?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Pas hilang konsistensi?

ISTIQAMAH adalah daripada perkataan Arab yang bermaksud konsisten atau berterusan melakukan sesuatu yang dimulakan.


Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang pernah duduk semeja dengan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang kini menjauhkan diri daripada pakatan pembangkang kerana tidak sehaluan dengan DAP, namun sama ada Pas akan istiqamah dengan pendirian itu pada masa depan masih belum pasti. UTUSAN

Contoh istiqamah dalam bidang ekonomi adalah pekebun sayur beristiqamah dalam berkebun sayur sebagai sumber ekonomi dirinya dan keluarganya walaupun ada seruan supaya meninggalkan aktiviti itu dan beralih kepada ladang kelapa sawit atau bekerja menjadi buruh binaan.

Contoh istiqamah dalam beribadat pula apabila seorang Muslim mukalaf melaksanakan kewajipan sembahyang lima waktu sehari semalam walaupun sakit, miskin atau bermusafir.

Jadi apakah pula kaitannya istiqamah Pas dengan arus politik Malaysia?

Pertama, Pas menjadi penentang UMNO dengan alasan agama fahaman Pas sejak ditubuhkan. Tetapi istiqamah dalam menentang UMNO bertukar kepada berbaik-baik dengan UMNO selepas berlaku tragedi 13 Mei 1969.

Kedua, Pas meneruskan penentangan terhadap UMNO selepas pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) iaitu Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia dan digantikan oleh Tun Hussein Onn sedangkan pemimpin Pas masih sama iaitu Mohd. Asri Muda.

Ketiga, Pas menentang UMNO dengan alasan agama kerana berbaik-baik dengan orang bukan Islam dalam MCA dan MIC untuk memerintah Malaysia. Tetapi apabila Pas bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat untuk menentang UMNO dan BN, Pas tidak melihat tindakannya itu sama dengan pakatan UMNO-MCA-MIC.

Keempat, Pas memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan DAP atas alasan yang baharu diadakan iaitu DAP parti politik sekular dan sosialis sedangkan dua isme itu sekularisme dan sosialisme sudah menjadi polisi atau dasar DAP sejak parti itu ditubuhkan dan sebelum kerjasama dalam pakatan pembangkang dibentuk lagi.

Kelima, kalau benar Pas memutuskan hubungan politik dengan DAP kerana dasar sekularisme dan sosialisme parti itu, kenapa Pas masih bersekongkol dengan DAP di Selangor? Di manakah istiqamahnya dalam memutuskan hubungan politik dengan DAP?

Keenam, Pas menentang Tun Dr. Mahathir Moha­m­mad selama Perdana Menteri itu memerintah Malaysia 22 tahun tetapi wakil Pas hadir dan duduk semeja dengan bekas Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu setelah beliau dan Lim Kit Siang menubuhkan pakatan untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Ke mana konsistensi Pas dalam hal ini?

Ketujuh, selepas wakil Pas menghadiri majlis bersama Mahathir dan Kit Siang, Pas mengeluarkan kenyataan tidak mahu terlibat dalam gerakan menjatuhkan Najib melainkan mengikut proses demokrasi atau pilihan raya.

Kesimpulannya, Pas sudah hilang istiqamah dalam tindak-tanduk politiknya. Apa yang berlaku menunjukkan Pas mengamalkan pendekatan pragmatik sama seperti parti-parti politik lain yang wujud dalam sejarah politik Malaysia.


Ujian istiqamah untuk PAS

SECARA tiba-tiba heboh diperkatakan berhubung pendirian Pas dalam soal kerjasama dengan parti pembangkang lain iaitu PKR, DAP dan PAN. Persoalan itu mula timbul apabila Timbalan Pre­siden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya mencadangkan supaya parti-parti pembangkang melaksanakan gencatan serangan sesama sendiri bagi memberi fokus untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.


SEORANG penyokong Pas berehat di hadapan poster besar BN ketika menunggu di laluan masuk pusat mengundi Kampung Menora pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar, 18 Jun lalu.

Berikutan kenyataan itu bertebaranlah di dalam media sosial, apakah maksud sebenar Tuan Ibrahim sehingga terbitnya satu berita me­nyatakan beliau menggesa seluruh kepemimpinan ahli dan penyokong Pas supaya kembali bekerjasama dengan PKR, DAP dan PAN.

Jika benar itulah yang dimaksudkan oleh Tuan Ibrahim maka menimbulkan persoalan apakah Pas sekali lagi bersedia berkorban menjadi ‘pak turut’ apabila bekerjasama dalam pakatan pembangkang? Apakah pengalaman selama ini masih belum cukup untuk parti itu mengenali sekutunya? Apakah demi kuasa Pas bersedia mengorbankan prinsip perjuangannya sekali lagi?

Turut dipersoalkan sejauh manakah DAP akan menerima perjuangan Islam Pas, jika Tuan Ibrahim berhujah mahu semua parti pembangkang berkompromi dan bekerjasama tanpa perlu menggadaikan dasar masing-masing.

Secara jujur sesiapa juga yang meneliti kenyataan penuh Tuan Ibrahim boleh mentafsirkan apa yang Timbalan Presiden Pas itu mahukan ialah parti pembangkang bekerjasama dan mewujudkan to­leransi politik dengan memperbesarkan persamaan dan mengecilkan ruang perbezaan. Kata beliau, jika titik kompromi tidak dapat dicapai, terpaksalah semua parti pembangkang bersedia untuk menang jadi arang kalah jadi abu.Adakah syarat ini akan dite­rima oleh DAP? Bagaimana pula dengan PAN yang pemimpin-pemimpinnya sebelum ini keluar Pas kerana bersetuju dengan corak politik DAP yang menentang perjuangan Islam Pas?

Bagaimanapun secara tegas dan jelas, Tuan Ibrahim juga me­nyatakan, “...kami tidak akan mengorbankan prinsip dan dasar Islam yang menjadi teras perjuangan Pas sejak ditubuhkan dan inilah pegangan semua kepe­mimpinan parti dari dulu sehingga kini.”

Walaupun niat Tuan Ibrahim ialah berterus terang dari segi realiti politik, tetapi hakikatnya memberi isyarat seolah-olah Pas ternyata tidak mampu berjuang sendirian dalam mencapai usaha untuk meraih kuasa.

Kalau itulah yang dimaksudkan oleh Pas maka ternyatalah ‘istiqamah hingga kemenangan’ yang kini menjadi slogan perjuangan parti itu sedang diuji. Dari satu segi lain, menunjukkan pendirian Pas untuk berjuang sendiri semakin goyang selepas pembangkang kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak dan kecundang dalam dua pilihan raya kecil di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Namun begitu ini bukanlah alasan kukuh untuk Pas kembali bekerjasama dengan pakatan pembangkang. Ketika berhadapan dengan ujian ini ahli dan pe­mimpin Pas perlu mendengar nasihat Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu seluruh ahli berpegang teguh kepada pendekatan Islam dan wajib beristiqamah dengannya.

“Pas terus sedia berpakat de­ngan semua pihak dan tidak akan bersama dengan sesiapa sahaja yang tidak setia dan bersedia bersama acuan Pas, berpandukan konsep yang ditunjuk oleh al-Quran, kalam Allah dan ilmu-Nya,” kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan.

Sebenarnya adalah menjadi hak Pas untuk bekerjasama dengan sesiapa termasuklah DAP, namun dalam masa yang sama Pas perlu membuktikan bahawa parti itu benar-benar mempunyai prinsip dan bukannya bersedia mengorbankan prinsip itu kerana memburu kuasa.

Apabila Pas dilihat masih mengharapkan wujudnya kerjasama dalam kalangan parti pembangkang hanya semata-mata mahu menumbangkan BN dalam pilihan raya, ini membuktikan parti itu tidak mempunyai keyakinan diri untuk berjuang sendirian.

Atas sebab itulah, Pas perlu menamatkan kekeliruan yang wujud, adakah mahu berjuang sendiri atau terpaksa bekerjasama dengan parti-parti pembangkang? Sepatutnya tidak timbul soal kerjasama tersebut kalau benar Pas mahu istiqamah dengan perjuangan Islamnya.

Ini memandangkan Pas perlu mengakui sampai bila pun dan atas alasan apa sekalipun DAP tidak akan menerima perjuangan Islam Pas. Oleh itu Pas tidak perlu ter­buru-buru dalam membuat keputusan dan pada masa yang sama tidak terlalu ghairah mahu memburu kuasa sehingga sanggup me­lakukan tindakan yang akan dilihat ibarat ‘menjilat ludah sendiri’.

Pas bukanlah parti picisan, kekuatan pembangkang sebelum ini terletak kepada keupayaan Pas, justeru kenapa perlu Pas mahu ‘menyembah’ orang lain semata-mata mahu menumbangkan BN dan UMNO. Bukankah Pas sudah berjanji akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi untuk kebaikan? Adakah UMNO begitu teruk dalam soal memperjuangkan Islam sehingga Pas bersedia menghulur kerjasama dengan DAP bagi menamatkan perjuangan politik UMNO yang menjadi tunjang BN?

Terserahlah kepada Pas untuk menentukannya tetapi berdasarkan nasib yang dialami oleh parti itu ketika berada dalam pakatan sebelum ini, ahli-ahli Pas sepatutnya benar-benar istiqamah dalam menghayati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang mukmin tidak akan dipatuk oleh ular pada lubang yang sama sebanyak dua kali.”

-

Posts from This Journal by “istiqamah” Tag

Latest Month

September 2019
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow