kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kontena terpakai kini lebih bernilai, Terkejut Mercedes Benz datang jemput

Terkejut Mercedes Benz datang jemput

"TIDAK disangka, kereta yang ditempah untuk ke Lapangan Terbang KLIA, adalah jenis kereta mewah Mercedes Benz". Itu perasaan penulis tatkala kereta yang ditempah menggunakan perkhidmatan Uber datang menjemputnya untuk ke KLIA.

"Sila naik dik," demikian tutur pemandu tersebut, Mohamad Azarul Hakim Ibrahim,32, selepas tiba di Shah Alam untuk menjemput penulis.

Sepanjang perjalanan, Mohamad Azarul tidak lekang bercerita mengenai kerja baharu yang dilakukannya itu.

"Saya baharu sahaja mendaftar sebagai pemandu Uber pada 8 Jun lalu, Alhamdulilah setakat hari ini hampir setiap hari sekiranya saya bekerja, saya akan mendapat pelanggan.

"Jadi pemandu ini saya buat secara 'part time' sahaja," ceritanya ramah.

MEMANDU UNTUK ISI MASA

Mohamad Azarul berkata, idea untuk menjadi pemandu Uber adalah bagi mengisi masa selepas kematian isterinya, Allahyarhamah Nurul Asikin Ibrahim pada Jun lalu.

"Adik saya yang beri idea ini katanya, dengan kerja ini saya boleh jumpa ramai orang, boleh bersembang-sembang dengan mereka.

"Sekurang-kurangnya hilanglah sikit rasa sunyi," ujarnya lagi.

PULANGAN LUMAYAN

Katanya, kerja sebagai pemandu Uber, tidak memberi bebanan kepadanya kerana dia hanya memandu pada waktu yang dia kehendaki.

"Saya akan mula mengambil penumpang sekitar jam tujuh pagi dan pada sebelah petang, maknanya sebelum saya masuk kerja ke pejabat pada jam sembilan pagi dan selepas waktu bekerja saya, ini bermakna masa saya adalah sangat fleksible.

"Dan setakat ini bayaran yang saya dapat juga Alhamdulillah lumayan juga," katanya lagi.

BEKERJA SEBAGAI JURUTERA PERISIAN

Katanya, ramai pelanggan yang menempah perkhidmatannya terkejut buat pertama kali melihat dia memandu kereta mewah untuk membawa mereka.

"Sebelum ini saya banyak buat kerja di luar negara, kerana saya diperlukan untuk membuat beberapa projek," tambahnya.

TERSELAMAT DARIPADA PENERBANGAN MH17

Dalam rancak bersembang, Mohamad Azarul turut menceritakan bahawa dirinya bernasib baik kerana terselamat dari nahas pesawat MH17 pada Julai 2014.

"Sepatutnya penerbangan saya singgah di Amsterdam menaiki pesawat MH17, sebaliknya dek kerana saya tergesa-gesa hendak balik berbuka puasa dengan keluarga saya tukar tiket, transit London, London ke Kuala Lumpur dari Findland, saya sampai KL hari khamis pukul tiga petang daripada jadual asal yang sepatutnya saya sampai jumaat.

"Sampai KL terus saya ke Kerinchi rumah keluarga berbuka puasa dengan keluarga, selepas berbuka puasa saya pergi 'shopping' dan sampai rumah pukul 11 malam, dan tiba-tiba kawan saya telefon , sebab saya bagitahu dia saya nak balik jumaat, dan saya tidak maklumkan bahawa saya sudah balik awal, lepas itu dia tanya saya, dah sampai ke ? "Owh ko, masih hidup lagilah ya".

"Saya terkejut dan tanya kenapa ? dia kata pesawat daripada Amsterdam kena tembak, saya cakap ok, sebab tidak terfikir lagi waktu itu, selepas beberapa lama baru saya terfikir eh! pesawat ini macam pesawat yang sepatutnya aku naik ini, tengok berita, saya tengok balik MH17, oh ini tiket saya ini, itu yang terus saya maklumkan kepada kenalan, dapat tahu rasa macam nak pitam.

"Alhamdulillah ALLAH masih panjangkan umur saya," katanya.

APA ITU UBER:

Uber adalah satu App yang boleh didapati di platform IOS ataupun Android. Konsep Uber adalah seperti teksi di Malaysia.

Uber berfungsi sebagai perantara dengan "Rider" dan "Driver", di mana Rider adalah penumpang dan Driver adalah pemandu untuk pergi ke satu destinasi.

Penumpang perlulah mengisikan infomasi kad kredit mereka ke dalam aplikasi Uber di mana bayaran akan di tolak secara automatik dari kad kredit pengguna sebelum meminta servis dari pemandu Uber.

Pemandu hanyalah perlu mengambil penumpang dari lokasi terdekat kepada lokasi yang hendak dituju.

Selepas menaiki Uber, pemandu dan penumpang boleh memberi markah kepada sesama sendiri.

Mendapat markah yang lemah berpanjangan akan menyebabkan seseorang pemandu Uber diberhentikan perkhidmatan mereka.

Kontena terpakai kini lebih bernilai

PEMBINAAN rumah, inap desa, salun, kafe, pejabat berasaskan kontena yang semakin menjadi trend ketika ini telah membuka peluang yang luas kepada dua usahawan yang menjalankan perniagaan menjual kontena terpakai untuk melibatkan diri secara lebih serius.

Bagi mereka, walaupun kontena yang dijual merupakan kontena terpakai namun ramai yang masih tidak tahu, ia boleh diubah suai dan kembali bernilai sehingga boleh dijadikan seakan sama dengan rumah, salun atau kafe yang sebenar.

Muhammad Amin Luqman, 27, yang berasal dari Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor mula berkecimpung dalam dunia perniagaan kontena dan kabin hasil dorongan bapa saudaranya yang menjalankan perniagaan logistik.

"Bermula dengan membantu pakcik, saya menguruskan perniagaan logistiknya yang sememangnya menggunakan kontena untuk membawa barang dan sebagainya, dari situ saya terfikir lebih baik jika cabangnya diluaskan dengan menjual semula kontena terpakai ini daripada dibiarkan berlambak di pelabuhan dan dikenakan caj.
 

"Kalau ikutkan apa yang saya belajar di Universiti Teknolgi MARA dalam bidang Pengurusan Sistem Pejabat agak lari daripada apa yang sedang saya lakukan ketika ini, namun ia bukanlah penghalang untuk saya membina karier saya dan menjana pendapatan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai perniagaan yang dijalankan lebih setahun lepas, Muhammad Amin berkata kontena yang dijualnya mempunyai pelbagai saiz dan spesifikasi dengan rata-ratanya berusia 10 tahun ke atas dan tidak lagi dibenarkan berada di atas kapal untuk mengangkut barang.

"Untuk kontena biasa ada tiga saiz iaitu 20 kaki, 40 kaki dengan ketinggian lapan kaki enam dan 40 kaki dengan ketinggian sembilan kaki enam. Bagi kontena Freezer ada dua saiz iaitu 20 kaki dan 40 kaki. Selain itu, saya juga ada jual kabin baharu jenis keupayaan ringan dengan saiz 20 kaki, 30 kaki dan 40 kaki.

"Harga sesebuah kontena bergantung kepada spesifikasi yang diminta pelanggan, sebagai contoh, kalau pelanggan mahu berpintu, tingkap termasuk siap dipasang dengan fiber untuk mengelakkan panas dan sebagainya... tetapi untuk kontena asas harga bermula daripada RM3,900. Bagi kabin pula harga bermula daripada RM3,800," katanya.

Kebanyakan pelanggannya terdiri daripada syarikat dan individu yang ingin menjalankan perniagaan inap desa.

"Kalau syarikat, biasanya lebih cenderung membeli kabin untuk dijadikan pejabat sementara di tapak pembinaan termasuk rumah sementara bagi pekerja buruh mereka.

Bagi mereka yang menjalankan perniagaan inap desa pula, mereka lebih cenderung membeli kontena kerana ia lebih tahan lama di samping untuk menjamin keselesaan pelanggan.

Mengenai permintaan, Muhammad Amin berkata sebanyak 15 kontena boleh dijual dalam tempoh sebulan dan  20 buah bagi kabin, manakala bagi kos penghantaran, caj dikenakan sebanyak RM500 bagi Lembah Klang dan bagi negeri lain seperti Negeri Sembilan, Johor dan sebagainya harga berbeza-beza mengikut jarak lokasi.

"Tempoh penghantaran pula selalunya kalau pelanggan membuat tempahan hari ini, esoknya kita akan pastikan ia telah siap untuk dibuat penghantaran kerana stok kontena kita sentiasa ada," katanya.

Muhammad berkata melihat ‘suasana’ positif terhadap permintaan kontena hari ini, ia sekali gus membakar semangatnya untuk terus mengembangkan cabang perniagaan itu.

"Ada ramai juga pelanggan individu yang telefon dan bertanya sama ada saya mempunyai bentuk rekaan rumah dan sebagainya yang mana ia memberi saya idea untuk mempakejkan perniagaan ini kelak dari A hingga Z iaitu dari peringkat rekaan, caj, kimpal, diubah suai sehingga peringkat penyiapan. Tetapi ini semua
saya kena dalami lagi sebelum ia dimulakan,” katanya.

Sementara itu, bagi Dzulkarnain Mohd Jasmi , 30, pula yang menjalankan perniagaan kontena yang ditempah khas daripada peringkat membekalkan kontena, membuat rekaan, memotong, mengimpal, mengecat dan turut menyediakan penghantaran, bermula apabila idea untuk membuat butik kontena tercetus.

"Idea mula tercetus ketika saya berada di Guangzhou, China bersama pengusaha pakaian dari Malaysia yang menyatakan perniagaan mereka sedikit terjejas lalu saya memberikan idea untuk ‘menyegarkan’ perniagaan mereka dengan membuka butik kontena.

"Idea ini juga pada awalnya hanya terlintas di fikiran dan tidak sangka ia dapat dijadikan kenyataan dan kini bukan hanya butik yang saya buat tetapi salun, kafe, pejabat, rumah, ruang pamer dan sebagainya," katanya yang telah menjalankan perniagaan itu sejak setahun lepas.

Katanya proses untuk membuat rekaan kontena dilakukannya dengan membuat lakaran kepada pelanggan sebelum mendapat persetujuan tatapi ada juga pelanggan yang datang dengan rekaan sendiri namun ia akan diteliti untuk melihat sama ada ia boleh dibuat atau sebaliknya.

"Saya ada pasukan pengeluaran saya yang bersama-sama saya dalam perniagaan ini. Kalau rekaan, selalunya saya akan lakar. Bagi pelanggan yang minta lakaran dalam bentuk tiga dimensi (3D) saya akan minta rakan saya untuk lakar dalam bentuk 3D dan serahkan kepada pelanggan," katanya.

Beliau berkata dalam menjalankan perniagaan, cabaran yang dihadapi setiap orang adalah berbeza dan bagi Dzulkarnain cabaran yang dihadapinya ketika ini apabila dia tidak dapat memberikan harga tetap untuk setiap kontena kerana ia bergantung kepada perubahan mata wang asing.

"Kontena ini kontena antarabangsa jadi saya dapatnya juga bukan menggunakan Ringgit kerana itu ia bergantung kepada pasaran mata wang asing,"katanya. - Bernama

Tags: rumah
Subscribe

Posts from This Journal “rumah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments