kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pindaan mantapkan Mahkamah Syariah

Isu usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016) meninggalkan impak yang sangat besar apabila ia dibentangkan di Parlimen pada 26 Mei lalu. Lebih-lebih lagi apabila ada yang melihatnya sebagai ‘pintu’ yang membuka laluan kepada hukum hudud.

Ramai mendesak diberi pe­nerangan lanjut mengenai RUU ini tetapi dalam masa sama enggan memberi ruang atau membuka minda mendengar penjelasan yang diberikan. Di samping Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki juga tampil menegaskan bahawa RUU Akta 355 ini hanya bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dan bukannya membuka jalan kepada pelaksanaan hukum hudud. Ini lebih berkaitan dengan Mahkamah Syariah.


SUDAH tiba masanya bidang kuasa Mahkamah Syariah diperkasakan supaya lebih luas dan mantap sejajar dengan perkembangan kes-kes membabitkan kesalahan-kesalahan jenayah syariah di negara ini . - GAMBAR HIASAN

Mengapa perlu dipinda? Seperti yang ditegaskan oleh Dr. Asyraf Wajdi, hukuman sedia ada sudah lapuk dan tidak langsung menggerunkan pesalah. Hakikatnya, hukuman sedia ada gagal berfungsi sebagai pengajaran. Jadi, sudah sampai masanya bidang kuasa Mahkamah Syariah diperkasakan supaya lebih luas dan kuat bersesuaian dengan beratnya kes-kes tersebut.

Ini bukan pelaksanaan hukum hudud. Pindaan ini bertujuan menaikkan taraf mahkamah syariah, memperkemaskan hukuman sedia ada dan meminda hukuman agar bersesuaian dengan kesalahan. Keutamaan yang dica­dangkan adalah menaikkan taraf Mahkamah Syariah daripada tiga peringkat kepada lima peringkat sebagaimana Mahkamah Sivil.

Sistem kehakiman ciptaan penjajah yang lebih bersifat menghukum dan mendera perlu dipinda agar wujud sistem kehakiman yang lebih bersifat mendidik dan membimbing.

Salah faham, kurang faham dan tidak faham adalah punca utama pindaan ini ditentang. Oleh itu, pindaan yang diusulkan ini perlu diberi penerangan mendalam kepada orang Islam dan juga bukan Islam.

Penjelasan yang lebih baik sangat penting dalam menerapkan kefahaman. Bukan calang-calang orang yang boleh menerapkan kefahaman mengenai perbezaan pindaan RUU dengan pelak­sanaan hukum hudud. Sepatutnya diberikan masa kepada anggota Parlimen membahaskan dulu isu RUU ini.

Usul pindaan RUU ini dica­dangkan untuk dibahas dan dipinda adalah bagi memperluas dan memperkemaskan bidang kuasa mahkamah syariah berkaitan hukuman zina, qazaf, minum arak dan murtad yang sekarang ini hanya terhad kepada denda RM5,000, penjara tiga tahun dan sebatan enam kali.

Pindaan yang diusulkan diharap dapat menaikkan hukuman ini bersesuaian dengan kekerapan berlakunya jenayah berkenaan pada ketika ini.

Juga sebagai pengajaran kepada pelaku jenayah tersebut. Namun usul pindaan ini dibantah kerana dianggap sebagai pelaksanaan hukum hudud yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Malah, dikhuatiri menjejaskan hubungan antara kaum, agama dan kepercayaan.

Ini adalah kebimbangan yang tidak berasas. Pindaan yang dicadangkan hanya membabitkan orang Islam sahaja. Maka, tidak timbul persoalan mengapa kaum lain harus bimbang. Pindaan ini tidak menyentuh langsung orang bukan Islam kerana ia hanya melibatkan peluasan kuasa-kuasa Mahkamah Syariah di bawah negeri-negeri yang mana ia masih dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Malahan, jika diteliti, ia tidak melangkaui bidang kuasa Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Mengapa perlu bimbang dan takut? Bagaimana pula ia boleh menjejaskan hubungan antara kaum? Peruntukan dalam Jadual Kesembilan Senarai Dua Perlembagaan Persekutuan menegaskan bahawa undang-undang Islam yang dijalankan oleh Mahkamah Syariah dianggap sebagai undang-undang diri (personal law).

Maka tidak timbul soal pencabulan hak terhadap mereka yang menganuti agama lain. Perlembagaan Persekutuan menjelaskan, hanya orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum oleh Mahkamah Syariah. Maka orang bukan Islam tidak boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah kerana Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya untuk orang Islam sahaja.

Bukan sahaja orang bukan Islam tidak terikat dengan Mahkamah Syariah, malahan, pindaan yang diusulkan ini tidak langsung bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak yang kurang memahami prosedur dan intipati undang-undang.

Apakah asas yang mendakwa pindaan RUU ini adalah pintu yang membuka laluan kepada pelaksanaan hukum hudud? Pindaan ini tiada kaitan langsung dengan pelaksanaan hukum hudud kerana ia tidak melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan sepertimana yang diperlukan bagi pelaksanaan hudud.

Pelaksanaan hudud memerlukan tiga pindaan ke atas beberapa bahagian dalam Perlembagaan, dan bukan dengan hanya meminda RUU. Ini telah dijelaskan oleh Dr. Asyraf Wajdi dalam sesi dialog dan soal jawab beliau dengan pemimpin-pemimpin bukan Islam khususnya MCA dan Gerakan Kelantan di Kota Bharu. Kelantan. Seharusnya penerangan beliau sudah dapat menjelaskan bahawa pindaan RUU bukannya pintu laluan kepada hudud. Penerangan itu sangat jelas bahawa pindaan RUU bukan hudud.

Hudud melibatkan enam jenis kesalahan iaitu empat jenis yang bersifat dosa peribadi seperti zina, qazaf, minum arak dan murtad, manakala dua lagi melibatkan kesalahan jenayah awam seperti mencuri dan merompak.

Empat jenis kesalahan dosa peribadi ini sudah pun ada dalam peruntukan undang-undang ­negeri. Pindaan untuk menambah hukuman ke atas empat jenis kesalahan ini tidak melibatkan bidang kuasa Persekutuan. Maka, sekali lagi pindaan RUU tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kesalahan jenayah mencuri dan merompak yang di bawah bidang kuasa Persekutuan tidak terlibat dalam pindaan RUU ini. Jelas tertera bahawa pindaan RUU hanya melibatkan kesalahan dalam enakmen jenayah negeri. Juga tidak akan berlaku ketidakadilan atau wujudnya dua set perundangan terhadap jenayah rogol atau bunuh kerana kedua-dua jenayah itu terletak di bawah Persekutuan iaitu Kanun Keseksaan atau Akta Kanun Jenayah.

Dilihat dari sudut mana sekali pun pindaan RUU bukannya pelaksanaan hudud dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan. Ia sekadar menaikkan hukuman bagi kesalahan sedia ada dalam enakmen negeri yang sudah tidak sesuai dengan keadaan semasa.

Maka, kita jangan terburu-buru membuat andaian atau persepsi tanpa memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam. Perkara yang tidak diketahui dengan mendalam selalunya menakutkan. Oleh itu, penjelasan kukuh sangat penting supaya pindaan RUU tidak berterusan disalahertikan.

-
Tags: mahkamah, undang-undang
Subscribe

Posts from This Journal “mahkamah” Tag

  • Bicara tanpa fakta

    PROJEK ternakan lembu di bawah Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) menjadi isu hangat ekoran pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada hujung tahun…

  • Pengasingan kuasa antara Persekutuan, negeri

    Asas pembentukan negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menjadikan negara ini sebuah negara yang mempunyai identiti tersendiri.…

  • Konflik pertindihan bidang kuasa

    Konflik pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah sering mendapat perhatian media. Ia merupakan dilema yang dihadapi…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments