kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Dilema poligami: Turn raya siapa tahun ini? Lapan tips atasi pasangan lambat bersiap

Lapan tips atasi pasangan lambat bersiap

DALAM keterujaan menyambut kehadiran pagi Syawal yang menjelang, pastinya kita sibuk menyiapkan sajian pagi raya buat keluarga dan sanak saudara yang akan menjengah muka pintu pada bila-bila masa.

Selalunya juga kita tidak menang tangan mengejar dateline pagi raya. Ke hulu ke hilir, ada sahaja yang perlu dilakukan dan disempurnakan pada pagi Aidilfitri.

Daripada urusan menyiapkan sajian raya di dapur hinggalah memastikan pasangan atau anak-anak bersiap tepat pada masa, semuanya berada di tangan kita.

Tahun ini, Sinar Online ingin tampil membantu menyempurnakan pagi raya anda dengan menyediakan tips-tips mudah buat anda, pasangan atau ahli keluarga yang lambat bersiap di pagi raya.

Tips-tips yang diberi bukan sahaja boleh diguna pakai pada Aidilfitri, malah anda juga boleh mempraktikkannya dalam kehidupan seharian anda.

Pastikan si dia cukup rehat

Waktu malam adalah waktu kritikal di mana badan yang penat atau lesu memerlukan rehat yang secukupnya.

Pastikan anda, pasangan, atau anak-anak tidur tepat pada masanya bagi memastikan tubuh badan segar dan bertenaga pada keesokan paginya.

Elakkan berkeras atau memarahi anak-anak atau pasangan hanya kerana mereka tidak mahu tidur kerana bimbang ia akan menjejaskan emosi keluarga dan anda sendiri.

Beri ‘false call time’

Sekiranya kita mahu pasangan dan anak-anak bersiap untuk solat sunat Aidilfitri di pagi raya, pastikan keluarga kita bersiap lebih awal daripada masa yang sepatutnya.

Misalnya, jika kita ingin ke masjid pada jam 8 pagi, pastikan mereka yang lambat bersiap menyiapkan diri sejam atau 30 minit lebih awal daripada masa yang ditetapkan.

Anda juga boleh tetapkan jam penggera atau pusingkan jarum jam lebih awal daripada waktu sebenar. Namun ia mestilah dilakukan tanpa pengetahuan pasangan atau anak-anak.

Jika anda sendiri yang lambat bersiap, pastikan anda mengunci jam penggera sejam lebih awal daripada waktu bangun tidur anda.

Sediakan keperluan si dia

Pastikan segala keperluan seperti baju raya, tudung, anak tudung, pin, minyak rambut, kasut raya, stoking, dan sebagainya tersedia di tempatnya. Ia memudahkan anda, pasangan dan anak-anak untuk bersiap di pagi raya.

Periksa segala persiapan dari segi penampilan di pagi raya sebelum anda tidur supaya anda tidak kalut dan stress di pagi raya.

Jangan berleter

Leteran tidak akan membantu menyelesaikan masalah. Sebaliknya tangani kesulitan yang mendatang dengan cara yang lebih berkesan dan tegas.

Sekiranya pasangan atau anak-anak anda liat untuk mandi, berikan nasihat atau gunakan kaedah reverse psychology supaya si dia atau anak-anak lebih mudah memahami keletihan dan kekalutan anda menangani pagi raya.

Pujuk dengan kata-kata yang lebih lembut agar pasangan atau anak-anak lebih mudah patuh dan tidak memberontak.

Pastikan si dia mandi sebelum anda

“Mandi cepat, lepas ni papa/mama pula nak guna bilik air,”. Mungkin anda boleh jadi orang yang paling lambat bersiap, namun dengan cara ini, anda dapat memastikan pasangan atau anak-anak bersiap seiring dengan anda.

Dengan memastikan mereka menggunakan bilik mandi terlebih dahulu, ia memberikan kelebihan buat anda untuk ‘memaksa’ mereka tidak terlalu lama ‘lepak’ di dalam bilik air.

Ugut

Tak siapa suka ugutan. Bagaimanapun dalam kes ini, mungkin anda perlu gunakan ugutan untuk memastikan pasangan dan keluarga bersiap tepat pada masanya.

Beritahu anak-anak atau pasangan mungkin anda tidak akan memasak makanan kegemaran mereka atau tidak akan membawa mereka ke tempat kesukaan mereka sekiranya mereka sengaja melengahkan masa untuk bersiap.

Bagi yang remaja, mungkin anda boleh menggertak untuk memberikan denda membuat kerja rumah atau merampas gajet pasangan atau anak-anak sekiranya masing-masing masih leka dengan teknologi di tangan.

Berikan life lesson

Bagi yang betul-betul menguji kesabaran anda, tak perlu bagi anda untuk berleter panjang (rujuk tips empat), sebaliknya berikan life lesson atau pengajaran bagi mereka yang tidak menepati masa.

Mungkin anda boleh menyuruh anak-anak atau pasangan yang lambat untuk menyiapkan sarapan atau membantu dengan menyapu lantai, atau membasuh pinggan yang menimbun di sinki sebagai pengajaran buat mereka yang tidak menepati masa.

Merajuklah......

Bila semua tips yang diberi ‘tak makan saman’, maka anda bolehlah merajuk atau mogok dengan si dia atau anak-anak yang lambat bersiap. Tunjukkan sedikit protes, tanda anda tidak suka mereka sengaja bersiap lambat, tetapi jangan melebih-lebih.

Pastikan mesej yang diberi sampai kepada si dia atau anak-anak dan jangan ambil masa terlalu lama untuk merajuk. Yang penting, pastikan mood anda dan keluarga tidak terjejas di pagi raya.



Dilema poligami: Turn raya siapa tahun ini?

BAGI sesetengah lelaki, poligami itu tersangatlah indah dan menyenangkan hati, lebih-lebih lagi bila sang isteri pertama merelakan perkahwinan kedua dan seterusnya.

Bak kata lirik lagu Madu Tiga yang ditulis Ahmad Dhani, seperti dunia ‘ana’ yang punya!

Di sana kata sayang, di sini kata I Love You

Meskipun mudahnya berpoligami bagi lelaki-lelaki di luar sana, tahukah anda setiap kali Aidilfitri menjelang, bukan mudah si suami untuk berlaku adil kepada isteri-isterinya?

Penulis tidak menolak, ada lelaki di luar sana dengan jayanya bijak mengatur ‘strategi’, menyusun perjalanan dan jadual raya setiap tahun bagi mengelak hati isteri-isteri dan anak-anaknya terluka.

Namun juga, masih ada sang suami di luar sana yang terpaksa bergilir secara tahunan, malah terpaksa atau dipaksa beraya di kampung halaman salah seorang daripada isteri mereka.

Titik cerai kalau beraya kampung isteri pertama

Bukan mudah bagi Mohd Halim (bukan nama sebenar) membahagi giliran pulang beraya setiap kali Aidilfitri menyingkap tirai.

Tahun ini merupakan tahun keempat Halim tidak pulang beraya di kampung isteri pertamanya, malah dia juga tidak dibenar pulang untuk beraya di kampung halamannya sendiri.

Menurut Mohd Halim, 47, dia biasanya hanya akan pulang ke kampung halamannya atau kampung isteri pertamanya pada minggu kedua Syawal.

Itu pun menurutnya lagi, kepulangannya tidak lama kerana tuntutan kerja yang membebankan.

“Isteri pertama saya nikahi 23 tahun yang lepas dan kami tidak mempunyai anak. Saya berkahwin dengan isteri kedua pada enam tahun lepas dan kini mempunyai dua orang anak.

“Pada mulanya semuanya baik-baik saja. Isteri kedua tidak tunjuk perangai sehinggalah empat tahun sejak kebelakangan ini,” katanya kepada Sinar Online.

Menurut Mohd Halim, sikap isteri keduanya yang kuat merajuk dan mengamuk menyebabkan dia selalu tersepit antara keluarga sendiri dan keluarga isteri pertama.

Katanya lagi, setiap kali Aidilfitri dan Aidiladha, Mohd  Halim akan ‘berperang’ besar dengan isteri-isterinya.

“Yang (isteri) pertama mahu saya beraya bersama dia dan saudara-maranya, isteri kedua pun  mahukan yang sama.

“Isteri pertama biasanya akan mengalah. Isteri kedua pula akan mengamuk besar setiap kali saya mahu pulang beraya di kampung isteri pertama. Dia bukan hanya mengamuk malah tuntut cerai kalau saya tak ikut kemahuan dia,” luah Mohd Halim.

Ujar Mohd Halim lagi, dia tidak sanggup menceraikan isterinya kerana keduanya telah banyak berkorban untuknya.

“Siapa tak sayang isteri sendiri? Tak kan saya sanggup nak ceraikan isteri yang jaga makan dan minum saya selama ini,” katanya lagi.

Orang lain balik raya di kampung, saya balik raya rumah isteri-isteri

Lain pula kisahnya dengan nasib yang menimpa Abdul Razak (bukan nama sebenar).

Demi bersikap adil terhadap isteri-isterinya, Abdul Razak,55, memilih untuk tidak pulang ke kampung setiap kali Aidilfitri menjelang.

Sebaliknya katanya, dia terpaksa berulang alik ke Bentong-Kuala Lumpur-Klang pada awal pagi Syawal pertama untuk bertemu dan meraikan Aidilfitri bersama isteri-isteri dan anak-anaknya.

“Saya mempunyai tiga isteri dan 13 anak. Saya memang ada buka beberapa kedai makan di Bentong, Kuala Lumpur dan Klang, jadi sudah menjadi kebiasaan bagi saya untuk berulang-alik.

“Biasanya saya akan bertolak ke rumah mereka pada awal Subuh, mengikut giliran yang saya sendiri tetapkan. Tahun ini giliran raya pertama saya di Bentong, jadi saya akan bertolak ke sana seawal jam 5.30 pagi dari Kuala Lumpur untuk sampai ke rumah isteri kedua,” katanya kepada Sinar Online.

Abdul Razak biasanya akan menghabiskan masa tiga hingga empat jam pada giliran pertama sebelum beralih ke rumah isteri yang seterusnya.

Menurutnya lagi, sistem giliran itu mula dipraktikkan dia mengahwini isteri ketiganya pada tiga tahun lepas.

Bagi Abdul Razak, dia tidak mahu melepaskan peluang menyambut ketibaan Syawal bersama isteri-isteri dan anak-anak.

“Saya ada keluarga yang besar. Saya suami kepada tiga wanita dan bapa kepada anak-anak saya. Saya perlu berlaku adil kepada ketiga-tiga isteri.

“Memang setiap tahun pada Aidilfitri saya akan penat, tetapi itulah pengorbanan yang saya perlu lakukan untuk keluarga saya,” katanya lagi.

Setiap kali raya, isteri kedua makan hati

“Setiap kali raya (Aidilfitri) isteri kedua pasti akan menjeruk rasa dan makan hati kerana kami berkahwin secara rahsia,” demikian ujar Arif Azlan (bukan nama sebenar).

Arif, 31, mengakui mengahwini bekas kekasihnya di sempadan dan merahsiakan perkara tersebut daripada keluarganya sendiri dan isteri pertamanya.

Akibat daripada itu, setiap kali Aidilfitri menjelang, si isteri kedua terpaksa berputih mata merayakan pagi Syawal tanpa kehadirannya.

“Perkahwinan pertama saya diatur oleh keluarga, manakala perkahwinan kedua diatur oleh saya dan isteri kedua. Kami berdua berkahwin dua tahun selepas saya berkahwin dengan isteri pertama.

“Kami terpaksa rahsiakan hubungan kerana kedua orang tua saya tidak merestui hubungan kami sejak dahulu lagi. Kini, antara sedar atau tidak, sudah empat tahun isteri kedua merayakan Aidilfitri tanpa saya,” katanya kepada Sinar Online.

Meskipun terpaksa membiarkan isteri kedua menyambut Syawal tanpanya, Arif sentiasa bijak mencari penyelesaian.

Saban tahun, alasan tuntutan kerja yang memerlukannya untuk memulakan tugas pada raya kedua atau ketiga akan digunakan bagi ‘melepaskan’ diri daripada keluarga isteri pertama.

“Biasanya saya akan tinggalkan isteri di kampungnya sendiri dan hanya akan pulang untuk mengambilnya pada raya keempat atau kelima,” katanya lagi.

Tags: poligami
Subscribe

Posts from This Journal “poligami” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments