kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Enrique mewakili kepakaran Melayu, Manusia pertama keliling dunia? Kapal Melayu lebih besar

Kapal Melayu lebih besar

ORANG Melayu bukan sahaja menguasai kemahiran berkaitan ilmu pelayaran, malah turut memiliki kepakaran dalam pembuatan jong atau perahu.

Menurut Timbalan Pengarah, Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Taman Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli, kehebatan orang Melayu terserlah apabila jong atau perahu yang dihasilkan lebih besar, melebihi saiz kapal yang dimiliki di barat. Malah, orang Melayu juga mempunyai teknologi pembuatan dan ciri-ciri yang tersendiri.



Lakaran Jong Melayu yang lebih besar daripada kapal Galleon Portugis oleh Godinho. Petikan Antthony Reid. YALE UNIVERSITY

“Banyak catatan sejarah yang memberi gambaran bahawa teknologi pembuatan perahu oleh orang Melayu telah mencapai tahap yang tinggi sehingga dikagumi masyarakat luar. Perahu yang dibina orang Melayu dikatakan lebih besar daripada kapal lain dari barat mahupun China.

“Dalam teks klasik China pada abad ketiga dan kelapan, ada menyebut tentang teknologi dan kehebatan perahu Melayu. Catatan pertama menyatakan orang dari alam Melayu mempunyai perahu besar sehingga boleh memuatkan 6,000 
hingga 7,000 orang 
dan membawa muatan 250 hingga 1,000 tan.

“Malah perahu berkenaan dilengkapi empat buah layar, membolehkannya 
belayar dengan laju.

“Selain itu, catatan Portugis juga menunjukkan mereka turut terpegun melihat perahu di alam Melayu yang sangat besar melebihi perahu 
mereka.

“Bukan itu sahaja, orang Melayu juga menguasai teknik pelayaran dengan belayar ke sesuatu tempat tanpa menggunakan kompas dan peta tetapi berpandukan warna air laut, hidupan dalam laut serta bentuk dan corak ombak di permukaan laut, di samping belayar mengikut angin dan bintang pada waktu malam. Penggunaan layar juga merupakan salah satu teknologi yang dihasilkan Melayu,” katanya.

Sementara itu, menurut penyelidik dan penulis dari Ikatan Arkeologi Malaysia, Zaharah Sulaiman, berdasarkan catatan 
teks Ensiklopedia Cina antara abad ke-10 hingga ke-13, terdapat sebuah keluarga Melayu Cham beragama Islam yang pakar dalam ilmu maritim.

“Dikatakan keluarga Pu adalah pembuat kapal terbesar pada abad tersebut. Ketika pencerobohan Dai Vet di Kemboja, keluarga Pu membawa diri dan berpindah di Sanyan di selatan Hainan, Fujian dan Guangdong di China, seterusnya ke Terengganu, Kelantan, Brunei dan kepulauan Melayu menggunakan kapal mereka.

“Kemampuan dan prestasi keluarga Pu membuat kapal besar dibuktikan pada 1281 apabila Raja Mongol menempah sebanyak 
200 buah kapal bersaiz besar,” katanya.


Manusia pertama keliling dunia?

NAMA-NAMA seperti Christoper Columbus, Vasco da Gama, Ferdinand De Magellan dan Laksamana Cheng Ho memang dikenali sebagai tokoh pengembaraan dan ahli dalam dunia pelayaran.

Kehebatan dan keunggulan setiap tokoh tersebut turut dicatatkan. Antaranya pelayaran Columbus yang merupakan  pertama sampai ke benua Amerika, pelayaran besar Cheng Ho terawal meliputi Asia, Afrika dan Timur Tengah serta kejayaan Vasco Da Gama mengharungi jalan laut dari Eropah ke India melalui Afrika.

Kegemilangan tradisi maritim Melaka pada abad ke-15 dan ke-16 telah menyaksikan kemunculan Panglima Awang sebagai tokoh dalam pelayaran dunia.

Sementara itu, Magellan  diiktiraf barat sebagai pelayar pertama mengelilingi dunia.

Namun, di sebalik nama besar itu,  ramai  tidak mengetahui, malah mungkin ada yang melupakan kehebatan serta kepakaran Melayu dalam dunia pelayaran.

Bahkan turut dikatakan, seorang lelaki dari Melaka yang dikenali Enrique sebenarnya merupakan manusia pertama mengelilingi dunia bersama 18 yang lain, bukannya Magellan. Dia juga menjadi indikator utama dalam pelayaran Magellan yang dapat membuktikan dunia ini sebenarnya bulat,  bukannya mendatar.

Sungguhpun begitu, bagi Sepanyol sebagai penaja kepada armada ke Maluku, Juan Sebastian Elcano yang merupakan anak jati negara itu diangkat sebagai tokoh yang melengkapkan ekspedisi tersebut memandangkan Magellan terbunuh di pertengahan misi mereka.

Nama Enrique pula terus tenggelam tanpa diberi sebarang pengiktirafan. Persoalannya, siapakah gerangannya Enrique?

Nama sebenar Enrique tidak diketahui dengan jelas sehingga hari ini. Namun, nama Panglima Awang yang merujuk kepada Enrique muncul apabila Harun Aminurrashid menggunakannya dalam Novel Panglima Awang pada 1958.

Menurut penyelidik dan penulis dari Ikatan Arkeologi Malaysia, Zaharah Sulaiman, berdasarkan catatan Antonio Pigafetta yang turut serta dalam pelayaran itu, Panglima Awang yang dirujuk sebagai ‘Enrique’ atau ‘Henrique’ berasal dari Sumatera dan menetap sebagai penduduk  Melaka.

“Panglima Awang telah dibeli atau ditawan pada 13 Julai 1511 ketika perayaan St. Henry iaitu beberapa hari selepas permulaan peperangan antara Melaka dan Portugis.

“Penangkapannya itu dilakukan setelah diketahui mempunyai kepakaran sebagai nakhoda kapal. Dia kemudian dijadikan hamba oleh Magellan semasa kembali ke Lisbon pada 1511.

“Panglima Awang kemudian berperanan sebagai pemandu (guide), nakhoda, pembantu dan juru bahasa dalam pelayaran Magellan mencari jalan baru ke wilayah timur lokasi pengeluar lada dan rempah iaitu kepulauan Maluku,” katanya.

Menyentuh tentang pelayaran Magellan, terdapat lima buah kapal yang terlibat iaitu Trinidad, San Antonio, Concepsion, Santiago dan Victoria. Armada tersebut telah meneruskan pelayaran dari Seville, Sepanyol pada 1519. Dengan angkatan seramai 270 orang, armada itu menuju ke arah barat mengharungi Lautan Atlantik menuju ke Amerika Latin.

“Mereka seterusnya  menyusuri sebuah selat yang kini dikenali Selat Magellan dengan hanya tiga buah kapal yang
tinggal. Pelayaran kemudian merentasi Lautan Pasitik, Pulau Guam dan akhirnya tiba di perairan Kepulauan Pasifik.

“Perjalanan diteruskan sehingga Filipina, Sabah dan Kepulauan Sulu. Namun, disebabkan Magellan  terbunuh ketika berada dalam pertempuran di Pulau Mactan, Cebu (Filipina), maka dia gagal menyudahkan pelayaran mengelilingi dunia.

“Setelah kematiannya, kedudukannya sebagai ketua kapal Victoria digantikan oleh Sebastian Elcano, sementara Panglima Awang mengambil alih sebagai nakhoda yang mengemudi dan memimpin anak-anak kapal lain,” katanya.

Dalam pelayaran seterusnya, hanya sebuah sahaja kapal yang tinggal iaitu Victoria yang sarat dengan muatan lada dan rempah.

Perjalanan diteruskan melalui Pulau Palawan, Brunei, Tidore, Ambon, Timur dan kemudian mengharungi Lautan Hindi, mengelilingi Tanjung Harapan, menyusuri Afrika di Lautan Atlantik dan akhirnya sampai semula di Sepanyol pada 8 September 1522.

Daripada 237 orang yang menyertai armada itu pada asalnya hanya 18 orang yang masih hidup ketika itu.

Panglima Awang tidak pula  dinyatakan secara jelas oleh Pigafetta sama ada kembali ke Melaka atau Sumatera atau
menetap di pulau Cebu.


Enrique mewakili kepakaran Melayu

PELAYARAN Panglima Awang mengelilingi dunia selepas 500 tahun kejatuhan Melaka bukanlah perkara baru yang membuktikan kehebatan Melayu dalam ilmu pelayaran.

Bahkan terdapat rekod dari Barat dan Arab yang mencatatkan tentang pelayaran jauh merentas lautan yang dilakukan oleh orang Melayu telah bermula sejak zaman pra sejarah akhir.

Antara misi pelayaran Magellan merentasi samudera menuju ke pulau Maluku adalah untuk mencari rempah ratus.

Menurut Profesor Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Zuliskandara Ramli, catatan Blench ada menyatakan pelayar Austronesia atau Melayu sejak awal abad Masihi telah mengunjungi kawasan timur pesisiran laut Afrika.

“Pelayar Melayu dikatakan sudah biasa dengan pelayaran di Lautan Hindi sehinggalah mereka boleh menduduki Madagascar. Bahasa Malagasi iaitu bahasa masyarakat Madagascar didapati amat rapat dengan bahasa Malayo-Polinesia yang banyak dipertuturkan di Indonesia, Malaysia dan Filipina,” katanya.

Tambahnya, kepakaran Melayu yang begitu dekat dengan dunia maritim berkait rapat dengan bentuk muka bumi yang mempunyai banyak pulau dan perairan.

“Justeru, ilmu pelayaran dan perdagangan maritim tidak dapat dipisahkan dengan bangsa Melayu.

“Tidak hanya menjalankan aktiviti kelautan, masyarakat Melayu yang menetap di persisiran pantai turut menguasai ilmu dan kemahiran berkaitan laut,”katanya.

Sementara itu, menurut pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Profesor Emeritus Dr. Hashim Musa, semangat, kegigihan dan kepakaran orang Melayu merentasi samudera dilambangkan dengan keunggulan Pang­lima Awang dalam dunia pelayaran.

“Panglima Awang merupakan seorang yang handal dalam ilmu kelautan dan juru bahasa yang mahir dalam bahasa Melayu, Portugis dan Sepanyol.

“Semangat penjelajahan samudera yang dilambangkan oleh Panglima Awang merupakan tradisi maritim masyarakat Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, menurut pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Dr. Mohd. Samsudin, kejayaan Panglima Awang dipengaruhi oleh ketinggian ilmu maritim dalam kalangan masyarakat di alam Melayu yang telah melalui perkembangan bidang itu sejak berabad-abad lamanya.

“Masyarakat Melayu merupakan sebuah masyarakat maritim. Justeru, budaya dan corak hidup masyarakat itu berkait rapat dengan persekitaran laut.

“Orang Melayu sudah mula mencipta perahu sejak abad kedua lagi. Mereka berhubung di antara satu kawasan dengan kawasan lain menggunakan perahu dan kapal layar. Keupayaan menguasai ilmu maritim juga telah mempengaruhi kepercayaan masyarakat di alam Melayu terhadap unsur-unsur yang terdapat di laut,” katanya.

-
Tags: sejarah
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments