kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kemelut politik '4M'

Saya sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya, perasaan apabila melihat bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri." Itulah suara hati bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia pada 23 September 2012. Catatan ini mendapat perhatian ramai dan menyentuh hati banyak pihak, tetapi kini catatan ini jugalah memungkinkan orang bertanya kepada siapa sebenarnya catatan itu ditujukan.

Ketika dan saat ini, Dr. Mahathir sedang dikritik hebat kerana sanggup bersekongkol dengan DAP dan PAN semata-mata mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Dr. Mahathir lupa bahaya yang menanti bangsanya akibat keghairahan menjalin hubungan politik dengan kedua-dua parti tersebut. Sebelum ini, Dr. Mahathir berada sepentas dengan pemimpin-pemimpin pembangkang bagi melancarkan apa yang dinamakan Deklarasi Rakyat. Turut bersama beliau ialah Timbalan Presiden UMNO yang digantung tugas, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Tindak-tanduk Dr. Mahathir sebenarnya meletakkan orang Melayu dan UMNO dalam bahaya. Bekas Perdana Menteri itu terlupa melalui catatan yang sama, beliau ada mencoretkan: "Oleh sebab lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka.’’

Pada awalnya, gerakan yang diatur oleh Dr. Mahathir bagi membangkitkan perasaan benci rakyat kepada kerajaan di bawah kepemimpinan Najib nampak sedikit menggerunkan apatah lagi ia turut mendapat sokongan Muhyiddin dan Mukhriz yang agak lantang mengkritik Perdana Menteri. Turut memberi sokongan secara samar-samar ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. Berikutan itu wujud apa yang dipanggil 'gerakan politik 4M’ iaitu Mahathir, Muhyiddin, Mukhriz dan Mohd. Shafie.

Pakatan pembangkang bersyukur dengan apa yang berlaku dalam UMNO kerana mereka tidak perlu bersusah payah menyerang kerajaan dan parti itu kerana 'gerakan politik 4M’ akan berbuat demikian.

Bahaya menanti

Berbanding Mohd. Shafie yang agak berlapik dan dikatakan semakin memperlahankan penentangannya, Muhyiddin dan Mukhriz terus lantang. Mungkin juga mereka begitu yakin gerakan Dr. Mahathir akan membuahkan hasil. Tetapi keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun lalu membuktikan sebaliknya. BN bukan sahaja menang malah mencapai majoriti besar ketika Dr. Mahathir menguar-uarkan bersama pembangkang mahu rakyat menjadikan ia referendum menolak Najib.

Kejayaan itu memberikan tamparan hebat kepada Dr. Mahathir yang dianggap oleh Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sudah tercabut taringnya dalam meraih sokongan rakyat. Pada masa yang sama, dua tokoh iaitu Mursyidul Am Pas Datuk Dr. Haron Din dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad turut memberi peringatan secara terbuka kepada Dr. Mahathir mengenai bahaya yang menanti orang Melayu jika bekas Perdana Menteri itu bersekongkol dengan DAP dan PAN.

Sememangnya dalam perbualan penulis dengan beberapa pemerhati politik, orang perseorangan termasuk golongan yang dianggap pengundi atas pagar, mereka menentang keras tindakan Dr. Mahathir bekerjasama dengan DAP dan paling menyakitkan mata melihat bagaimana beliau sanggup menjulang tangan pemimpin-pemimpin parti itu semata-mata mahu melaksanakan agendanya menjatuhkan Perdana Menteri.

Dalam berhadapan pakatan terbaharu melibatkan Dr. Mahathir, Lim Kit Siang, DAP, PKR dan PAN, UMNO tidak ada pilihan selain memastikan parti itu tidak memiliki mana-mana pemimpin yang bersikap ibarat 'duri dalam daging’ dan 'gunting dalam lipatan’. Berikutan itu kelmarin, mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MT) membuat keputusan sebulat suara memecat dua pemimpin kanan parti yang dianggap rakan seperjuangan Dr. Mahathir iaitu Muhyiddin dan Mukhriz.

Muhyiddin bukanlah Timbalan Presiden UMNO yang pertama dipecat daripada UMNO. Pada tahun 1998, Dr. Mahathir mempengerusikan mesyuarat MT bagi memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan masalah moral. Ketika itu Anwar dan penyokong-penyokongnya mendakwa beliau teraniaya dan dipecat semata-mata mahu menegakkan kebenaran terutama kononnya berlaku amalan Korupsi, Koronisme dan Nepotisme (KKN) dalam pentadbiran Dr. Mahathir.

Muhyiddin tidak perlu berasa kecewa atau kesal, sebaliknya memahami itulah harga yang perlu dibayar apabila dilihat terlalu ghairah mahu bersekongkol dan senada dengan Dr. Mahathir kononnya atas nama kebenaran. Pemecatan itu bukanlah bermaksud UMNO tidak boleh menerima teguran dan kritikan sebaliknya disebabkan kesediaan Muhyiddin berada bersama-sama pemimpin pembangkang bagi memburuk-burukkan kerajaan.

Perlu difahami tidak ada mana-mana pun parti di negara ini akan membiarkan pemimpin mereka mempunyai pandangan atau mengkritik kepemimpin parti secara terbuka. Perbuatan itu jika dibiarkan boleh mendatangkan kemudaratan kepada parti. Begitulah juga UMNO. Dalam keadaan pelbagai isu yang dibangkitkan oleh '4M’ diperjelaskan satu persatu, namun mereka tetap tidak mahu menerimanya.

Bagi Mukhriz pula, pemecatan daripada UMNO perlu dijadikan pengajaran. Sebagai orang yang boleh dianggap setahun jagung dalam arena politik, ikutlah naluri dan kehendak sendiri dalam mengatur gerakan politik bukannya dilihat mengikut rentak orang lain.

Sama ada suka atau tidak, penulis mengakui Mukhriz sebenarnya adalah pemimpin masa depan Kedah, tetapi malangnya beliau melakukan percaturan politik yang salah. Akhirnya, beliau kehilangan jawatan Menteri Besar negeri itu dan kini dipecat daripada UMNO. Cita-cita Mukhriz untuk terus berada 'satu kelab’ dengan Najib dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai anak bekas Perdana Menteri berjuang dalam UMNO kini terbantut.

Bagi Mohd. Shafie pula, penggantungan sebagai ahli UMNO perlu dijadikan pengajaran supaya sentiasa patuh dengan kehendak parti. Janganlah membuat kenyataan mengelirukan apabila di hadapan rakyat menyokong parti itu tetapi pada masa lain membuat kenyataan dilihat bertentangan dengan pucuk pimpinan parti.

Apa pun diharapkan 'gerakan politik 4M’ tidak berterusan mahu memusuhi UMNO kerana ia akan turut mendatangkan kemudaratan kepada orang Melayu. Semoga Dr. Mahathir tidak akan lupa para terakhir catatan beliau;

"Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri.’’ - Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Rencana 26 Jun 2016 6:00 PM

Tags: politik
Subscribe

Posts from This Journal “politik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments