kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bangunkan tanah rizab melayu

MUKADIMAH: PADA 2010, bilangan penduduk Melayu di Kuala Lumpur ialah sebanyak 644,406 dan bumiputera lain 16,597 (jumlah bumiputera 661,003), Cina - 621,805, India (148,300), kaum-kaum lain (9,050) dan bukan warganegara Malaysia (148,592).

Antara faktor yang membolehkan orang Melayu menjadi penduduk majoriti di Kuala Lumpur pada masa itu ialah dasar-dasar perumahan dan pembangunan setinggan serta kampung Melayu yang dilaksanakan oleh kerajaan khususnya menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Pembinaan banyak rumah flat yang murah membolehkan orang Melayu memiliki hartanah di Kuala Lumpur, sekali gus meramaikan bilangan mereka.
 Namun, kepesatan pembangunan di Kuala Lumpur menyaksikan syarikat pemaju perumahan berlumba-lumba membina kondominium yang harganya antara RM700,000 hingga jutaan ringgit. Tidak ada lagi rumah yang dijual pada harga yang mampu dibeli oleh orang kebanyakan, terutamanya orang Melayu.
 Kenaikan harga rumah turut mendorong sebahagian orang Melayu yang sudah memiliki rumah di Kuala Lumpur menjual hartanah mereka untuk meraih keuntungan. Kerancakan pembangunan di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lalu itu sudah tentu telah mengubah demografi penduduk. Barangkali sekarang, orang Melayu bukan lagi penduduk majoriti di ibu kota.
 Isu ini turut disentuh dalam perbincangan meja bulat tentang masalah Tanah Rizab Melayu dianjurkan Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Desa Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
 Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, DATUK SERI RUSLIN HASAN; bekas Ketua Polis Negara, TUN MOHAMMED HANIF OMAR; Setiausaha Agung MPM, DATUK DR. HASAN MAD dan usahawan Melayu, CHE IBRAHIM CHE IDRIS antara yang terlibat dalam perbincangan yang turut disertai wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI, ABDUL AZIZ ITAR, NIZAM YATIM, SAFINA RAMLI dan NURUL ANUAR KARI.

MINGGUAN: Boleh Datuk Seri kongsikan pengalaman membangunkan orang Melayu serta kampung Melayu di Kuala Lumpur semasa berkhidmat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)?

RUSLIN: Ini satu isu paling dekat dengan saya. Saya telah bertugas di DBKL selepas peristiwa 13 Mei 1969. Pada waktu itu, kumpulan kita termasuk (bekas Ketua Pengarah DBKL) Datuk Dr. Noordin Razak, adalah perintis yang sebenarnya merangka bagaimana cara untuk memperhebat orang Melayu sama ada dalam bidang ekonomi, sosial, perumahan dan pembangunan kampung-kampung Melayu.

Di Wilayah Persekutuan, kita ada banyak kampung Melayu yang merupakan Tanah Rizab Melayu sebenarnya. Saya rasa mungkin tidak kurang daripada 10 (kampung Melayu).

Antaranya di Gombak, Padang Balang dan Segambut. Ada juga kampung Melayu tetapi bukan berstatus Tanah Rizab Melayu. Macam Kampung Malaysia Tambahan.

Pada waktu itu, kita sudah wujudkan satu kerangka dalam organisasi. Kita panggil satu jabatan khas iaitu Jabatan Penyelesaian Projek.

Itu strategi kita untuk perhebatkan kedudukan orang Melayu dalam bidang-bidang yang saya sebut tadi. Alhamdulillah, di bawah Tan Sri Yaacob Latiff dan Tan Sri Dr. Elyas Omar, kita telah berjaya.

Malah tempat ini (Desa Pandan), kita telah tutup lombong paling dalam dan kita pindahkan lebih kurang 5,000 keluarga.

Ketua kita cuma Perdana Menteri. Secara jujur saya cakap, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah memberikan segala-galanya dalam pembangunan di Kuala Lumpur. Kami ada di sana lebih 20 tahun bersama dengan beliau.

Berapa banyak keluarga Melayu yang telah berjaya dipindahkan oleh DBKL pada masa itu?

RUSLIN: Daripada pembangunan setinggan, kita telah memindahkan lebih kurang 300,000 keluarga. Dahulu kita ada lebih kurang 250 kampung Melayu yang terlibat dengan setinggan. Sekarang ini sudah tidak banyak. Boleh dikatakan tidak ada kerana semuanya telah dipindahkan.

Pemindahan itu dibuat kerana dasar pada waktu itu ialah keperluan rumah dan pendidikan. Selepas itu, masyarakat berkembang.

Sejauh mana kejayaan polisi tersebut masih dapat dilihat sekarang?

RUSLIN: Pada 1980-an, kita telah mengambil 4,000 ekar (1,618 hektar). Kita ambil 1,000 ekar (404.6 hektar) di Bandar Tun Razak, 1,000 ekar di Pantai Dalam, 1,000 ekar di Wangsa Maju dan 1,000 ekar di Bukit Kiara.

Di Bandar Tun Razak, kita buat rumah. Di Pantai Dalam pun, kita rancang buat rumah untuk memperbanyak orang Melayu di bandar, perniagaan dan sebagainya. Begitu juga dengan di Wangsa Maju.

Tetapi apabila masa beredar, tempat yang sepatutnya ada Melayu sekurang-kurangnya 80 peratus, telah bertukar. Ada yang jadi 50 peratus dan pada satu masa, 30 peratus (unit kediaman) boleh dijual kepada orang Melayu dan 70 peratus kepada bukan Melayu pasal hendakkan duit.

Bagaimana kawasan yang dahulunya ada 80 peratus orang Melayu, demografinya boleh berubah begitu mendadak sekarang?

RUSLIN: Dahulu kita ada persefahaman dengan pejabat tanah. Semua tanah kerajaan di Kuala Lumpur, apabila hendak mohon, Datuk Bandar pun kena mohon. Hendak buat perumahan, kita pindah. Untuk tempatkan penjaja, kita minta.

Kemudian barulah Datuk Bandar boleh menguruskan sama ada hendak buat rumah atau sebagainya. Tetapi malangnya tanah yang kita dapat ini, dahulu tidak boleh jual, tetapi sekarang boleh jual pula.

Dahulu, kita tidak boleh jual sebab undang-undang. Sekarang boleh jual kepada syarikat pula. Dahulu mesti dapatkan kebenaran daripada Perdana Menteri tetapi sekarang ini tidak ada, boleh jual begitu sahaja. Mana boleh begitu. Tanah-tanah yang kita sudah dapat ini, kalau rujuk undang-undang, tidak boleh dijual melainkan tanah yang telah dibangunkan.

Maknanya, kita sudah buat rumah dan sebagainya, barulah boleh dijual rumah itu. Saya rasa setiap negeri ada masalah sendiri. Di Wilayah Persekutuan lain pula, bidang kuasa berkaitan tanah bukan di bawah Datuk Bandar tetapi di bawah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

Pejabat tanah dan galian ini pula di bawah Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan. Bidang kuasa tanah di Wilayah Persekutuan ini di bawah Perdana Menteri, dan selepas itu diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, dan kemudian diberikan kepada Menteri Wilayah Persekutuan. Di situlah yang mulanya yang berbagai-bagai (masalah).

Apakah orang Melayu perlu bimbang dengan trend yang berlaku sekarang? Selain faktor harga rumah yang mahal, bukankah orang Melayu sendiri yang menjual hartanah mereka di Kuala Lumpur kepada bukan Melayu kerana mahukan keuntungan?

RUSLIN: Memang kita takut dengan keadaan yang berlaku sekarang. Saya tinggal di Selangor. Saya sendiri berasa takut. Di Kelana Jaya, yang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) buat, saya duduk di situ dahulu, saya rasa banyak orang Melayu.

Tetapi sekarang banyak dibeli oleh orang bukan Melayu secara tunai. Tidak tahu macam mana boleh tukar (hak milik). Mungkin exco kerajaan negeri luluskan. Semua boleh. Di Bangsar, tanah di situ bukan Tanah Rizab Melayu. Itu tanah pegangan bebas tetapi kita peruntukkan kepada orang Melayu.

Orang-orang yang macam ini (pemilik tanah) terutama penjawat awam, mereka hendak duit banyak dan mahu melancong.

Jadi, mereka jual lot banglo pada harga RM5 juta. Yang beli ini bukan orang kita. Jadi, jangan kita lupa, apa yang kita ada ini pun kita hilang.

Dalam hendak memperjuang orang Melayu, membangunkan Tanah Rizab Melayu itu satu hal, tetapi tanah yang ada jangan kita lepaskan. Kalau kita tengok di Damansara, dahulu banyak rumah yang asalnya dimiliki orang Melayu telah dijual kepada bukan Melayu.

Banyak pihak mencadangkan supaya Tanah Rizab Melayu yang terbiar, dibangunkan untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada orang Melayu di bandar. Apa pandangan Datuk Seri apabila melihat perkara ini?

RUSLIN: Bagi membangunkan Tanah Rizab Melayu, saya rasa adalah lebih baik kita wujudkan segera satu badan yang mempunyai entiti perundangan. Selain itu, kita ada banyak duit, kita ada Baitulmal.

Saya bukan anti masjid, kita sudah ada banyak masjid. Kenapa tidak kita gunakan duit ini untuk buat perkara lain. Ke mana perginya duit zakat ini?

Berbeza dengan kawasan kampung Melayu, kawasan sekitar Kampung Baru Cina membangun dan berkembang menjadi pusat komersial. Kenapa keadaan itu tidak berlaku di kampung-kampung Melayu?

CHE IBRAHIM: Saya hendak imbau sedikit dari segi sejarah. Macam mana Singapura boleh wujud di Malay Archipelago (Kepulauan Melayu). Di negara Melayu ada negeri Cina. Kita ingat kesan kerugiannya hanya dari segi politik tetapi juga ekonomi.

Kalau tidak, Kuala Lumpur akan jadi pusat kewangan terbesar. Ekonomi yang meremang-remang di sana sudah di tangan kita. Jadi, mari belajar daripada sejarah. Kalau Singapura tidak merdeka, Kuala Lumpur sudah tentu akan menjadi begitu maju dan besar, bukannya Singapura.

Apa yang berlaku kepada Singapura dan Malaysia, berlaku kepada Tanah Rizab Melayu. Saya hendak beri contoh tentang sejarah betapa kasihannya orang Melayu.

Saya ada beli tanah. Yang jual tanah itu cucu dia (pemilik) dan dia sudah berusia 70 hingga 80 tahun. Bayangkan orang yang tunggu begitu lama selepas merdeka, tidak ada orang datang dan bangunkan tanah mereka.

Oleh itu kita tahu apa yang berlaku sekarang. Kalau kita pergi ke Sungai Penchala sekarang, hendak cari satu kedai binaan batu, tidak ada. Tetapi di kelilingnya telah timbul konkrit di kawasan bukit di Penchala itu, kalau kita duduk dalam, tinggal separuh sahaja.

Pengajaran daripada cerita itu ialah kalau kita tidak datang untuk membangun Tanah Rizab Melayu, kawasan itu tidak akan membangun.

Kenapa pembangunan Kuala Lumpur sekarang tidak lagi mengambil kira faktor demografi orang Melayu seperti sebelum ini?

HASAN: Trend di Kuala Lumpur sekarang sudah tidak sama macam dahulu. Apa yang diceritakan oleh Ruslin itu ialah semangat dan konsep Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang ada pada pegawai-pegawai kerajaan dahulu.

Tetapi sekarang, saya pun tidak tahu di mana silapnya.

Tanah kerajaan milik Kementerian Kewangan seluas 19 ekar (7.6 hektar) berhampiran Jalan Semantan dan Jalan Duta hendak dijual secara tender terbuka.

Kami pun sudah berjumpa bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, beliau beritahu sekarang semua tanah milik kerajaan di Kuala Lumpur dibangunkan secara tender terbuka.

Kita sudah banyak kali beritahu kerajaan bahawa ia tidak membantu dari segi faktor demografi.

Bagaimana Tun melihat signifikan untuk ramai orang Melayu berada di Kuala Lumpur?

MOHAMMED Hanif: DBKL membangunkan Bandar Tun Razak, Wangsa Maju dan Pantai Dalam pasal ada tujuan iaitu untuk meramaikan orang Melayu di bandar. Orang Melayu ada 10 peratus sahaja di Kuala Lumpur. Di Ipoh, ada lima peratus sahaja orang Melayu. Jadi, kita hendak ramaikan.

Apabila kita sudah ramai, kita rasa selamat. Dahulu, hendak berjalan pakai kasut kulit di Chow Kit pun takut. Sebab itu kita ramaikan orang Melayu di bandar.

Apabila bawa orang Melayu masuk, mereka hendak makan apa? Semua itu kita kena fikir. Apa kerja hendak diberi. Pada masa itu, kerja kuli semua India dan Cina, tidak ada Melayu pun. Sampai begitu sekali.

Beri mereka lesen teksi. Tetapi kalau hujan tidak dapat pelanggan, tak dapat cari makan macam mana? Buka restoran rakyat. Itu semua kita fikir. Semua rangkaian. - Utusan Malaysia Rencana 26 Jun 2016 6:00 PM

Tags: ekonomi, melayu
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments