?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Kecemerlangan universiti untuk negara

Sejak Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 (PPPM PT) dilancarkan April tahun lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sektor pendidikan tinggi negara diharap dapat melonjakkan lagi pe­ranan dan sumbangannya untuk meningkatkan tahap daya saing negara.

Hal ini boleh dijayakan melalui penghasilan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang, kecemerlangan bakat, penghayatan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menjadi antara fokus utama dalam sepuluh lonjakan PPPM PT.


Universiti Putra Malaysia menduduki ranking ke-49 terbaik di Asia, baru-baru ini. - UTUSAN/ MOHD. NOOR MAT AMIN

Peranan dan sumbangan sektor pendidikan tinggi amat bergantung kepada institusi pembekal pendidikan tinggi khususnya universiti. Kewujudan 20 buah universiti awam dan lebih 500 institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara banyak memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemajuan negara sama ada dalam konteks penyediaan pemimpin masa hadapan, tenaga kerja berkemahiran tinggi, inovasi serta pemindahan ilmu dan kepakaran.

Kita percaya bagi menjayakan peranan ini, universiti perlu berada pada tahap kecemerlangan. Hal ini kerana apabila universiti berada pada tahap cemerlang, ia boleh memberi sumbangan yang lebih besar lagi bermakna. Universiti yang cemerlang mempu­nyai kekuatan untuk menyumbang secara lebih berkesan dan konsisten apabila asasnya telah kukuh. Sebaliknya universiti yang tidak cemerlang atau bersifat mediocre, tidak mampu menyumbang secara lebih berkesan apabila kekuatan mereka terhad dan terbatas.

Kayu ukur kecemerlangan universiti boleh dilihat melalui pelbagai dimensi, antaranya kedudukan dalam ranking dunia. Berdasarkan kepada kedudukan QS Ranking Universiti Asia 2016 yang dikeluarkan baru-baru ini, rata-rata universiti di negara memperlihatkan pencapaian yang lebih baik berbanding tahun lalu.

Dalam konteks Universiti Putra Malaysia (UPM) misalnya, UPM telah meningkat 17 tangga daripada kedudukan 2015. Malah, buat pertama kali, UPM yang berkedudukan ke-49, dikategorikan dalam kelompok 50 buah universiti terbaik Asia, dan kedua terbaik di Malaysia.

Kemunculan beberapa buah universiti lain seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang mula mendaki tangga dalam kedudukan ranking menggambarkan kualiti dan kecemerlangan universiti di negara semakin me­ningkat dan diiktiraf.

Jika dahulu kedudukan ran­king hanya dibatasi atau dikuasai oleh universiti penyelidikan, kini universiti bukan penyelidikan turut berjaya memasuki kelompok universiti yang cemerlang. Pencapaian ini adalah satu perkembangan yang baik untuk sektor pendidikan tinggi negara secara keseluruhan.

Meskipun kedudukan ranking universiti tempatan semakin baik, usaha untuk memperkukuhkan lagi pencapaian mesti diteruskan secara konsisten. Antara tumpuan yang perlu diberi penekanan adalah usaha meningkatkan reputasi akademik, iaitu penilaian universiti oleh ahli akademik universiti antarabangsa yang lain dalam usaha menjadikan universiti bereputasi antarabangsa.

Pada masa sama, jumlah ahli akademik berkelayakan Ijazah Doktor Falsafah atau Ph.D mesti ditingkatkan dari semasa ke semasa. Mulai 2016, bilangan staf akademik dengan Ph.D menjadi indikator baharu yang menyumbang kepada lima peratus daripada jumlah markah keseluruhan.

Dalam membincangkan tentang kualiti dan tahap kecemerlangan universiti tempatan serta pencapaian dalam kedudukan ranking, penulis suka menyentuh tiga perkara dalam memastikan kecemerlangan universiti tempatan lebih bermakna. Pertama, kedudukan ranking tidak wajar menjadi satu sambutan yang melunturkan fungsi universiti sebagai taman ilmu dan pemikiran. Universiti perlu kekal sebagai gedung ilmu yang sentiasa berusaha menggapai ufuk ilmu dan mencari kebenaran.

Kedua, kedudukan ranking perlu dipanjangkan hasilannya untuk kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara. Dalam hal ini, kedudukan ranking yang baik oleh universiti misalnya, perlu dijadikan pemangkin untuk mereka menyumbang kepada masyarakat dengan lebih berkesan dan berimpak tinggi. Malah, universiti awam khususnya yang menerima dana kerajaan dan wang rakyat, perlu menentukan peranan dan sumbangan agar boleh menyumbang kembali kepada negara.

Segala bantuan yang diterima oleh universiti awam dari kerajaan adalah satu pelaburan jangka panjang dan bukan perbelanjaan semata-mata. Justeru, universiti mesti berperanan sebagai pemang­kin kepada pertumbuhan ekonomi negara agar tahap daya saing negara sentiasa dinamik.

Ketiga, kedudukan ranking universiti perlu ditingkatkan bersama-sama dengan pegangan nilai integriti yang tinggi. Seiring dengan konsep Ihsan yang menjadi asas kepada budaya kerja UPM, kecemerlangan universiti mesti dipasakkan dengan nilai integriti.

Perlu diingatkan juga bahawa integriti bukan sahaja melibatkan isu penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan, tetapi termasuk juga pengabaian dalam melaksanakan tanggungjawab, serta pembaziran dalam penggunaan sumber.

Integriti turut meliputi menghargai serta memelihara kepenti­ngan universiti dan pelanggan, tidak mencemarkan nama universiti, dan meletakkan kepentingan universiti melebihi kepentingan diri sendiri. Integriti juga berkait dengan etika, iaitu pegangan moral yang tinggi selari dengan peraturan kerja, nilai masyarakat, dan bu­daya.

Penulis percaya dengan mengambil kira tumpuan kepada ketiga-tiga perkara ini, kualiti, kecemerlangan universiti dan kedudukan ranking akan memberi makna yang luar biasa kepada pembangunan insan dan kemajuan negara. Malah, peningkatan berterusan atau soaring upwards yang sentiasa menjadi kalimah keramat warga Kementerian Pendidikan Tinggi akan dapat menterjemahkan pembangunan dan kemajuan negara dalam erti kata yang sebenar.

Tags:

Posts from This Journal by “universiti” Tag

Latest Month

June 2019
S M T W T F S
      1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30      

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow