kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pemberian duit raya bagai dipaksa

Bagaikan kebetulan, topik pemberian duit raya menjadi isu minggu hangat ini. Banyak orang sudah ulas dan beri pandangan tentang perangai Ngah Kor Ming dalam status Facebook miliknya yang memuatkan gambar karikatur mengaitkan pemberian duit raya kepada kanak-kanak dan tetamu ketika hari raya sebagai rasuah. Perkara ini yang dipolitikkan oleh Kor Ming.

Jadi tidak perlu saya ulas lagi. Namun cuba kita lihat dan fikir tentang pemberian duit raya ini. Ia bagaikan sudah menjadi satu amalan yang dianggap mulia. Ada yang menganggap duit raya sebagai sedekah dan banyak yang tidak mahu nafikan ia sebagai ikut-ikutan.

Semasa musim Hari Raya Aidilfitri inilah sebagai ibu bapa atau anak-anak yang sudah bekerja perlu memikirkan bajet untuk pemberian duit raya kepada sanak saudara atau anak-anak tetamu yang berkunjung ke rumah kita. Malah ini yang dinanti-nantikan oleh kanak-kanak. Semasa kita pada usia mereka pun bukan sangat mahu makan juadah ketupat, rendang dan kuih-muih raya, tetapi menunggu duit raya.

Kita sanggup berkunjung seberapa banyak rumah jiran biarpun tak kenal siapa pun tuan rumah, janji dapat kumpul duit raya. Amalan pemberian duit raya sudah jadi budaya Melayu pula. Besar pengaruh pemberian duit raya kepada pelbagai peringkat orang Melayu kita. Hal ini dapat dilihat ketika bulan Ramadan, begitu banyak orang beratur di bank untuk menukar duit raya. Selepas beberapa hari raya, lain pula cerita. Bank masih penuh dengan pelanggan yang mahu menyimpan duit raya pula.

Pungutan duit raya budak-budak sekarang tak serupa zaman saya pada 1970-an dan awal 1980-an. Sekarang senang-senang dapat kumpul ratusan hingga ribuan ringgit, berbeza zaman saya nak kumpul RM2 sehari pun payah. Bila difikir sedalam-dalamnya, pemberian duit raya ini mungkin tidak membebankan bagi golongan bergaji sederhana dan tinggi. Tapi ia agak membebankan bagi yang bergaji rendah.

Tapi rasa pelik juga apabila golongan ini dan penduduk di kawasan kampung dan luar bandar turut menyumbang duit raya. Berkemampuan atau tidak... duit raya wajib diberi. Barangkali mereka guna duit anak-anak yang sudah berkerjaya. Semasa zaman kanak-kanak, saya dapat bayangkan betapa payah untuk tuan rumah melakukan pemberian duit raya sebab ia bukan amalan orang Islam. Hakikatnya saudara-mara atau jiran kita pun bukan semuanya orang senang pada zaman itu.

Dalam hadis pun belum ditemukan nas yang mengatakan duit raya sebagai satu amalan sunat. Tapi saya agak ragu-ragu bila orang kata ia sedekah sebab bila beri duit raya, ia tidak disertai dengan niat bersedekah. Jika kita berkunjung ke rumah saudara yang tidak berada, kita bukan tidak tahu mereka hanya cukup makan dan belanja harian tetapi kesan budaya duit raya menyebabkan mereka ikat perut untuk beri duit raya kepada anak buah.

Bagai membazirkan wang

Perhatikanlah... Bila ada orang memberi, tuan rumah pula terasa untuk membalasnya. Bukankah lebih baik tidak beri duit raya sebab tidak perlu pun amalan ini. Tapi ia sudah jadi ikut-ikutan dan akhirnya jadi budaya. Kasihan kepada golongan kurang berada, untuk membahagiakan anak orang lain, mereka bagaikan membazirkan wang untuk keperluan diri sendiri. Jangan kita kata guna sedikit sahaja, hakikatnya banyak wang diperlukan untuk beri duit raya.

Jarang ada ibu bapa menolak pemberian golongan susah. Pada saya mereka memberi sebab banyak mengikut amalan orang lain dan tidak mahu malu pada tetamu... Sedangkan lepas raya, ada yang bagaikan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,’ Bukan senang nak ubah amalan ini sekarang. Mungkin ada yang rasa tidak seronok berhari raya jika tiada duit raya diberi kepada kanak-kanak.

Apa kata kita uar-uarkan budaya masyarakat Cina yang beri ang pow pada Tahun Baharu Cina yang kita tiru bertahun-tahun lamanya, tidak dilakukan pada musim-musim hari raya akan datang. Mula-mula memang payah tetapi kita boleh lakukan sebagaimana pengaruh budaya beri ang pow itu berjaya meresap dalam fikiran orang Melayu tanpa mengira kedudukan dan taraf hidup.

Mungkin kita mulakan dengan ibu bapa kena nasihat pada anak-anak jangan merengek minta duit raya pada tuan rumah. Jika anda tahu kehidupan tuan rumah susah atau masih banyak hutang yang ditanggungnya, bisikkan pada mereka usah beri duit raya kepada anak-anak kita. Selesaikan hutang mereka dahulu, ia lebih utama.

Jangan kita nafikan budaya beri duit raya ini memang merisaukan. Bukan golongan miskin terasa bebanannya, golongan sederhana pun sama. Mereka malu dan bimbang pihak tetamu rasa kecil hati sebab anak-anak mereka tidak dapat duit raya. Pada perkiraan saya, masalah dan kesan kurang baik budaya beri duit raya ini sudah empat dekad lamanya. Sebelum tahun 1970-an, rasanya tidak ada.

Bila adanya budaya duit raya ini, tidak pasal-pasal ahli keluarga perlu mengasingkannya daripada bajet untuk beli pakaian baru, tukar hiasan rumah dan penyediaan juadah raya. Kita sedar bukan semua orang hidup senang.

Sebenarnya tidak siapa tahu yang kita tiada duit raya. Jangan malu pada keadaan ini. Hakikatnya zaman ini banyak wang diperlukan untuk menampung kos sara hidup. Kita patut malu jika bajet hari raya pun terpaksa kita buat pinjaman daripada majikan atau bank yang mempromosikan kemudahan pinjaman itu. Saya tidak nampak lagi kempen untuk menggalakan budaya tidak beri duit raya lagi. Cuba kerajaan galakkan ibu bapa mendidik anak-anak supaya tidak mengharapkan duit raya, sebaliknya mengharapkan jalinan kasih sayang dan persaudaraan semasa berhari raya. Ini lebih utama.

Kita kembali dan faham erti sebenar kunjung-mengunjungi semasa berhari raya. Tujuan utama adalah untuk bermaaf-maafan dan mengerat silaturahim. Bukan pungut duit raya sebanyak-banyak mungkin.Elok rasanya jika kita memberi duit raya kepada mereka yang berhak seperti ibu bapa, bapa saudara dan saudara mara yang memerlukan sahaja. Bukan kepada kanak-kanak khususnya yang ibu bapa mereka berke­mampuan.

Ini pandangan saya, duit raya tidak buat kita gembira, terpulang cara kita didik anak-anak dan masyarakat kita tentang cara sebenar sambut hari raya.

Tags: raya
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments