, Temerloh di Pahang dan Temangan, Jeli di Kelantan.

Penemuan batuan volkanik jenis itu menunjukkan kira-kira 300 juta tahun lalu, Semenanjung Malaysia aktif dengan aktiviti gunung berapi, namun kini kesemuanya sudah mati atau dorman.

“Disebabkan proses hakisan, kesemua lohong atau kawah itu sudah tidak dapat dikenal pasti lagi,” katanya.

Selain itu, terdapat penemuan batuan volkanik jenis piroklastik dan basalt serta jenis debuan ditemui di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dalam kajian dijalankan oleh Mohd. Rozi.

“Contohnya, semasa mengkaji batuan di Gunung Benom, Pahang, saya dapati terdapat batuan volkanik yang berusia 200 juta tahun di situ,” ujarnya.


Tahan, Kinabalu bukan gunung berapi

Benarkah Gunung Tahan dan Kinabalu mampu meletuskan lahar gunung berapi pada suatu masa nanti?

Persoalan itu penulis ajukan kepada Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Alam Sekitar dan Sumber Asli, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Rozi Umor (gambar) yang menyatakan dakwaan itu sama sekali tidak benar memandangkan kedua-dua gunung itu bukanlah berasal daripada kejadian gunung berapi purba.



Gunung Kinabalu bukan terjadi akibat letusan gunung berapi.

Tambah pensyarah yang pakar dalam kajian jenis batuan itu, Gunung Tahan merupakan gunung yang mengandungi batuan sedimen dan bukan jenis volkanik ataupun igneous.

Justeru, tidak mungkin akan berlaku letusan gunung berapi di kawasan itu.

“Kira-kira 300 juta tahun lampau, Semenanjung Malaysia merupakan lautan. Batuan sedimen di bawah lautan yang terenap lama-kelamaan menjadi lapisan dan terangkat apabila berlaku pelanggaran tektonik, sekali gus membentuk Gunung Tahan,” katanya.

Sementara itu, Gunung Kinabalu pula merupakan gunung batuan granit yang masih muda, berusia kira-kira tujuh juta tahun. Gunung itu terbentuk apabila magma di dalam perut bumi membeku sebelum sempat meletus sebagai lahar gunung berapi.

“Magma yang telah beku itu kemudian diangkat naik oleh magma panas di bawahnya,” katanya.

-
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments