kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Memartabat ahli akademik negara

DALAM sedikit masa lagi, kita akan mengetahui siapa ahli akademik yang akan dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara (AAN) selepas Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Ong Soon Hock menerimanya, tahun lalu.

AAN adalah pengiktirafan tertinggi yang diberikan kerajaan terhadap ahli akademik di negara ini sebagai mengiktiraf kesarjanaan mereka yang tersohor bukan sahaja di dalam negara, malah di pentas dunia.

Sejak diperkenalkan pada 2006, sembilan ahli akademik mendapat pengiktirafan ini, bermula dengan Profesor Diraja Ungku Aziz.

Di samping itu, ahli akademik kita juga dinobatkan ketokohan mereka dalam bidang pengajaran, penemuan ilmu, penulisan dan penerbitan ilmiah dan kreatif serta pemindahan dan pengembangan ilmu.

Penganugerahan seperti ini adalah kesinambungan pelbagai anugerah lain seperti Anugerah Saintis Negara, Anugerah Harta Intelek Negara, Anugerah Merdeka dan pelbagai anugerah lain, termasuk yang ditaja oleh pihak swasta, berkait rapat dengan kemajuan akademik, sains dan teknologi, malah dunia kesusasteraan dan budaya, di samping banyak anugerah lain pada peringkat antarabangsa.

Menobatkan ahli akademik dengan pelbagai anugerah seperti ini tentunya setara dengan usaha dan pengorbanan mereka dalam pendidikan tinggi negara, pembangunan negara dan masyarakat termasuk dalam pembangunan minda serta pemikiran untuk kelangsungan masa depan negara.

Usaha kerajaan wajar dipuji walaupun ada segelintir ahli akademik yang sentiasa kritikal dengan pandangan yang menimbulkan masalah dalam mentafsir kebebasan ilmu dan pemikiran dalam pemajuan pendidikan tinggi mahu pun pembangunan negara.

Sesetengahnya sukar untuk melihat ilmu dalam konteks yang realistik dan sentiasa memandang sinis setiap usaha dilakukan oleh pihak yang dianggap bertentangan.

Dapat pengiktirafan dunia

Walaupun ada yang mendapat pengiktirafan dunia dengan ilmu pengetahuan dan pengalamannya, sesetengah pandangan kritikal yang dikemukakan, digunakan oleh pihak lain untuk memburukkan negara.

Sesetengahnya mengambil kesempatan menulis dalam jurnal antarabangsa dengan mengeji sesetengah dasar yang ada, yang dianggap tidak bersesuaian dengan pegangan dan pandangan mereka seperti Dasar Ekonomi Baru selepas kemerdekaan.

Mereka melihat dunia yang ideal, adil dan saksama dalam perspektif sendiri dan mengetepikan pandangan ahli akademik lain yang cuba bersikap rasional dan memberikan pandangan yang jika pun berbeza tetapi tidak bersikap mengeji, menjatuhkan dan berat sebelah.

Bilangan mereka ini semakin banyak berkurangan, namun adalah diharapkan panel pemilih untuk anugerah seperti Anugerah Akademik Negara berhati-hati agar tidak salah memilih.

Kesannya adalah besar kepada pembangunan pemikiran dan pembentukan persepsi, terutama dalam kalangan anak muda hari ini.

Biarpun dari reputasi akademiknya dianggap hebat dan idola di pentas dunia dan antarabangsa, biarlah dalam konteks akademik tulen yang disanjung kerana keilmuannya, bukan disebabkan oleh pandangan peribadi yang diperkukuhkan oleh pengetahuan akademik dan ilmunya semata-mata.

Niat baik kerajaan dalam memberikan pengiktirafan seperti ini seharusnya dihargai dan menjadi tanda aras penting dalam pembangunan ilmu dan minda masyarakat.

Penulis terpegun dengan tokoh seperti Profesor Datuk Dr Shahnon Ahmad ketika memohon masuk ke universiti yang menjadi idola utama dan beberapa sasterawan yang juga ahli akademik terbilang seperti Profesor Emeritus Muhammad Salleh, Profesor Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar yang begitu komited dengan perjuangan bahasanya dan pendidik terbilang seperti Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Badjunid yang mengingatkan kita mengenai pentingnya memartabat persona akademia.

Kita kagum dengan Profesor Diraja Ungku Aziz yang memberi buah fikiran penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Profesor Mazlan Othman yang pernah berkhidmat di NASA serta pemikiran dalam penulisan Datuk Seri Ir Zaini Ujang dan Profesor Datuk Dr Ibrahim Komoo terhadap usaha membangunkan alam yang mapan.

Peluang bertugas di universiti makin mendalamkan rasa hormat dan kagum kepada tokoh seperti Tan Sri Dzulkifli Razak yang terus berjuang dengan ilmu dan masa depan lestari serta Profesor Dr Asma Ismail yang sering percaya bahawa sains dan teknologi perlu bergerak memasuki dunia komersial global.

Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said yang kini menerajui UiTM misalnya adalah tokoh matematik terbilang yang masih terkenal dengan Teori Saidnya.

Beliau bukan sahaja terbabit dan berjaya dalam dunia akademiknya tetapi juga kepemimpinan universiti awam dan swasta yang terbukti kejayaannya.

Penggerak ilmu pengetahuan

Malah kini, Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr Omar Osman mengingat dan meyakinkan penulis bahawa dunia akademik bukan sahaja bersifat ideal kerana ahli akademik perlu berdiri dengan idealismenya, tetapi juga realistik dengan menggerakkan ilmu pengetahuan untuk pembangunan ekonomi, masyarakat, negara dan dunia, termasuk aktiviti kesukarelawanan, keusahawanan dan lain-lain yang berteraskan jiwa dan kalbu.

Ini adalah sebahagian daripada ramai ahli akademik negara yang memberikan jiwa raganya untuk pembangunan masyarakat tanpa perlu bersikap kontroversi dan menongkah arus.

Mereka membangunkan nilai dan jiwa kepada pendidikan tinggi negara dengan menghasilkan siswazah dan penyelidik berilmu, berjiwa dan berpegang teguh kepada kesejahteraan negara bangsa yang ingin kita bangunkan secara bersepadu dan mengambil kira kepelbagaian yang ada dalam konteks Malaysia.
Mohamad Abdullah Berita Harian Kolumnis Jumaat, 1 Julai 2016 @ 6:40 AM
Tags: ilmuwan
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments