kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Memahami peranan ahli akademik

MENJELANG Hari Raya Aidilfitri, saya menerima satu panggilan telefon dari Nigeria. Panggilan itu dibuat oleh bekas pelajar sarjana di bawah seliaan saya untuk bertanyakan khabar dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Lama juga saya berbual dengannya sehingga terlupa betapa mahalnya caj panggil­an telefon yang dibuatnya. Menerima panggilan telefon daripada bekas pelajar menjadi lumrah bagi seorang ahli akademik universiti. Saya yakin rakan-rakan akademik lain juga kerap menerima panggilan telefon daripada bekas pelajar untuk bertanyakan khabar berita. Ramai antara mereka ini terutamanya para pelajar pascasiswazah ingin mengetahui tentang kehidupan sebagai ahli akademik atau pensyarah.

Jadi, ramai yang mengajukan soalan sama kepada saya tentang dunia akademik. Antara soalan yang paling popular ialah sama ada semasa cuti semester pensyarah juga mendapat cuti panjang sebagaimana dinikmati oleh pelajar. Kebetulan pula sekarang baharu sahaja bermula cuti semester panjang sehingga awal September ini bagi kebanyakan universiti awam. Ramai ‘orang luar’ universiti yang tidak mengetahui sebenarnya pensyarah tetap beker­ja seperti biasa meskipun para pelajar sedang menikmati cuti semester panjang. Tiada cuti panjang berbulan-bulan lamanya buat pensyarah. Jadi, timbul persoalan apakah yang dilakukan oleh pensyarah ketika cuti semester panjang? Walhal, para pelajar sedang bercuti panjang.

Soalan ini cukup menarik untuk dijawab kerana ramai yang beranggapan tugas pensyarah mengajar semata-mata. Mengajar adalah tugas hakiki pensyarah. Begitu juga, menyelia para pelajar sama ada di peringkat sarjana muda, sarjana mahupun kedoktoran merupakan tugas hakiki yang wajib ditunaikan. Namun, selain tugas mengajar dan menyelia, pensyarah juga dipertanggungjawabkan untuk menjalankan penyelidikan, perunding­an, membentangkan kertas kerja dan menghasilkan penulisan untuk diterbitkan.

Apa yang menariknya, setiap penyelidikan yang telah dan sedang disiapkan akan dikongsi dengan para pelajar. Lebih-lebih lagi jika penyelidikan itu bersesuaian dengan topik pengajaran. Maka, barulah berlaku percambahan idea bukan setakat daripada para pelajar tetapi juga pensyarah itu sendiri. Dengan kata lain, pensyarah juga mendapat manfaat daripada proses pembelajaran tersebut.

Proses pembelajaran itu cukup penting bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dengan lebih mendalam lagi. Masih terngiang-ngiang di telinga saya akan nasihat yang diberikan oleh bekas penyelia ijazah kedoktoran bahawa roh di sebalik segulung ijazah kedoktoran adalah proses pembelajaran itu sendiri dan bukannya setakat mendapat gelaran Dr. Tanpa bantuan Allah SWT, mana mungkin seseorang itu mampu menghabiskan pengajiannya. Maksudnya di sini, melanjutkan pelajaran sehingga berjaya menggenggam ijazah kedoktoran bukanlah tiket untuk mendabik dada kerana bergelar Dr. di awal nama. Sebaliknya, apa yang lebih utama adalah proses pembelajaran yang telah berjaya diikuti menjadikan seseorang itu amat berguna kepada orang lain.

Proses pembelajaran melalui penyelidikan ini sewajarnya berjaya menghasilkan seseorang yang merendah diri, berintegriti dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jauh sekali bersifat bongkak, sombong dan menyeleweng hanya kerana berasakan dirinya sahaja hebat dan berilmu tinggi. Walhal, ilmu yang sedikit itu hanyalah pinjaman sementara oleh pencipta-Nya. Kita sebagai khalifah dan hamba-Nya bertanggungjawab untuk mencari ilmu sebanyak mungkin untuk kebaikan bersama.

Dalam dunia akademik, saya bertuah dikelilingi oleh rakan-rakan yang cukup dahagakan ilmu pengetahuan. Misalnya, salah seorang rakan akademik saya yang menghabiskan cuti persaraannya dengan mendalami ilmu agama di sekolah pondok. Selepas beberapa bulan me­nuntut ilmu di sekolah pondok, rakan saya ini menyatakan bahawa ilmu pengetahuan di sekolah pondok itu cukup mendalam. Banyak yang dipelajarinya.

Kemanisan menuntut ilmu ini tidak kira usia. Sebab itulah tidak sebagaimana pekerjaan yang menggunakan kudrat fizikal, ahli akademik menggunakan ilmu untuk menyatakan kebenaran dalam pengajaran. Selagi seseorang ahli akademik itu memiliki akal kebijaksanaan yang dikurniakan-Nya, maka tarikh persaraan itu hanya tinggal sebagai angka semata-mata.

Dengan kata lain, ahli akademik yang tulen akan beristiqamah menyumbang dengan memberi khidmat kepada masyarakat sama ada melalui pengajaran, penyelidikan mahupun penulisan. Sebab itulah kita boleh lihat ramai ahli akademik masih aktif bekerja meskipun umur mereka melepasi tarikh persaraan. Ada antara mereka sudah berumur lebih 80 tahun, tetapi masih giat menjalankan penyelidikan. Tidak kurang juga yang masih aktif menulis buku untuk disumbangkan kepada masyarakat.

Hal ini berlaku kerana ahli akademik dididik dalam pro­ses pembelajaran sebelum ini untuk sentiasa menyumbang kepada masyarakat melalui hasil penulisan yang diterbitkan. Ada antaranya diterbitkan di jurnal-jurnal akademik yang selalu dibaca oleh kelompok kecil ahli akademik yang sama bidang dengannya. Berbanding penulisan sebegini, ahli akademik juga cenderung menulis di medium penerbitan lain seperti buku, majalah dan akhbar yang jumlah pembacanya lebih ramai dan meluas lagi.

Apabila ditemubual oleh pihak media, misalnya, ahli akademik akan berusaha sedaya upaya memberi pandang­an berasaskan ilmu pengetahuan yang bertunjangkan kebenaran. Ini cukup penting kerana sering kali pandangan yang dilontarkan oleh mereka akan diguna pakai oleh ramai pihak. Malah, ada antara pandangan tersebut diambil oleh akhbar dan portal berita yang skop dan bilangan pembacanya lebih luas dan ramai. Ini menjadikan tugas pensyarah itu cukup dinamik dan mencabar sekali bagi memenuhi tuntutan ajaran agama Islam dalam menyebarkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat. Inilah hakikat sebenar peranan seorang ahli akademik atau pensyarah universiti. - Dr Rohami Shafie Utusan Malaysia Rencana 13 Julai 2016 6:10 PM

Tags: ilmuwan
Subscribe

Posts from This Journal “ilmuwan” Tag

  • Memartabat ahli akademik negara

    DALAM sedikit masa lagi, kita akan mengetahui siapa ahli akademik yang akan dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara (AAN) selepas Profesor Emeritus…

  • Ilmu, ilmuwan umpama pelita penyuluh jalan

    Tugas ilmuwan dan sarjana hari ini terlalu penting terutama ahli akademik di menara gading. Peranan utama mereka ialah menjana ilmu tinggi yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments