kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bahaya kesan negatif atas seseorang

Konsep pemikiran ‘Reset Minda’ menyatakan – Yang menentukan emosi kita ialah fokus kita. Maksudnya kalau kita fokus kepada perkara yang negatif akan dapat hasil kehidupan yang negatif. Iaitu kita gelisah, stres, murung, sakit, dan akhirnya tidak berduit. Sebab apabila sakit, kita tidak mampu mencari rezeki lagi. Sebaliknya jika kita positif, hasil kehidupan kita positif. Kita akan tenang, bahagia, sihat dan rezeki pun bertambah. Ke mana kita pergi orang suka, di tempat kerja kita disenangi rakan dan majikan.

Dalam satu kajian, eksperimentasi mengenai kesan negatif atas seseorang telah dilakukan. Eksperimentasi itu dilakukan di sebuah kedai yang menjual mi goreng. Di samping mi goreng itu peniaga menyediakan dua jenis sambal – satu sambal yang sedap rasanya dan tidak berapa pedas, serta satu lagi sambal yang tidak sedap dan sangat pedas.

Dalam eksperimentasi pertama, seorang pelanggan masuk ke kedai itu dan dia terlanggar jurujual. Jurujual memberikan respons negatif (mengeluh kasar). Setelah pelanggan mendapatkan tempat duduknya dia membuat pesanan sepinggan mi goreng dan meminta sambalnya sekali. Agak-agaknya, jurujual itu memberi sambal yang mana? Sambal yang sedap atau yang tidak sedap? Jurujual yang tidak tahu pun itulah pelanggan yang melanggarnya tadi telah memberi sambal yang tidak sedap kepada pelanggan itu (mengikut rasa hati/nalurinya yang beremosi negatif pada waktu itu).

Eksperimentasi kedua, jurujual yang sama, situasi yang sama cuma selepas dia kena langgar, jurujual itu memberikan respons positif, menyapa pelanggan itu dengan santun walaupun pelanggan itu telah menyakitkannya. Ketika pelanggan itu membuat pesanan sepinggan mi goreng dan sambal, jurujual yang tidak perasan pun itulah pelanggan yang melanggarnya tadi, telah memberikan sambal yang sedap kepada pelanggan tersebut. Kerana emosi positif jurujual tersebut membuatkan (naluri/gerak hati) jurujual itu juga menjadi positif.

Maknanya disebabkan dalam eksperimentasi yang pertama, mula-mula mendapat negatif dan tidak dinaturalisasikan oleh sesuatu yang positif, tindakan dan kesannya menjadi negatif. Hal ini juga bermaksud, orang yang membuat kejahatan, besar kemungkinan akan membuat kejahatan juga. Eksperimentasi kedua, menunjukkan bahawa orang yang mendapat kebaikan akan meneruskan kebaikan. Jadi, kalau kita hendak dunia kita aman adakah kita akan membalas dendam kepada orang yang membuat jahat kepada kita?

Mengurus

Kita kena bersangka baik kepada orang yang buat kejahatan kepada kita dalam tiga andaian yang boleh menaturalisasikan sangkaan negatif kita menjadi positif terhadapnya. Pertama, kita andaikan mungkin dia menerima kejahatan sebab itulah dia melakukan kejahatan. Kedua, kita andaikan mungkin dia kurang berilmu, sebab itu dia tidak boleh bertindak menggunakan kebijaksanaan fikiran. Ketiga, kita andaikan dia tidak mempunyai contoh teladan yang baik, sebab itu dia tidak dapat mengawal emosi dan mengurus diri secara positif.

Maknanya kalau kita akan meneruskan kejahatan, maka kejahatan akan bertali arus dan tidak dapat dihentikan. Yang perlu lakukan hentikan kitaran negatif itu dengan berbaik sangka dan memberikan respons positif dengan mendoakannya. Kita mohon doa kepada Allah Yang Maha Baik, “Ya Tuhanku, Engkau Maha baik dan Engkau yang memberi sifat baik kepadaku. Aku bersyukur Engkau memberikan sifat baik kepadaku hingga aku suka melakukan kebaikan. Kerana, segala apa yang aku lakukan bukan datang daripada aku, tetapi daripada kurniaan-Mu, yang merezekikan aku untuk sentiasa berbuat baik. Berikanlah rezeki kebaikan yang sama kepada hamba-Mu ini yang melakukan kejahatan kepadaku.”

Sesungguhnya senjata orang mukmin adalah doa, maka berdoalah untuk orang yang bersikap negatif, supaya kesan negatifnya tidak terbias kepada kita. Percayalah apabila kita mulakan dengan perkara yang kecil, iaitu melakukan perubahan diri menjadi seorang yang sentiasa positif, orang sekeliling kita juga akan berubah menjadi positif. Sama-sama kita audit diri dan lakukan transformasi diri. Kita boleh memilih untuk bersabar atau melawan apabila berhadapan dengan situasi/suasana yang tidak menyenangkan. Hal ini bermaksud manusia yang reaktif akan melawan, dan, manusia yang proaktif akan berfikir dahulu sebelum bertindak. Apabila kita hendak gembira, tenang, selesa dan meyakinkan diri kita sendiri, kita jangan membiarkan suasana menentukan kita, biar kita menentukan suasana.

Maksudnya, apabila melakukan sesuatu, lakukan perkara yang boleh mendatangkan pahala pada kita. Iaitu perkara, suasana serta tempat itu menjadi “ladang pahala” kita. Seorang yang reaktif akan cepat melenting dengan situasi yang dihadapinya. Minda bawah sedar boleh programming pemikiran kita menjadi positif. Sebab itulah, apabila kita ubah cara pemikiran kita, kehidupan kita juga turut akan berubah. Jangan jadikan sesuatu perkara yang negatif menyebabkan kita menyekat keupayaan diri, atau menjadikan bermacam alasan untuk kita berubah. Kita mesti merasakan bahawa, “Kita menjadi seperti ini disebabkan pilihan kita sendiri.”

Apabila kita katakan hidup berlaku disebabkan orang, kita akan berasa lemah kerana kita tidak boleh mengubah orang! Sebaliknya apabila kita mengatakan berlaku sesuatu disebabkan pilihan kita, maka kita bertanggungjawab untuk mengubah diri kita daripada tidak baik menjadi baik. Selagi kita bernafas kita tidak dapat lari daripada membuat pilihan dalam kehidupan kita. Pilihan antara dua bisikan dalam hati dan jiwa kita, iaitu antara bisikan kebaikan (daripada malaikat) dengan bisikan kejahatan (daripada iblis).

Sama ada kita sedar atau tidak, bisikan kejahatan datang dalam tiga keadaan? Pertama, datang daripada ‘syaitan nampak’ (rancangan yang melalaikan, berita negatif, majalah gosip, laman sosial yang salah dimanfaatkan dan hal-hal yang seumpamanya yang mendorong kemungkaran). Kedua, datang daripada ‘nafsu’ (‘mata fizikal’ yang tertewas dengan ‘mata nafsu’ dan tidak menggunakan ‘mata akal’ dan ‘mata hati’ untuk menyaring hawa nafsu). Ketiga, datang daripada ‘syaitan tidak nampak’ (yang berjanji di hadapan Allah akan menggoda anak adam). Adakah kita sanggup membiarkan diri kita ditewaskan oleh bisikan kejahatan, yang menjadikan kita negatif dan mendapat kesan negatif?

Jom audit diri, bagaimanakah pilihan fikiran dan respons kita terhadap sesuatu yang berlaku? Sama ada ikut iman atau ikut nafsu, itulah yang paling sukar kita lakukan, kalau kita tidak menggunakan minda sedar (akal) dan minda bawah sedar/minda segar (hati/jiwa) kita dengan bijaksana. Semoga Ramadan yang telah kita lalui hampir sebulan ini telah mengubahkan kita menjadi positif. Semoga tiada orang berkecil hati, tidak selesa dan tidak senang dengan kita. Kita gembira pada hari raya bukan kerana baju kita cantik tetapi kerana akhlak kita cantik. Audit diri jauhi daripada sikap negatif. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”. - Prof Dr Muhaya Utusan Malaysia Rencana 10 Julai 2016 6:00 PM

Tags: minda
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments