kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

9 perkara kena sedia pasca Aidilfitri

DALAM Facebook, saya terbaca satu senarai 'benda-benda pantang’ semasa beraya di kampung halaman. Antaranya mengenai adik-beradik buat rumah mak macam hotel, sibuk jaga anak semata-mata, dan memasak dan membasuh pinggan tidak mahu sama sekali; dan banyak lagi.

Terus-terang, senarai seumpamanya ada saya sediakan kerangka karangan. Namun, setelah memperhalusi implikasinya, topik itu tidak disiarkan. Jadi bila ada terbaca senarai tersebut di Facebook, saya lega sebab ia dibuat oleh orang lain.

Kenapa merrepak takut hendak siarkan? Tidaklah takut 100 peratus. Mungkin 89 peratus sahaja. Bukan takut ia akan mengguris hati anggota keluarga atau sesiapa juga tetapi takut terkena batang hidung saya sendiri. Maklumlah, senarai tersebut sangat tepat dan kena.

Arakian, saya sediakan senarai lain iaitu 'sembilan perkara yang kena sedia pasca Aidilfitri’:

1. Macet

Bagi anda yang merancang untuk bergerak pulang malam ini dengan berkereta, bersedialah untuk menghadapi kesesakan. Alkisah seorang teman bertolak dari kampung di Taiping pukul 12 tengah malam Sabtu. Pukul 3 pagi dia masih sangkut di Terowong Menora. Hanya tiba di Kuala Lumpur menjelang 6 pagi. Biasanya perjalanan hanya tiga jam. Musim raya, jadi dua ganda.

Saranan: Masalahnya, teman itu fikir bertolak tengah malam jalan akan lancar. Dia tidak tahu ada beribu-ribu lagi berfikiran sama. Atas sebab itu, semua mereka bertemu dalam kesesakan lebuh raya. Lain kali balik malam raya pertama. Tapi balik awal, maknanya memang tak raya.

2. Rumah terbuka

Ada syarikat korporat sudah menghantar kad jemputan rumah terbuka dua minggu Ramadan. Itu syarikat. Memang cekap. Belum lagi sahabat-handai dan sanak saudara. Selagi Syawal belum tamat, bersedialah dengan baju Melayu anda. Ikut takwim, 29 Syawal 1437 ialah bersamaan 3 Ogos (Rabu). Bermakna hujung minggu akhir Syawal ialah 25 dan 26 Syawal iaitu 30 dan 31 Julai.

Saranan: Makan percuma! Rezeki jangan ditolak. Bukan lepas makan disuruh cuci pinggan pun.

3. Kenduri kahwin

Ada sebilangan yang memilih berkahwin semalam dan hari ini iaitu 4 dan 5 Syawal. Ambil berkat Syawal, katanya. Tidak salah. Malah dikagumi. Ini kerana saat kita berhari raya, mereka sibuk buat persiapan persandingan. Kagum juga kerana mereka dapat melantik tukang masak, tukang solek dan tukang set karaoke. Mujur mereka tak tutup kedai. Bab tetamu pun senang sebab semua balik kampung beraya. Boleh terus hadir.

Saranan: Sama seperti di atas, rezeki jangan ditolak. Cuma kena bertolak balik lewat sikit hari ini untuk hadiri kenduri. Jangan merungut sangkut di lebuh raya.

4. Kira rugi

Tidaklah rugi apa pun bila bersedekah duit raya terutama kepada anak-anak saudara yang comel, degil dan melawan cakap. Sepatutnya sudah disediakan awal-awal bajet BR1M tetapi yang jadi masalah ialah anak-anak sepupu sebelah mak dan bapa yang tiba-tiba berbondong-bondong beraya kali ini.

Saranan: Patut isytihar diri sebagai pegawai turus dapur, merangkap pencuci pinggan. Ini kerana jika menjadi pegawai perhubungan awam depan pintu, memang wajib bagi BR1M. Jadi tukang cuci pinggan, anak saudara kecil pula mungkin bagi anda duit.

5. Berulang-alik ke dobi

Baju raya sampai empat pasang. Sehari pakai dua. Siang lain, malam lain. Mujur ada kedai dobi layan diri. Tetapi sejam juga masa terbuang. Tidak mengapa, janji beraya sakan.

Saranan: Untuk mengelak berulang-alik ke dobi, beli baju lapan pasang. Jangan susah, ada rumah terbuka dan kenduri kahwin boleh diperagakan baju yang banyak.

6. Beg baju tidak dibuka-buka

Bagi yang sudah tiba dengan selamat ke rumah masing-masing, pasti berwawasan mahu tidur lena dahulu. Baju-baju dalam beg, biar sahaja di ruang tamu. Awas, ada kemungkinan beg-beg itu menjadi aksesori rumah kekal di ruang tamu.

Saranan: Hantar baju ke kedai dobi, beserta beg-beg itu sekali. Jadi ia tidak akan menyemak ruang tamu dan nanti semua sudah siap bercuci serta dilipat.

7. Pinggan mangkuk eksklusif

Raya adalah musim mak mengeluarkan pinggan mangkuk mahal atau dibeli di Langkawi dari dalam almari atau stor. Pastikan suami tidak memberi komen 'tak pernah tengok pun pinggan baru ini’. Ini sebab kegunaannya cukup eksklusif. Tentulah tidak diketahui ramai.

Saranan: Sebelum bertolak balik menandakan berakhirnya beraya di rumah mak, tolong pastikan set pinggan mangkuk itu dikemas balik ke tempat asalnya. Dan jangan pecahkan!

8. Malas memasak

Entah macam mana, kaum wanita seakan fobia hendak memasak selepas raya. Mungkin kerana ramai yang melekat sehari semalam pada akhir Ramadan di dapur menyediakan lauk raya. Selama tiga hari tiga malam, anda dikerah makan juadah sama. Bila balik ke rumah sendiri, jangan merungut rendang hari Rabu ada atas meja. Dah lima hari.

Saranan: Pergi ke McDonald’s makan Double Cheese burger. Pasti keluarga anda burger-mbira!

9. Tuan Anas Mikail 5 Hari Beraya

Sesungguhnya, bagi yang tidak mengetahui, siri drama mummy daddy ini disiarkan khas untuk Aidilfitri dari Isnin hingga Jumaat lepas. Patut ulasannya sudah tamat, kan? Kenapa masih orang panjang lebar bercerita mengenainya? Ada ulangan? Benarkah? Serius?

Saranan: Pastikan data Internet anda mencukupi. Kenapa? Nanti bila ada ulangan Tuan Anas Mikail, mummy daddy boleh buka video kemenangan Perancis ke atas Portugal. Tapi boleh menang ke? - Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Rencana 10 Julai 2016 6:00 PM

Tags: aidilfitri
Subscribe

Posts from This Journal “aidilfitri” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments